1,001 KEMUSYKILAN

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam)

Berdakwah kepada bukan Islam

SOALAN: SAYA berminat menjadi seorang pendakwah sepenuh masa kepada orang bukan Islam. Saya telah menyertai badan dakwah sukarela dan mempunyai hubungan langsung dengan kerja-kerja yang saya minati. Dalam menjalankan tugas ini, saya kerap menerima soalan-soalan seperti mengapa manusia diharamkan makan daging babi, mengapa diwajibkan puasa, sembahyang dan mengapa diwajibkan berkhatan dan memakai tudung. Saya menjawab dengan menggunakan logik akal kerana saya tidak banyak tahu al-Quran dan hadis. Saya sedar kebenaran logik akal adalah relatif.

Soalan saya, bagaimana cara yang terbaik bagi saya menemui rakan-rakan bukan Islam dalan konteks dakwah. Harap ustaz dapat membekalkan saya panduan yang diperlukan.

- ABDULLAH, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.

JAWAPAN: Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara kerana mempunyai minat yang sangat tinggi untuk menjadi pendakwah sepenuh masa kepada kaum bukan Islam. Sesungguhnya tugas ini berat dan mencabar tetapi membahagiakan hidup. Jika ia mudah, nescaya ia boleh dipikul semua orang dan sudah tentu nabi-nabi tidak dibangkitkan khas untuk menyempurnakannya.

Dakwah adalah suatu bidang profesionalisme yang memerlukan kelayakan, kepakaran dan pengetahuan yang luas dan mendalam, di samping minat petugasnya yang tinggi. Dari aspek yang lain pula, dakwah adalah suatu bidang ilmu hasil gabungan antara bidang-bidang ilmu syariat dan kemanusiaan.

Saya percaya saudara mempunyai asas pengetahuan Islam yang kukuh. Kira-kira ia memadai untuk berdakwah kepada masyarakat bukan Islam yang masih awal tahap pengajian Islamnya. Saya tidak keberatan untuk berkongsi pandangan dalam masalah ini kerana minat saudara adalah sebahagian daripada tugas saya. Saya berpendapat ada beberapa perkara yang mustahak diambil perhatian oleh pendakwah, terutama kepada kaum bukan Islam, antaranya:

Pertama: Berikan keyakinan sepenuhnya kepada sasaran dakwah bukan Islam, agama ini bukan milik bangsa tertentu seperti Melayu, Arab dan lain-lain tetapi Islam adalah hak semua orang yang cintakan hidayat Allah dan mempercayai wahyu langit.

Sebagai pendakwah, seseorang dilarang sekali-kali menggunakan ungkapan yang membayangkan Islam kepunyaan orang atau kumpulan tertentu, seperti bangsa Melayu atau dikatakan kepada orang yang memeluk Islam sebagai orang masuk Melayu, kerana perkataan itu memberi gambaran yang negatif.

Islam dan bangsa adalah dua perkara yang berbeza, kadang-kadang bertemu antara agama Islam dan bangsa pada seorang individu dan kadang-kadang tidak bertemu. Ada orang bersedia memeluk Islam tetapi tidak bersedia menukar rupa bangsanya kepada bangsa-bangsa lain. Sebagai pendakwah Islam, kita ucapkan kepada mereka ahlan wa sahlan untuk bersama Islam, mari kita bertemu pada kalimah tauhid dan kita sama-sama junjung al-Quran dan syariatnya.

Kedua: Saudara perlu memperkenalkan Islam itu mudah kepada rakan-rakan bukan Islam, jinakkan hati mereka dengan isu-isu utama dalam Islam seperti mengucap dua kalimah syahadah dan menolak pemujaan berhala dan patung yang mereka puja sebelum ini. Jika mereka berhenti daripada pemujaan ini, saudara boleh beralih sedikit demi sedikit kepada isu-isu lain yang lebih menyentuh gaya hidup Islam seperti sembahyang, puasa dan hukum-hukum halal haram ketika memilih makanan dan minuman.

Pada peringkat ini, saudara sebagai pendakwah tidak perlu memaksa sekali gus perkara-perkara yang mereka keberatan mematuhinya, lebih-lebih lagi jika masalah itu dikenal pasti sebagai masalah khilafiah antara ulama seperti berkhatan, mengambil makanan daging daripada jenis-jenis haiwan buruan seperti monyet, musang dan sebagainya. Tunggulah sehingga mereka memilih sendiri gaya hidup Islam yang lebih sempurna atau yang dicontohinya daripada gaya hidup saudara dan pendakwah yang membawanya kepada Islam.

Saya tidak sependapat dengan sesetengah pemikir dakwah yang segera menyuruh orang bukan Islam supaya berkhatan sebaik sahaja mereka menyatakan keinginan memeluk Islam, seolah-olah Islam itu khatan, pada hal hukum khatan masih dalam senarai masalah khilafiah yang belum disepakati ulama. Dalil-dalil yang mewajibkannya boleh dibuat pelbagai tafsiran. Lain halnya jika mereka lebih dahulu memilih berkhatan.

Dari segi psikologi pula, kaum bukan Islam di negara ini sebahagian besarnya terdiri daripada golongan hartawan. Mereka lebih suka jika hartawan juga yang mendakwah mereka. Kehadiran pendakwah dari golongan bukan hartawan difahami mereka sebagai mengajak mereka agar turun menjadi miskin seperti pendakwah, hakikatnya mereka tidak bersedia untuk menjadi miskin setelah sekian lama mereka berjuang untuk menjadi seorang kaya dan memangpun mereka telah berjaya mencapai cita-cita.

Bagi mengatasi masalah ini, saya kira masalahnya lebih mudah untuk diselesaikan jika semua golongan sanggup turun padang untuk berdakwah menurut keupayaan masing-masing. Kesanggupan di bidang ini nampaknya sangat kurang sekali.

Sehubungan Islam itu mudah, saya pernah mengikuti kuliah Syeikh Muhammad al-Ghazali, seorang pendakwah Mesir dan sempat mengutip beberapa buah fikirannya yang disampaikan dalam Multaqa Ulama Malaysia di Pulau Pinang pada bulan Ogos 1995. Beliau menyatakan pendapatnya yang terbuka dan tidak jumud apabila memperkatakan Islam kepada masyarakat bukan atau belum Islam.

Sebagai contoh, katanya, andainya saya dijemput memberi pandangan Islam dalam suatu persidangan anjuran bukan Islam untuk membincang hak-hak asasi manusia. Sebagai pendakwah, saya akan kemukakan mazhab Syafie yang menyatakan orang Islam harus diqisas (bunuh balas) kerana membunuh orang bukan Islam. Saya tidak teragak-agak mengetepikan pendapat Imam Abu Hanifah yang menyatakan tidak harus dibunuh balas orang Islam yang membunuh orang kafir kerana kelainan agama.

Orang Islam menurut Imam Abu Hanifah hendaklah dianggap lebih tinggi nilainya berbanding kaum bukan Islam, disebabkan akidah tauhid yang mereka percayai. Ayat 45 Surah al-Ma’idah menyatakan, bunuh balas itu boleh dilakukan dengan membalas mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka-luka juga ada qisasnya. Ayat ini tidak mengambil kira status agama sebagai syarat qisas.

Ditakdirkan dalam persidangan ini saya kemukakan mazhab Hanafi, pastinya awal-awal lagi mereka menolak Islam, dengan alasan Islam berlaku zalim terhadap bukan Islam, mereka akan menuduh Islam sebagai tidak menghormati nyawa manusia dan sekali gus mereka mendakwa Islam bukan penyelesaian.

Dalam konteks Islam itu mudah, saya akan katakan lagi, Imam Syafie adalah ulama yang sangat prihatin kepada suasana dan keadaan semasa. Ini terbukti daripada fatwa beliau yang dikeluarkan sewaktu menetap di Baghdad bahawa taubat orang yang melakukan kesalahan hudud boleh menghapuskan keseluruhan dosa.

Setelah Imam Syafie berpindah ke Mesir, didapati penduduknya mempermain-mainkan taubat dan undang-undang Islam, lalu beliau menarik balik fatwa yang dikeluarkan sebelumnya dan mengeluarkan fatwa baru, iaitu taubat tidak menggugurkan seseorang daripada tindakan hudud. Fatwa ini menurut Syeikh al-Ghazali tidak harus dianggap sebagai suatu kelemahan dalam fatwa dan ijtihad Imam Syafie kerana perbezaan tempat dan sikap manusia turut membawa perubahan kepada fahaman dan pendekatan yang lebih serasi dengan maqasid al-syar’ (matlamat syara’).

Menurut Syeikh al-Ghazali lagi, andainya saya sebagai pendakwah yang diundang ke persidangan hak-hak asasi manusia yang diadakan di negeri China, saya perlu kemukakan mazhab Abu Hanifah yang memberi hak kepada wanita menentukan sendiri jodohnya dengan sesiapa jua yang disukainya. Saya kira mazhab ini lebih sesuai berbanding mazhab Syafie yang memberi hak kepada bapa memaksa anak perempuan menerima jodoh pilihan keluarga.

Pendapat Syeikh al-Ghazali ini membayangkan kecenderungan beliau untuk memilih mana-mana mazhab yang mudah diamalkan dalam Islam untuk dikemukakan kepada orang bukan Islam. Jika dalam mazhab Syafie, mazhab itu mengharamkan makan haiwan liar seperti monyet, musang dan sebagainya. Namun kelonggaran masih terdapat dalam mazhab-mazhab lain seperti mazhab Maliki yang menghalalkan makan haiwan itu. Pendakwah boleh merujuk kepada mazhab Maliki untuk menerima pakai hukum itu, sekurang-kurangnya buat sementara.

Setelah mengikuti pemikiran al-Ghazali, saya berpendapat bidang dakwah di Malaysia masih subur, hanya menunggu bagaimana benih yang bakal ditanam. Apa teknik yang akan dicuba. Jika ada usaha-usaha pendakwah memikirkan cara terbaik, maka tidak mustahil kaum bukan Islam di negara ini akan memilih Islam sebagai cara hidup dan tidak mustahil mereka pula akan menjadi tenaga penggerak Islam yang mewarisi tenaga yang sedia ada.

No comments

Powered by Blogger.