Apa Yang Anda Faham Dari Teguran Tok Guru Nik Aziz Kepada Pas? Tengok Melalui Agama Islam

Oleh : al-Bakistani

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempunyai pendidikan dari beberapa tokoh ulama dari India. Sejak di kelantan, bapa tuan Guru, iaitu Tuan Guru Haji Nik Mat Alim sendiri berguru dengan Tok Khurasan, seorang ulama yang menetap di kelantan, tetapi berasal dari India.

Semasa kecil lagi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah dibawa oleh bapanya untuk mendalami ilmu hadis dan tafsir dengan Tok Khurasan. Kemudiannya mendalami ilmu mantiq dengan Tuan guru Haji Abbas, seorang tokoh Ulama yang tinggal di Besut; yang mendapat pendidikan dari Negara India juga.

Jamiah Darul Ulum Dioband, New Delhi, India merupakan tempat jelajah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam mendalami ilmu setelah menuntut dengan sebilangan ulama-ulama di Tanah melayu.

Apa yang perlu difikirkan, keberadaan ulama India tidak sama seperti ulama-ulama dari negara Arab. Cara mereka berfikir agak unik, jika mahu dibandingkan dengan ulama Madinah dan Makkah, juga ulama dari negara Mesir.

Ekoran itu, kita dapat melihat bagaimana Maulana Ilyas boleh mencetuskan satu pertubuhan yang disebut sebagai Jemaah tabligh dikala negara India mendapat tekanan politik dari penjajah. Ketika itu, serangan dari penjajah terhadap umat Islam di India amat menekan, menyebabkan Maulana Ilyas meletakkan usaha dakwah itu sekadar kemampuan yang ada. Jika mahu masuk dunia politik, sudah pasti akan menimpa mudharat yang lebih besar, makanya Maulana Ilyas mengambil sikap menyeru manusia kepada islam dalam perkara yang tidak mendapat serangan dari penjajah, iaitu dengan menyeru manusia memahami islam menerusi solat berjemaah, juga diwujudkan juga majlis-majlis ta'lim.

Dilihat dari sudut positif, tindakan Maulana Ilyas itu mengandungi seribu-satu kebijaksanaan dalam menyeru manusia kepada Islam. Cumanya, puak-puak tabligh yang wujud pada hari ini, tidak memahami tujuan dan maqasid yang telah dilakukan oleh maulana Ilyas tersebut.

Mungkin itu salah satu tokoh ulama dari Negara India. Tetapi, jika kita perhatikan, tindakan ini bukan sekadar dilakukan oleh Maulana Ilyas sahaja, malahan dilakukan juga oleh sebilangan besar ulama-ulama dari negara india yang lain.

Dilihat dari sudut ini, sudah pasti tindakan mereka mengandungi seribu satu rahsia, yang mungkin kurang difahami dengan pandangan mata kasar, tetapi akan difahami apabila didalami dan diselami.

PAS DAN TGNA :

PAS sudah amat sinonim dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Apabila menyebut PAS, kelihatan wajah Tuan Guru. Menyebut nama Tuan guru, kelihatan pula lambang bulan, atau lambang 'bola pimpong' yang sering disebut oleh pengundi cina dan india, yang merujuk kepada PAS.

Tuan Guru sering menyebut, PAS sekadar wadah, bukan matlamat. Tujuan asal dalam perjuangan PAS adalah islam. Bahkan, banyak kali juga Tuan Guru menyebut bahawa pendokong PAS perlu menjadi pejuang islam, bukan pejuang PAS.

Atas asas ini, menyebabkan Tuan Guru berjaya menjaga pemerintahan islam di Kelantan semenjak 1990 sehingga hari ini. kejayaan ini amat susah kelihatan dalam sejarah PAS sejak ditubuhkan lagi.

PAS dibawah kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, amat unik jika mahu dibandingkan dengan tokoh-tokoh kepimpinan PAS yang lain. Ucapan beliau mengandungi seribu satu maksud, yang kadangkala susah untuk difahami jika difikirkan sekali imbas sahaja. Tetapi, jika didalami dan diselami, kita akan dapat lihat dan memahami pemikiran beliau, bahawa pemikirannya itu saling tidak tumpah dengan cara berfikirnya ulama-ulama dari negara india. Mungkin kerana faktor tempat pengajian beliau memberi banyak kesan kepada cara beliau berpolitik.

PAS DAN KELANTAN

PAS pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya menguasai kelantan sejak 1990 sehingga pada hari ini. Membaca sejarah, didapati Tuan Guru adalah tokoh penting dalam usaha menggabungkan antara PAS dengan parti-parti melayu ketika itu – termasuk semangat 46 atas nama APU (Angkatan Perpaduan Ummah)

Dari sejarah itu, dapat dilihat bahawa kejayaan PAS merampas Kelantan dari taghut UMNO, adalah berasaskan faktor penyatuan PAS dengan parti-parti pembangkang yang lain dalam melawan UMNO. Tanpa penyatuan dengan parti-parti yang lain, agak mustahil PAS berjaya mengalahkan UMNO dalam pilihanraya.

Tidak ada dalam sejarah, PAS berjaya menguasai negeri dengan sebab kekuatan PAS sendiri. Selalunya, kejayaan PAS menguasai negeri, semuanya disebabkan kelemahan musuh, iaitu UMNO dikala mereka berperang sesama sendiri.

Kejayaan PAS menguasai Terengganu, disebabkan perbalahan UMNO semasa mereka dalam kes pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dari Timbalan perdana Menteri, disamping PAS ketika itu bersama PKR dan DAP menubuhkan Barisan Alternatif (BA) dalam melawan UMNO – laknatullah alaihim ajmain.

Pun begitu, apabila wujud persengketaan antara PAS dengan parti-parti Barisan Alternatif, menyebabkan lahirnya kekurangan kerusi PAS yang agak teruk di Kelantan, tetapi kekalahan maha buruk di Negeri Terengganu pada tahun 2004.

Secara teorinya, asas kemenangan PAS adalah kebersamaan PAS dengan parti-parti yang lain. tanpa kebersamaan ini, sudah pasti PAS tidak akan mencapai kemenangan, malahan tidak mustahil PAS boleh jatuh dari pemerintahannya pada bila-bila masa sahaja berlaku pilihanraya.

PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat telah terbina dengan membariskan PAS, PKR dan DAP. Kekuatan PAS merupakan kekuatan bagi PKR dan DAP, begitu juga PKR dan DAP merupakan kekuatan bagi PAS.

Dengan wujudnya kebersamaan antara PAS, PKR dan DAP dalam menghadapi sesuatu pilihanraya kecil, pasti kerusi Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan. Tetapi, kekalahan parti Pakatan Rakyat berlaku, apabila tidak wujud kebersamaan antara parti-parti (PAS, PKR dan DAP). DUN Bagan Pinang menjadi bukti yang amat kukuh. Begitu juga, DUN Manik Urai. Ketidak-kebersamaan itu, menyebabkan PAS kalah teruk di Bagan Pinang, juga kemerosotan undi yang agak teruk dalam pilihanraya DUN Manik Urai.

Justeru, kebersamaan antara PAS, PKR dan DAP perlu diperkukuhkan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kebersamaan kita menang, pertembungan kita kecundang.

DURI DALAM DAGING

Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan, demi mahu melahirkan kekuatan. Tanpa kekuatan, mana-mana parti pun dalam pakatan Rakyat akan gugur menyembah bumi. Tidak kira, ia bernama PAS, ataupun PKR, juga DAP.

Justeru, sebarang tindakan dari mana-mana parti yang boleh melahirkan permasalahan sesama parti, atau pertembungan sesama parti, wajib dihindarkan. Jika berlaku juga, penyelesaian dengan kadar segera perlu diusahakan.

Isu kerajaan Perpaduan dan 'gabungan PAS-UMNO' benar-benar memperlihatkan kekalutan, juga melahirkan pertembungan antara PAS dengan PKR dan DAP. Di kala ia disebar-luas, ketika itu pertembungan demi pertembungan sering terjadi.

Isu Kerajaan perpaduan dan 'gabungan PAS-UMNO', bukan sekadar melahirkan pertembungan antara PAS dengan PKR dan DAP, bahkan wujud juga pertembungan sesama dalaman PAS. apabila ini terjadi, sudah pasti akan melahirkan kelemahan pada Pakatan Rakyat itu sendiri.

Kelemahan Pakatan Rakyat merupakan kelemahan PAS juga. Begitujuga, kelemahan yang akan menimpa pada PKR dan DAP dalam mengadapi UMNO/BN yang maha jahat lagi sial sesial-sialnya.

Makanya, pertembungan ini wajib diselesaikan. Penyelesaian yang paling baik adalah, hapuskan terus pemikiran kerajaan perpaduan ini, juga usaha-usaha 'gabungan UMNO-PAS'. sengaja mewujudkan juga dua isu ini, bermakna berusaha hendak melemahkan Pakatan rakyat, seterusnya memberi kekuatan kepada UMNO/BN yang sedang melakukan penyatuan ahlinya. Apabila UMNO/BN sudah bersatu kembali, maka tunggulah jangka kalah yang akan menimpa Pakatan Rakyat.

POLITIK TOK GURU

Dilihat, isu Kerajaan perpaduan dan 'gabungan PAS-UMNO' datang dari PAS, sudah pasti Tuan Guru Nik Abdul Aziz amat tertekan dengan keadaan yang menimpa. Apabila ini disedari oleh Tuan Guru, sudah pasti Tok Guru akan bertindak sebijaksana yang mungkin dalam menghindarkan perkara ini.

Sudah berkali-kali Tuan Guru Nik Abdul Aziz berpesan, tutup sahaja isu kerajaan perpaduan, juga jangan wujud lagi sebarang tindakan yang melahirkan usaha 'gabungan PAS-UMNO' ini. disamping itu juga, tidak pernah terlalai dari lidah Tuan Guru menyebut tentang keputusan Muktamar PAS di Ipoh yang menekankan peri-pentingnya PAS perkukuhkan Pakatan Rakyat.

Pun begitu, ada sebilangan pimpinan PAS yang agak 'kepala batu', menyebabkan isu yang boleh melemahkan Pakatan Rakyat sering dijadikan mainan. Permainan demi permainan dilakukan, sehingga meluat rakyat berbangsa cina dan India kepada PAS amat teserlah.

Jika keadaan ini dibiarkan, ia memberi kesan bahaya kepada PAS, malahan pakatan rakyat sendiri – termasuk PKR dan DAP – bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13 lagi. Justeru, sebelum tiba waktu pilihanraya umum, tindakan yang paling berkesan perlu dilakukan.

Makanya, Tuan Guru pun meledakkan 'Bom C4' di tengah-tengah rakyat Malaysia, menjadikan ramai kepimpinan PAS 'terkujat biawak' apabila mengetahui berita tersebut. Kenyataan meminta diadakan EGM khas, yang melibatkan Presiden PAS, Timbalannya, setiausahanya, juga tidak ketinggalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang banyak membuat masalah di negeri selangor merupakan bom C4 yang tidak dijangka, tetapi mengandungi seribu satu rahsia politik.

Mungkin jika dilihat sekali-imbas, kenyataan itu seperti mewujudkan pertembungan sesama PAS, tetapi hakikatnya, tindakan tersebut merupakan cara untuk menyelamatkan PAS, juga kawan-kawan dari Parti PKR dan DAP dari kalah bagi menghadapi PRU ke 13 nanti.

Aku tidak beranggapan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz meluat dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi sehingga benar-benar mahukan Tuan Guru Haji Abdul Hadi melepaskan jawatan Presiden, tetapi sengaja dilakukan sedemikian, agar orang yang berada 'dikeliling' Tuan Guru Haji Abdul Hadi terkujat dan tidak lagi melakukan tindakan yang boleh melahirkan pertembungan sesama Parti Pakatan Rakyat, yang boleh melahirkan kekalahan PAS dan pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 kelak.

Mengapa aku beranggapan sedemikian? Jawapanku adalah, kerana aku melihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz berguru dengan ulama-ulama dari negara India. Makanya, sengaja aku menafsirkan begitu, kerana lebih 4 tahun aku berguru dengan ulama-ulama di Pakistan yang beraliran pengajian dari negara India. ( sumber asal )

No comments

Powered by Blogger.