Apabila Polis Tak Boleh Diharap!

Polis direman kes rogol budak sekolah
Oleh Wan Faizal Ismayatim

Ketua balai kena gantung tugas

KOTA BHARU: Seorang Ketua Polis Balai di pinggir bandar ini, direman tujuh hari mulai semalam untuk siasatan kerana disyaki merogol seorang gadis bawah umur.

Difahamkan, anggota polis berpangkat Sarjan Mejar berusia 40-an itu ditahan di pejabatnya petang kelmarin, selepas keluarga mangsa yang berusia 14 tahun membuat laporan berhubung kejadian itu.

Suspek direman hingga 25 Oktober ini mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Azrul Abdullah semalam dalam satu prosiding ringkas di kamarnya. Ketika prosiding berlangsung, suspek diwakili peguamnya, Datuk Shukri Mohamad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi, berkata anggota terbabit kini digantung tugas sehingga siasatan terhadap kes berkenaan selesai.

"Polis akan menjalankan siasatan mengikut prosedur biasa terhadap suspek dan kita sudah mengambil tindakan menggantung tugasnya sehingga siasatan kes diselesaikan

"Saya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan dan melanggar disiplin yang saya anggap sebagai satu kesalahan serius," katanya ketika dihubungi media di sini, semalam.

Abd Rahim yang kesal dengan kejadian itu, menegaskan yang perbuatan jenayah membabitkan anggota polis di negeri ini adalah kes terpencil berbanding lebih 4,000 pegawai dan anggota yang sedang bertugas di seluruh negeri.

Awal bulan ini, seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor yang bertugas di ibu pejabat polis daerah negeri ini, ditahan untuk siasatan ekoran dakwaan memaksa seorang gadis bawah umur melakukan seks oral.

No comments

Powered by Blogger.