Azmin: Pegang Teguh Kerangka Pakatan Rakyat

Pemimpin Pakatan Rakyat diminta tidak usah bercakaran sesama sendiri kerana ia boleh menghakis keyakinan rakyat, sebaliknya perlu berpegang teguh kepada kerangka besar dalam agenda perjuangan.

Naib Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali berkata, pemimpin usah menjadi watak jaguh dalam dalam mempertahan ideologi, kepentingan dan agenda peribadi hingga menjejaskan Pakatan Rakyat.

Katanya, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah berulang kali memberi peringatan kepada pimpinan supaya tidak membawa masalah ke dada media yang dikuasai Umno-Barisan Nasional (BN).

"Media Umno-BN musuh kita. Mereka mengupah ramai 'spin doctor' untuk memutar belit kenyataan Pakatan Rakyat dan membohongi rakyat. Mengapa segelintir pimpinan Pakatan Rakyat sukar memahami perkara semudah ini?"

"Penyelesaian terbaik adalah melalui semangat muafakat dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat semua peringkat," katanya dalam blognya lewat artikel berjudul Apa Signifikan Keputusan Bagan Pinang.

Azmin berkata, Pakatan Rakyat perlu bermuhasabah dan berlapang dada walaupun suara Bagan Pinang tidak semestinya mewakili sentimen rakyat Malaysia tapi tidak boleh dianggap kes terpencil.

Katanya, pimpinan Pakatan Rakyat perlu memantapkan organisasi di semua peringkat dan menjelaskan dasar kepada rakyat, antaranya ekonomi, pendidikan, agama, budaya dan hubungan antarabangsa.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat dibentuk bukan untuk membetulkan Umno-BN, sebaliknya menjana perubahan total dan mengangkat agenda reformasi dalam sistem kenegaraan.

"Justeru, pengukuhan pentadbiran dan penambahbaikan sistem penyampaian di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, perlu. Ia menjadi produk untuk dijual pada pilihan raya umum ke-13.

"Keupayaan Pakatan Rakyat mentadbir dan mengurus ekonomi dan masalah rakyat pasti meningkat keyakinan rakyat. Mereka, khususnya genarasi muda mahu perubahan dan membina Malaysia Baru," katanya.

1 comment

MANSOR JUNUS said...

Azmin bagi nasihat kpd pemimpin PR supaya tidak memberi ruang kpd media untuk mengeksploitasi sebarang sengketa. Ini adalah sesuatu yang amat wajar pada masa ini. Tetapi baru2 ini beliaulah yang telah membangkitkan beberapa isu dalam negeri Selangor sehingga kecuh juga sejenak. Meminta MB supaya rombakkan semula barisan exco dan macam2 lagi.Apa cerita ni.

Powered by Blogger.