Bagan Pinang akan ku kenang

Oleh Mujahid Yusof

OKT 13 – Saya kembali dari Bagan Pinang setelah seminggu lebih berkampong di sana pada hari mengundi iaitu 11 hb. Jadual saya hari mengundi itu ialah ditugaskan untuk menjaga peti undi di estet Etherton yang kini dikenali sebagai Estate Salak.

Saya bersama dengan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Ghani Abdul Rahman dan seluruh jentera Melaka memastikan pengundian hari itu berjalan lancar bagi pihak PAS.

Selain dari bertugas saya juga dapat bertemu dengan kawan-kawan lama dari Melaka yang hampir semuanya saya kenali. Isteri saya turut berada disisi untuk rayu undi saat-saat akhir bagi memastikan calon PAS menang dalam PRk B.Pinang.

Tiada yang tidak diingini berlaku di estate tempat saya ditugaskan melainkan sorakan sekali-sekali kedengaran antara dua kumpulan perayu undi, namun kelihatan perayu BN kebanyakannya dari orang India sesekali tenggelam dalam sorakan “rasuah!” dan “duit” mereka kelihatan anak-anak muda yang seolah-olah tidak tahu menahu apa-apa tentang politik dan hanya menjadi tukang sorak sahaja.

Di sebelah PAS antara kumpulan PAS Melaka ada beberapa kumpulan KPP (Kelab Penyokong PAS) yang bertugas, bilangan mereka di sekitar 20 orang dan dengan bangganya memakai baju PAS dan melaungkan undi PAS kepada pengundi-pengundi.

Saya rasa sebelum ini tidak terbayang oleh kepimpinan dahulu bahawa satu hari mereka dapat melihat orang India bermati-matian berkempen untuk PAS malah menjadi ahli KPP pulak.

Ada satu kes sebelum hari mengundi di estate Bradwall dimana pihak estet melarang post PAS dibuat dalam kawasan perumahan sedangkan MIC membina post yang agak besar di tengah-tengah jalan antara rumah dalam estet. Berkat KPP dan orang tempatan yang begitu bersemangat menyokong Pas mereka berkeras dengan pihak pengurusan, kalau MIC boleh buat mengapa Pas tidak boleh buat.

Kekecehon berlaku dan menjadi kes polis, namun akhirnya PAS berjaya juga membuat posnya dalam kawasan perumahan estet yang sebelumnya dihalang oleh MIC dan pihak pengurusan estet sendiri.

Saya kagum dengan semangat KPP mereke bukan sahaja menyokong PAS tetapi bertegas untuk memastikan bendera PAS di pacak dan pos dibuat, mereka sanggup menongkah arus kerana yakin dengan perjuangan PAS, walaupun orang MIC kebingungan apalah sangat Pas bagi kepada mereka, MIC lainlah duit dapat, kemudahan dapat , tapi PAS bagi apa? Sebagai Pengerusi perpaduan yang bertanggungjawab penuh kepada KPP, PAS hanya menwarkan jaminan dasar keadilan yang dibawa dan PAS menjaminkan kebajikan untuk semua kaum, itu sahaja yang PAS berikan.

Cukup dengan keyakinan itu KPP dapat berjalan dan membina peribadi ahlinya yang yakin dengan PAS. Duit ringgit bukan umpanan PAS kerana PAS yakin dengan RM sahaja KPP atau siapa sahaja yang menyokong PAS tidak akan ke mana-mana. PAS mahu sokongan yang tulen dan bermakna, dari sini lahirnya pengorbanan, perjuangan dan sanggup mempertahan dasar parti.

Sekurang-kurangnya ini bukan retorik malah telah terbukti dengan penglibatan KPP 24 jam di Bagan Pinang baru-baru ini. Tengahari saya mohon izin ustaz Ghani Abdul Rahman untuk beredar kerana tugasan saya tamat pukul 12 thgari. Saya terlalu letih setelah berminggu di sana dengan program angkat Parlimen dan tumpuan kempen ke estate dan Taman Perumahan majoritinya masyarakat Cina.

Dalam perjalanan ke KL sebelum balik ke Parit Buntar, saya tidak dapat lelap kerana sms dan telefon bordering memaklumkan ada kekecehon di beberapa tempat pengundian, baling botol malah ada yang bertumbuk.

Saya hanya menggeleng kepala tetapi tidak heran kerana semasa berkempen saya turut mengalami keadaan provokasi Pemuda Umno yang gagal mengawal keadaan, walaupunsaya dan rakan MP lain bersabar. Saya berfikir, kalau perkara ini berlaku kepada mereka yang tak ada kesabaran dari ahli PAS sudah tentu pertembungan tidak dapat dielakkan lagi. Jadi bila kawan hantar maklumat cerita itu semua saya hanya dapat menggeleng kepala sahaja.

Sampai di KL saya bertandang di rumah mak saudara saya untuk menghadiri rumah terbuka di kawasan elit Damansara. Emak saudara saya ini di kalangan kumpulan elit dan suku sakat Rawa yang hadir hari itu pun hampir di kalangan elit jugak.

Namun apabila saya sampai mereka bukan bertanya apa khabar saya, tetapi soalan terpacul dari mulut-mulut mereka ialah “Bagaimana Bagan Pinang?” saya pun menceritakan apa yang di alami selama seminggu berkempen dan masing-masing mengharapkan Pas dapat buat sejarah di sana walaupun nada mereka tidak berapa yakin kerana undi pos. Perjalanan balik setelah menikmati juadah rumah terbuka, saya tertidur panjang dalam kereta walaupun anak-anak dan isteri saya sedang berceloteh tapi saya seolah tidak mendengar apa-apa melainkan mata semakin kuyu dan terus ghuyub.

Sampai di Bukit Merah lebih kurang pukul 8.00 mlm, tersedar kerana driver saya Aziz terpaksa berhenti isi minyak dan masa itulah kedengaran di radio kereta saya, keputusan yang ditungu-tunggu iaitu keputuran PRk N31 di mana BN menang dengan majoriti yang lebih besar dari 2004.

Sejurus kemudian bertalu-talu sms memaklumkan keputusan Bagan Pinang kerana sudah tahu isinya saya tidak mempedulikan sms yang sampai dan dalam kepala saya hanya beberapa persoalan yang bermain, antaranya undi pos, undi kaum India di estate, pengundi Melayu, dan paling penting ialah kemenangan calon BN yang membawa isyarat yang cukup bahaya kepada masa depan politik tanahair.

Esoknya seperti biasa kerinduan saya kepada Dataran Sungai Kerian di Pekan Parit Buntar terlerai apabila pagi-pagi lagi saya menghirup udara nyaman Sungai Kerian dan terus memanaskan badan sambil bertegur sapa dengan rakan jogging yang lain.

Sunyi sepi, tidak ada seorang pun yang bertanyakan khabar Bagan Pinang atau menunjukkan respons, tidak seperti Bukit Gantang, Permatang Pasir, rakan-rakan di Dataran khususnya orang Cina membuat isyarat tanda bagus dan bertanya khabar. Mungkin mereka takut bertanya kerana kalah bisik hati saya.

Di pasar Pekan Parit Buntar hari ini seorang peniaga sayur Cina menyapa saya dengan nada yang kesal, “Ayya ... PAS kalah, tapi tak pa, mau hentam lagi kuat kasi BN habis ooo...”

Seorang peniaga Melayu menjual ulam pun apabila ditegur terus mengadu hal katanya “Habihlah YB kita, seminggu ni depa dok ulang hak tulah (kemenangan BN) saja, sakit saya dengaq.”

Saya hanya senyum dan seperti biasa menanam keyakinan untuk masa depan lebih baik.

Saya terkenang Bagan Pinang walaupun baru 2 hari saya tinggalkan, bukan kerana orangnya atau tempatnya tetapi terkenang betapa kerja kuat aktivisi PAS dari seluruh negara yang tinggal anak isteri untuk bertugas tanpa peruntukan tidak mendapat hasil yang diharapkan.

Entah berapa kali mesyuarat di bilik operasi dan induk untuk mengemaskinikan jentera, bayangkan kekecewaan, bagaimana KPP yang begitu bersemangat menerima maklum balas bahawa di peti undi estate yang mereka bertungkus lumus kalah walaupun sambutan program menggalakkan. Bayangkan calon PAS sdr Zulkefly Mohamad Bin Omar terpaksa menerima kekalahan dalam permainan demokrasi ini, keluarganya, anak-anaknya dan orang ramai.

Saya terkenang semua itu, malah saya membayangkan dengan usaha gigih PR untuk menimbulkan kesedaran perlunya reformasi politik negara dengan menolak parti rasuah dan calon yang palit dengan rasuah nampaknya masih belum menyengat di hati pengundi N31. Saya memikirkan, apakah isyarat kemenangan BN petanda kepada masa depan PR khususnya PAS dengan pengundi bukan Melayu? Apakah ‘Malay base’ PAS masih belum dapat menguasai kelompok di pengundi di Selatan termasuklah Johor dan Melaka.

Apakah isu-isu yang dimainkan oleh Umno tentang PAS yang tidak ada agenda Melayu dan menjadi kuda tunggangan Dap meresap dalam kepala dan minda pengundi Melayu? Apa akan jadi kepada slogan “Pas for All”, tak menyengat lagikah? Apakah Pas kena cipta semula dirinya untuk PRU 13 bagi meyakinkan pengundi kewibawaannya memimpin perubahan bersama rakan DAP dan PKR?

Saya terkenang semua itu dan kenangan itu semuanya kerana Bagan Pinang, walaupun sebelum ini saya biasa ke Port Dickson tetapi kali ini berbeza, saya pergi bukan kerana nak menikmati pantai atau makanan enak di sana, saya pergi kerana mahu melihat Pas mencipta satu lagi kemenangan setelah MU, PP sebelumnya KT dan BG, tapi semangat itu dikejutkan dengan satu “wake up call” dari BP.

Hanya satu kata keramat rakan wartawan akhbar Cina saya di Parit Buntar yang saya masih ingat sebelum saya berangkat ke Bagan Pinang, dia kata “kalau menang bagus untuk Pas, tapi kalau BN menang PRk, itu tandanya PAS dan PR akan menang PRU ke 13 ...” sebab katanya lagi “rakyat seluruh negara akan menjadi lebih marah kerana Isa Samad yang palit rasuah pun BN beri laluan dan menang besar pula!

Kalau bertanya kepada saya memang saya mahu mempercayai kata rakan saya ini namun sehingga itu menjadi kenyataan PAS perlu bangkit dan transformasi dirinya untuk meyakinkan pengundi bahawa PAS adalah parti masa depan untuk rakyat Malaysia!

No comments

Powered by Blogger.