Bandar Tentera Atau Bandar Lalat?

DI SAMBUT DENGAN LALAT
Esok adalah hari penamaan calon. Petugas Pakatan Rakyat dari seluruh negara mulai membanjiri Port Dickson. Mata dunia ke arah kita, demi menyaksikan kesinambungan kebangkitan rakyat berhadapan dengan rejim Umno-BN.

Setiap bilik gerakan mulai dihiaskan sepanduk dan poster. Jadual tugas mulai penuh di papan kenyataan, dan Pejabat Parlimen Telok Kemang menjadi bilik gerakan utama bagi seluruh jentera Keadilan yang akan berbondong tiba.

Selepas memenangi kerusi Parlimen 132 Telok Kemang, antara isu utama yang saya kemukakan di Dewan Rakyat adalah masalah asas tentang kebersihan. Tak jauh daripada DUN Bagan Pinang, ada sebuah pusat pelupusan sampah yang menjijikan. Tak ada teknologi moden. Tak lebih hanya mengharapkan aturan dan 'kekuatan' alam agar bukit sampah yang bertimbun di sana terhapus sendiri. Justeru itu, lalat merupakan masalah utama di seluruh pusat peranginan di sini. Masalah yang berlarutan lebih 15 tahun... masalah yang berpunca sejak zaman calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Isa Samad menjadi menteri besar.

Berbuih mulut di Dewan Rakyat dan DUN membangkitkan isu ini, termasuk oleh tiga ADUN Pakatan Rakyat yang menang dalam PRU-12 lalu di bawah Parlimen Telok Kemang. Jawapan yang diberikan berputar-putar. Pihak kerajaan negeri menunggu peruntukan kerajaan pusat. Pihak kerajaan pusat pula menunggu kelulusan tapak baru daripada kerajaan negeri. Sementara itu, lalat semakin membiak.

Di samping mengucapkan selamat datang kepada semua yang bakal berkunjung ke Telok Kemang dan Port Dickson, saya juga memohon agar perhatikan bagaimana hal yang paling asas iaitu kebersihan dan keselamatan rakyat daripada terus diburu dan diserang lalat kekal berpanjangan. Dalam waktu yang sama, janji pilihanraya kecil mulai ditabur, konon Bagan Pinang akan menjadi "Bandar Tentera".

"Tentera lalat" pun tak dapat diselesaikan, apakah dapat diharap pembelaan terhadap pengundi di sini!? Demi itu, kita perlu tambahan satu lagi wakil di DUN iaitu 4 daripada 5 kerusi DUN di Telok Kemang. Dengan kemenangan itu nanti, insyaalah sebagai mesej dan isyarat bahawa rakyat Bagan Pinang sudah tak sanggup lagi hidup di dalam kerumunan jutaan ekor lalat setiap hari.

Ayuh mulakan perjuangan, dengan langkah kanan.

PAKATAN RAKYAT BAGI BAGAN PINANG!

http://telokkemang.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.