DAP Kesal Status Bumiputera Dipolitikkan UMNO-BN

SHAH ALAM, 18 Okt- Persidangan Parti Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu atau Upko dilancarkan di Papar hari ini.

Dirasmikan oleh Presiden Tan Sri Bernard Dompok, persidangan itu meluluskan sepuluh usul termasuk status Bumiputera untuk ahli-ahli Upko yang berketurunan Cina.

Ketika diminta mengulas usul ini, pemimpin DAP Ronnie Liew Thian Kiew berkata Barisan Nasional perlu jelas dalam soal Bumiputera ini dan bukan untuk menghadapi pilihanraya Sabah dan Sarawak semata-mata.

“Saya difahamkan mereka ada usaha untuk menambahkan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dalam pilihanraya akan datang, jadi caranya dia mahu tambahkan kerusi dari Sabah dan Sarawak supaya mengekalkan kerajaan pusat di Malaysia. Itu tujuan dia, saya rasa kalau Perdana Menteri sendiri menjadi pengerusi, lebih jelas tujuan itu”, katanya.

Katanya lagi, pendirian parti komponen BN tidak menepati konsep Satu Malaysia yang dilaung-laungkan kerana pemberian status itu dilihat berat sebelah dan hanya mementingkan kelompok tertentu sahaja.

“Ini akan mengecilkan hati orang Cina di lain tempat, khasnya di Semenanjung, sebab kalaulah Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri yang mengheboh-hebohkan konsep Satu Malaysia, janganlah pula dasar dan polisinya ada 2, 3, 4 Malaysia; ini bukan Satu Malaysia lah, kalau betul-betul konsep Satu Malaysia, peluang mestilah diberikan kepada semua orang, semua golongan, bukan golongan-golongan tertentu, mengikut arus politik”, tegasnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.