Dr Syed Husin: Badrul Gagal Laksana Tugas

SHAH ALAM, 30 Okt - Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali menyifatkan Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisyam Abdullah sebagai wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab kepada pengundi dan Kerajaan Negeri Selangor.

Ini terbukti apabila Badrul gagal memberi perkhidmatan kepada rakyat dan tidak hadir dalam mana-mana program kerajaan negeri.

“Sebenarnya masalah Badrul ni bukan baru, dah lama, masalah dia dari beberapa segi, pertama dia tidak melaksanakan tanggungjawab dia, tanggungjawab kepada pengundi dan juga tanggungjawab kepada kerajaan sebagai ADUN, kepada pengundi dia tak bekerja kuat untuk pengundi-pengundi dalam kawasannya, bahkan tak memuaskan semua sekali setahu saya dan kepada kerajaan dia kadang-kadang tak hadiri misalnya sidang-sidang DUN”, katanya.

Menurutnya, Badrul tidak menguruskan peruntukan DUNnya dengan telus sehingga menimbulkan pelbagai masalah termasuklah dakwaan berlaku penyelewengan peruntukan.

“Sebenarnya ada unsur tuduhan dan tuduhan itu ada asas bahawa cara penyelenggaraan wang peruntukan bagi tiap-tiap DUN tak begitu telus, oleh kerana tak telus, maka timbul lah macam-macam tuduhan, jadi saya percaya pihak kerajaan pun tidak puas hati dengan soal penyelenggaraan kewangan ni, dan oleh kerana itu, kerajaan melantik seorang lain untuk menjalankan tugas-tugas melaksanakan kerja-kerja dalam kawasan dan mungkin juga luar kawasan yang memerlukan peruntukan daripada wang ADUN itu”, tegasnya.

Beliau membidas Badrul kerana enggan mengosongkan kerusi DUN Pelabuhan Klang walaupun beliau nyata tidak layak memegang jawatan itu.

Dr Syed percaya tindakan Badrul itu dipengaruhi oleh pihak tertentu dalam Umno.

“Saya rasa dia takkan nak berhenti, orang Umno takkan kasi dia berhenti, orang Umno akan takut akan ada pilihanraya kecil di situ, dia akan terus saya percaya menjadi ahli majlis undangan dengan kali ni sokongan Umno”, tambahnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.