Ean Yong Enggan Lalui Pemeriksaan Mental Tanpa Peguam

SELAYANG, 20 Oktober -Majikan Teoh Beng Hock, Exco Selangor Ean Yong Hian Wah berkata beliau menunggu arahan dari Koroner Azmil Muntapha Abas untuk tindakan seterusnya selepas pihak Hospital Selayang membuat keputusan menunda temubual psikiatri hari ini.

Pihak hospital dikatakan enggan meneruskan temubual psikiatri ini jika Ean Yong ditemani peguam.

Exco Selangor ini mahu ditemani peguam sepanjang sesi temubual ini bagi mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Semalam, ahli keluarga mendiang mengambil keputusan untuk menunda temubual psikiatri ini selepas pihak hospital enggan membenarkan kehadiran peguam mereka.

“Apakah tujuan disebalik pemeriksaan ini.Mengapa peguam tidak dibenarkan mengiringi mereka semasa temujanji ini.Apakah perkara yang perlu di rahsiakan ataupun SPRM menganggap kita ada masalah jiwa”,kata Ean.

Ean Yong ditemani oleh peguam Tiew Way Key. Selain dari majikan mendiang, Setiausaha Sulit kepada Ean Yong, Hiew Kim Boon dan Pembantu Peribadi kepada Exco Selangor Teresa Kok, Mandy Ooi turut dipanggil.

Pada 2 Oktober lepas Koroner Azmil membenarkan anggota keluarga serta pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ditemubual oleh dua pakar sakit jiwa.

Temubual ini dikatakan dapat membantu siasatan mengenalpasti punca kematian Teoh Beng Hock.

“Saya telah mendapat pengesahan tadi daripada pakar-pakar doktor yang mana adalah silent,tak ada surat-surat atau arahan daripada koroner samada membenarkan atau tidak membenarkan klien-klien saya diwakili oleh peguam atau tidak dan saya juga katakan bahawa ia patut diwakili atas permintaan mereka.Apa yang kami difahamkan pakar-pakar doktor terdapat satu perselisihan faham atau miscommunication sepanjang proses ini”,kata peguam Ean.

Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah yang merupakan antara yang terakhir melihat mendiang Beng Hock turut diminta menjalani temubual ini.

Beng Hock ditemui mati dipercayai terjatuh dari tingkat 14 ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor 16 Julai lalu.

Beliau dipanggil membantu siasatan SPRM dalam satu operasi besar-besaran terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Mangsa ditemui mati selepas disoalsiasat 10 jam tanpa henti.

No comments

Powered by Blogger.