ERUTUSAN HARI DEEPAVALI 2009 oleh DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

PERUTUSAN HARI DEEPAVALI 2009

Oleh
YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


Sabtu, 17 Oktober 2009;
28 Syawal 1430

———————————————


Salam sejahtera dan salam mesra kepada rakyat negeri Selangor, khususnya penganut agama Hindu.

(1) Pada hari yang berbahagia ini, saya dan isteri, Puan Sri Salbiah, dengan sukacitanya mengucapkan selamat menyambut hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu. Semoga saat yang muncul setahun sekali ini digunakan dengan sewajarnya untuk menghapuskan budaya buruk dan jahat sejajar dengan kedatangan cahaya bagi menyinari segala hajat dan cita-cita murni saudara-saudari.

(2) Selaku Dato’ Menteri Besar, ucapan ini saya tujukan juga kepada masyarakat India di Selangor yang bukan beragama Hindu kerana pesta cahaya sepanjang Hari Deepavali membawa sinar kebaikan untuk semua. Ia wajar diraikan bersama lantaran ia bukan acara keagamaan semata-mata.

(3) Kepada rakyat Selangor lain, hari cuti di hujung minggu ini merupakan peluang untuk turut memeriahkan Hari Deepavali dengan berkunjung ke rumah rakan-rakan yang beragama Hindu.

(4) Saya doakan semoga semua penganut Hindu mampu menyambut perayaan ini dengan penuh muhibah dan persefahaman di samping berusaha merapatkan perhubungan dan perpaduan dengan kalangan rakyat yang berketurunan Melayu, Cina, atau Bumiputera lainnya, dalam suasana aman dan mesra.

(5) Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor memang prihatin terhadap kebajikan semua rakyat tanpa mengira perbezaan kaum dan agama, dan dalam hal ini berusaha memberikan bantuan sewajarnya.

(6) Selepas memenangi pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008, dan membentuk kerajaan pada 9 Mac 2008, kita mengamalkan pendekatan lebih terbuka terhadap semua agama dan budaya rakyat pelbagai kaum.

(7) Malahan, Kerajaan Pakatan Rakyat menghormati aspirasi dan kehendak semua lapisan masyarakat dengan memberi peruntukan kewangan dan kawasan tanah yang lebih luas bagi mendirikan tempat-tempat ibadat selain surau dan masjid untuk orang Islam.

(8) Perkara yang penting, rakyat Selangor yang pelbagai keturunan dan agama, sewajarnya membina kehidupan bermasyarakat secara bersama dengan menitikberatkan semangat kerjasama, toleransi, mesra, di samping tekun menjalankan tanggungjawab peribadi mahupun tugas yang diamanahkan oleh majikan atau ketua keluarga.

(9) Sempena Hari Deepavali ini, saya menyeru supaya masyarakat India di negeri Selangor mengutamakan pendidikan anak-anak kerana pencapaian dalam bidang pendidikan boleh menjamin masa hadapan yang lebih baik. Kita maklum di Selangor terdapat 97 buah sekolah Tamil dengan populasi murid berjumlah 34 ribu orang. Kira-kira 80% kanak-kanak yang menghadiri sekolah Tamil merupakan anak-anak golongan berpendapatan rendah.

(10) Kerajaan Negeri dengan kerajasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan atau NGO, ada strategi tertentu melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan kemajuan sekolah-sekolah Tamil di Selangor. Diharapkan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola sekolah-sekolah Tamil menggunakan kesempatan yang ada untuk membantu inisiatif kerajaan ini bagi faedah anak-anak kita yang belajar di sekolah-sekolah Tamil.

(11) Dalam hal mewujudkan golongan belia yang bermoral, diharapkan pertubuhan-pertubuhan belia India dapat merangka strategi dan aktiviti yang boleh membimbing dan memberi latihan kepada belia-belia India agar menjadi warganegara yang berjaya dan berjasa kepada negeri dan negara.

(12) Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sedia membantu mana-mana pertubuhan belia yang aktif tanpa mengira kaum, asalkan ahli-ahli pertubuhan belia bersedia menerima bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar bagi manfaat diri, keluarga dan negara.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput semua rakyat Selangor untuk menghadiri rumah terbuka Kerajaan Negeri sempena perayaan Deepavali pada 24 Oktober 2009, pukul 6 petang hingga 11 malam bertempat di Padang Timur MBPJ di Petaling Jaya. Sekianlah sahaja ucapan saya. Selamat Hari Deepavali. Terima kasih.



Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor
Tingkat 4, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Laman web: www.selangorkini.com.my, www.selangor.gov.my, www.tvselangor.com.
Tel: 03-55447456, Fax: 03-55135068

No comments

Powered by Blogger.