Gelisah kerana hidup penuh rasuah

Soal Jawab Agama Bersama DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: Saya seorang pegawai yang mempunyai kuasa meluluskan tender. Saya berusaha menjadi seorang pekerja yang baik dan telus, tetapi setelah sesuatu projek itu diluluskan maka bermulalah jamuan di hotel percuma, umrah percuma dan hadiah wang. Itulah pusingan kehidupan yang sudah menjadi sebahagian daripada budaya diri.

Namun demikian, sejak anak angkat saya dilarikan teman lelakinya ke seberang dan balik selepas tiga minggu, timbul rasa fobia yang mengerikan hingga menyebabkan kehidupan menjadi bercelaru. Usaha untuk mengembalikan anak angkat itu ke rumah terlalu memenatkan dan memakan belanja berpuluh ribu ringgit.

Apa yang perlu saya lakukan untuk memperoleh ketenangan dan keyakinan hidup sama seperti ketika saya mula bekerja dahulu.

Amin Alang, Kuala Dungun, Terengganu.

JAWAPAN:
Allah s.w.t. menjadikan manusia itu berakal menyebabkannya teristimewa daripada malaikat dan jin-jin, juga binatang. Namun demikian berpandukan akal semata-mata manusia boleh menjadi sesat dan terpesong akibat nafsu yang menguasainya.

Manusia yang berakal dan dapat menggunakan akalnya dengan waras memahami bahawa membunuh orang itu salah, begitu juga dengan perbuatan zina, mencuri dan sebagainya termasuk amalan menerima atau memberi rasuah yang akhirnya hanya akan membinasakan diri, masyarakat dan negara.

Bagi orang yang berupaya berfikir waras mereka tentunya memahami bahawa memakan jamuan yang diberi di hotel-hotel atau di tempat lain, melancong ke luar negara dengan percuma atau pemergian ke Mekah mengerjakan umrah dengan percuma dan juga pemberian wang tunai setelah sesuatu projek diluluskan adalah amalan yang salah.

Dirasakan salah ialah kerana kurniaan yang diberi secara percuma itu mempunyai kepentingan, boleh mempengaruhi keputusan seseorang sebagai pegawai pentadbir yang diberi amanah negara. Pemberian percuma dilakukan kerana ia ada kaitan dengan pentadbiran atau kuasa yang dimiliki oleh seseorang.

Tidak mudah untuk mana-mana orang memberi jamuan percuma di hotel-hotel, umrah percuma dan juga wang begitu sahaja kalau tidak ada motif tertentu di sebalik pelbagai pemberian sedemikian rupa. Di sinilah letaknya bibit-bibit rasuah dalam perilaku yang dijelaskan. Logik seperti ini dapat difikirkan oleh orang yang waras.

Walaupun demikian, nafsu itu sering memujuk untuk menipu manusia dengan membisikkan dalam diri bahawa apa yang diberi itu adalah ikhlas, semata-mata kerana Allah. Tambang yang diberi untuk ke Mekah dan bayaran sepenuhnya juga kerana Allah. Bukan rasuah atau tujuan yang tidak baik kerana wang yang diberikan setelah semua projek sempurna dilakukan. Tidak terdapat perundingan ataupun sepakatan untuk memberi imbuhan beberapa peratus daripada nilai projek yang diluluskan.

Apabila nafsu itu menguasai diri seseorang, timbangan ataupun neraca saksama akal itu akan terhakis dan menepi, lalu akhirnya seseorang itu akan menerima imbuhan seperti yang saudara jelaskan.

Dalam keadaan seperti ini, cuba saudara fikir andainya saudara bukan seorang pegawai yang mempunyai kuasa seperti yang dijelaskan, adakah berkemungkinan ada manusia yang akan membelanjakan makan percuma di hotel, umrah percuma dan sebagainya? Tentunya tidak. Di sini timbulnya bukti memperlihatkan bahawa apa yang berlaku itu mempunyai kepentingan diri, bukan berdasarkan keikhlasan ataupun kejujuran.

Biarpun saudara mengambilnya, namun selagi saudara masih boleh berfikir pada waktu-waktu tertentu akan timbul rasa bersalah diri yang menyatakan apa yang dilakukan adalah salah, ada unsur-unsur rasuah, tetapi perasaan sedemikian rupa saudara benamkan menyebabkan nafsu menguasai pemikiran, lalu saudara terus-menerus mengambil menikmati pemberian tadi, akhirnya hidup seperti ini menjadi sebahagian daripada budaya saudara.

Mengambil rasuah mengundang dosa. Dosa itu najis yang menjijikkan. Orang yang terpegang najis atau terhidu busuk najis itu boleh muntah. Namun andainya sesuatu yang menjijikkan itu terjadi selalu, ia akan menjadi perkara biasa. Tidak menjijikkan atau tidak menyebabkan muntah lagi kerana sudah immune dan menjadi sebahagian daripada kehidupan.

Perumpamaan ini mungkin ada kebenarannya kalau dibandingkan dengan najis kucing. Bagi orang yang banyak memelihara kucing, yang tidak mengambil indah kebersihan najis tidak akan merasai betapa busuk dan menjijikkan najis berkenaan. Walaupun demikian, bau yang ganjil seumpama ini akan dirasai oleh mereka yang datang sesekali ke tempat mereka.

Begitulah halnya dengan orang yang terlibat dengan rasuah ataupun lain-lain dosa yang telah menjadi sebahagian daripada budaya hidupnya. Terasa ganjil atau rasa tidak kena apabila ia berubah udara ke tempat yang tidak ada najis kucing. Iktibar ini sama dengan orang yang mengambil rasuah. Terus rasa ketagih untuk menerima rasuah.

Tingkah laku seperti ini adalah memudaratkan, menzalimi diri, khianat pada masyarakat dan negara yang memberi amanah kepadanya. Paling bahaya apabila Allah menutup pintu hati mereka daripada menerima hidayah.

Nasihat-nasihat yang diberi hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Iktibar dan balasan mereka yang menerima rasuah, kehilangan pekerjaan, masuk penjara, penderitaan yang diterima oleh anak isteri tidak dapat dijadikan contoh yang menginsafkan.

Dalam surah al-Baqarah: 7, terdapat firman Allah s.w.t. yang merujuk kepada orang yang seperti ini yang bermaksud: Allah s.w.t. telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka ditutup. Bagi mereka seksa yang amat berat.

Mengenai tegahan rasuah, Allah berfirman seperti yang tersebut dalam surah al-Baqarah: 188 yang bermaksud: Dan janganlah sebahagian daripada kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui.

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Umar dinyatakan rasulullah s.a.w. melaknat orang yang menerima dan memberi rasuah.

Selain daripada gejala utama yang boleh menyebabkan keruntuhan sesebuah negara, pengkhianatan yang dilakukan menyebabkan timbul gejala-gejala buruk pada diri orang yang terlibat.

Rasa gelisah dan tidak tenang sentiasa menghantui diri. Selagi seseorang itu mempunyai akal waras, akan timbul perasaan rasa bersalah akibat perbuatan tadi. Bagi seorang Islam, rasa takut terhadap balasan akhirat iaitu neraka pasti akan wujud.

Orang seperti ini andainya bertaubat tetapi terus menerima rasuah apabila berkesempatan akan merasa bahawa Allah s.w.t. tidak menerima taubatnya. Orang yang bertaubat tetapi tetap mengulangi perbuatannya adalah mereka yang mempersenda Allah s.w.t.

Sebagai ketua keluarga, orang yang terlibat dalam rasuah akan merasa bahawa apa yang disajikan untuk keluarga, isteri, anak-anak, ibu bapa dan saudara-mara juga sahabat yang bertandang adalah daripada sumber yang tidak halal.

Rasulullah s.a.w. ada bersabda menyatakan kalau tidak kerana tiga perkara, manusia tidak akan menundukkan kepalanya. Tiga perkara tersebut ialah kefakiran, kematian dan sakit.

Bagi saudara, setelah bergelumang dengan hidup seumpama itu, saudara merasa bersalah akibat kecelakaan yang menimpa, menyebabkan saudara menderita dan terpaksa mengeluarkan wang berpuluh ribu ringgit. Apa yang berlaku begitu menyakitkan tetapi kebaikannya tetap ada. Ia menginsafkan saudara daripada lamunan dakapan nafsu. Allah s.w.t. Maha Mengetahui bagaimana hendak melahirkan rasa insaf pada hamba-Nya yang dikasihi. Dengan demikian ia akan menerima hidayah Allah s.w.t.

Untuk memperoleh ketenangan dan kegembiraan kembali, saudara perlu kembali ke pangkal jalan dengan bertaubat dan jangan mengulangi jalan-jalan rentasan syaitan tadi. Namun untuk menjadi perkasa dan tabah tidak menerima rasuah saudara perlu memahami naluri hati yang hakiki di samping memahami agama, menerima hakikat adanya balasan baik dan jahat di akhirat kelak.

Selain daripada keburukan-keburukan yang dijelaskan, mereka yang memperoleh harta daripada sumber yang ditegah syarak tidak berupaya menghayati atau nikmat hasil yang diperoleh.

Kalau digunakan untuk membeli makanan, terasa darah yang mengalir adalah hasil haram. Andainya digunakan untuk beribadat, timbul rasa gundah sama ada ibadatnya diterima Allah atau tidak. Kerana wang yang diperoleh itu akan lebih banyak digunakan untuk sesuatu yang tidak perlu, yang sia-sia, yang tidak memberi manfaat apabila dibuat dan tidak memberi mudarat andainya tidak disediakan.

Ternyata betapa pentingnya keberkatan rezeki yang halal itu dalam membentuk budaya hidup harian kita.

No comments

Powered by Blogger.