Hasan Ali: Hanya Exco Agama dan Individu Bertauliah Layak Baca Khutbah Jumaat

GOMBAK, 31 Okt - Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Hasan Ali berkata hanya mereka yang bertauliah sahaja yang dibenarkan untuk menyampaikan khutbah Jumaat dan kuliah agama di masjid dan surau negeri ini.

Hasan Ali menegaskan peraturan dan garis panduan sudah pun dikeluarkan namun masih ada individu tertentu yang ingkar mengikutinya.

Bagaimanapun, pentauliahan itu hanya dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan menetapkan beberapa proses tertentu sebelum seseorang itu layak berbuat demikian.

“Peraturan-peraturan itu telah pun diberitahu sebenarnya kepada masjid-masjid dan surau-surau dan selepas ini peraturan itu akan diletak dalam bentuk notis yang agak besar di dinding-dinding tempat yang boleh dilihat dengan terang di surau dan masjid dan sebagainya. Antara peraturan itu ialah setiap pemberi khutbah, pengkuliah dan sebagainya mesti ada tauliah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)”, katanya.

Berkata demikian selepas menyerahkan bantuan Skim Mesra Usia Emas di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia hari ini.

Sebelum ini terdapat aduan daripada penduduk Seksyen 19 mendakwa seorang pemimpin politik menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Seksyen 19, Shah Alam baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, sebagai Exco Hal Ehwal Islam Selangor beliau dikecualikan sepertimana yang termaktub dalam Enakmen dan kaedah-kaedah pentadbiran Agama Islam Selangor.

“Itu kita sudah bagi tahu nazir-nazir, selagi tidak bertauliah, siapa pun tidak dibenarkan untuk memberi khutbah, macam saya misalnya membaca khutbah memang sudah ada dalam Enakmen dan juga Kaedah-kaedah Pentadbiran Agama Islam Selangor, bahawa Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor dibenarkan untuk memberikan khutbah, kuliah dan sebagainya”, jelasnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

2 comments

Yong said...

Wah! Hassan Ali perasan ulama!!

bat8 said...

hassan ali sengaja nak cari pasal dengan sultan selangor ni. Baginda dah keluarkan arahan mengenai siapa yang layak bercakap pasal islam di selangor ni melalui pengarah Mais tempohari.

Dalam arahan tersebut, nama dan jawatan exco beliau tak termasuk.

Nampaknya hassan ali tak membuang masa untuk meneruskan usahanya untuk meruntuhkan kerajaan pakatan di selangor dengan cuba melagakan kerajaan negeri dengan baginda sultan.

Maklumlah, dalam mesyuarat PAS pusat rabu lepas, geng PAS ganu yang pro UMNO sakan membelanya dan seolah-olah memberi lesen lagi besar kepada hassan ali untuk meneruskan usaha meruntuhkan kerajaan pakatan di selangor.

tunggulah PRU13 nanti. Hassan ali dan sebahagian adun yang menyokongnya akan tumbang. Yang paling sedih, PAS akan menerima nasib malang.

Powered by Blogger.