Hasan Ali terkilan dengan kritikan pimpinan PAS

Oleh SAIDAH HAIRAN

SHAH ALAM: Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali terkilan dengan dakwaan pihak tertentu bahawa beliau telah mengkritik siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) sehingga mengundang pelbagai spekulasi buruk terhadapnya.




Sebaliknya Dr Hasan berkata, beliau hanya mencadangkan supaya tatacara pendengaran awam Selcat itu dibuat secara berhemah, beretika, berakhlak dan lebih mesra.

"Saya bukan mengkritik, tetapi mencadangkan. Saya mencadangkan supaya tatacara siasatan itu dibuat secara lebih berhemah, berakhlak dan lebih mesra. Apa salahnya, itu saja," jelasnya.

Menurut beliau, penubuhan Selcat masih baru dan siasatan yang dijalankan baru kali kedua selepas siasatan berkaitan Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Tetapi katanya, siasatan Selcat telah dibuat secara siaran langsung dan terbuka kepada masyarakat awam. Menurut beliau, jika di sesetengah negara, perkara itu memerlukan tempoh sehingga 10 tahun baru mereka merasa sempurna perjalanan siasatan.

"Kita semua orang baru dan pertama kali menjadi anggota Selcat, sebab itu saya mencadangkan diadakan garis panduan. Apa yang perlu disoal, apa yang patut dijawab dan di mana had yang hendak dijawab," jelas Dr Hassan.

Beliau yang menyokong penuh Selcat sejak awal penubuhannya, terdorong untuk mencadangkan garis panduan kepada Selcat setelah melihat pegawai-pegawai kanan kerajaan 'memboikot' sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Katanya, terdapat anggota Exco kerajaan negeri yang mengadu sukar mendapatkan kerjasama daripada pegawai daerah khususnya untuk meluluskan cek, "atas alasan bimbang akan disiasat Selcat".

Dalam pertemuan dengan Harakah selama 40 minit, di pejabatnya, dekat sini, beliau turut setuju dengan jawapan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkenaan isu Selcat. Khalid dilaporkan berkata isu Selcat tidak ada kena mengena dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat kerana ia timbul hanya membabitkan bagaimana cara Selcat dijalanlan.

Ditanya apakah cadangannya yang telah menimbulkan kontroversi itu boleh menyebabkan Pakatan Rakyat ditolak dalam pilihan raya akan datang, Dr Hassan menafikan. Malah, ujarnya, sokongan rakyat terhadap Pakatan mungkin bertambah apabila setiap urusan kerajaan negeri dijalankan secara berhemah.

"Saya hendak mencadangkan penambahbaikan terhadap Selcat. Apa ruginya kepada DAP dan KeADILan? Saya tidak nampak apa-apa kerugian," tegasnya.

Beliau berkata, kita sepatutnya memegang prinsip, "orang yang datang dengan manis muka janganlah balik bermasam muka, sepatutnya orang itu datang bermanis muka pulang pun dengan manis muka."

"Tidak bolehkah kita buat begitu, dam jika saya guna falsafah itu adakah DAP, KeADILan serta 28 juta rakyat Malaysia tidak bersetuju, sedangkan ia untuk kepentingan bersama?" soalnya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor turut terkilan dengan sikap sesetengah pimpinan PAS yang mengeluarkan kenyataan tanpa mendapatkan maklumat sebenar daripadanya.

Ketika ditanya tentang pilihan raya kecil Bagan Pinang dengan isu Selcat, beliau yakin ia tidak akan menjejaskan langsung pengundian pada 11 Oktober nanti.

Dr Hassan turut membayangkan bahawa satu majlis perbincangan khusus antara pimpinan PAS Selangor dengan DAP Selangor akan diadakan dalam waktu terdekat. Difahamkan, ia boleh merongkai beberapa masalah dalaman yang berbangkit antara kedua-dua parti.

No comments

Powered by Blogger.