Histeria – Lelaki tidak terkecuali

Oleh Siti Shafinaz Maznan

CONTOH KES:
AISHAH, seorang pelajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan jatuh pengsan pada sesi pagi kuliahnya dengan seluruh tubuh mengalami kekejangan.

Pensyarah serta kawan-kawannya gagal memulihkan Aisyah walaupun telah berusaha pelbagai cara untuk menyedarkannya.

Setelah beberapa minit, Aisyah kembali sedar dan memandang sekelilingnya dengan wajah dan renungan yang penuh kehairanan. Tambah menghairankan, dia tiba-tiba meminta sepotong kuih untuk dimakan.

Setelah diselidiki, Aisyah rupa-rupanya tinggal bersama seorang ibu tiri yang cengil dan terlalu membatasi kebebasan serta perbelanjaannya.

Aisyah tertekan kerana memikirkan wang untuk menampung pengajiannya dan tatkala lapar, dia diburu ketakutan kerana teringatkan maki hamun si ibu tiri bila meminta wang.

Ketakutan dan kelaparan telah menimbulkan gejala-gejala yang dialaminya seperti di atas.

Aishah sebenarnya mengalami kekejangan akibat gejala fizikal dari gangguan jiwa yang dinamakan Histeria.

RAMAI mengaitkan kejadian pengsan mengejut disertai badan yang kejang, dengan penyakit sawan, buatan orang, gila meroyan dan sebagainya.

Pesakit tersebut juga adakalanya tidak sedarkan diri, bertempik dan mengeluh tanpa mengeluarkan air mata.

Kejadian seumpama itu biasanya terjadi pada waktu siang dari sekurang-kurangnya beberapa minit sehingga beberapa hari.

Tanda-tanda lain, pesakit kelihatan bingung, tidak mahu bercakap dan enggan menjawab sebarang pertanyaan.

Sebenarnya, gejala-gejala tersebut yang telah lama wujud merupakan sebahagian dari apa yang dipanggil Histeria.

Pada peringkat awal, ramai menyangka hanya golongan wanita yang menghidapinya sehinggalah bapa Psikoanalisis, Sigmund Freud membuktikan ia turut menyerang kaum lelaki.

Sebagaimana gangguan jiwa lain, histeria terjadi akibat tidak mampu menghadapi tekanan perasaan, kebimbangan, resah gelisah, cemas, putus asa, rendah diri, gagal serta menghadapi konflik yang hebat.

Tanpa disedari, individu yang gagal menghadapinya secara rasional akan melepaskan konflik-konflik itu kepada gejala-gejala histeria yang tidak wajar.

Gejala histeria terbahagi sama ada kepada fizikal (lumpuh, kejang, bisu) atau mental (amnesia, keperibadian kembar, somnambulisme, suka mengelamun).

GEJALA FIZIKAL:
- Lumpuh; salah satu anggota badan pesakit akan menjadi lumpuh akibat tekanan perasaan yang tidak dapat dikawal. Pesakit menggunakan gejala ini tanpa sedar untuk membela diri sekali gus mengatasi kesukaran-kesukaran yang dihadapinya. Biasanya, gejala lumpuh terjadi secara mengejut dan pesakit tidak merasa apa-apa.

- Kejang; gejala ini sering dikaitkan dengan tekanan perasaan yang terjadi kepada seorang penulis yang menjadikan kerjaya itu sebagai mata pencarian. Apabila tulisannya dianggap tidak menjadi, jarinya kadang-kadang menjadi kejang sebelum mula menulis.

Bagaimanapun, jarinya tidak bermasalah untuk melakukan aktiviti lain. Gejala ini juga sering berlaku kepada pemain biola, mekanik dan operator telefon yang berpunca daripada kebosanan melakukan kerja-kerja tersebut.

- Bisu; terbahagi kepada dua sama ada tidak dapat bercakap dengan suara yang kuat atau langsung tidak boleh bercakap dan tiada kena mengena dengan kerosakan pada mana-mana bahagian tubuh manusia seperti lidah, kerongkong atau alat pernafasan.

GEJALA MENTAL:
- Amnesia; hilang ingatan atau lupa pada kejadian-kejadian tertentu dalam hidup.

Ada yang hanya lupa kejadian tertentu sahaja dan ada pula yang lupa segala-galanya. Mereka lupa pada orang yang pernah dikenali bahkan lupa pada dirinya sendiri termasuk namanya, rumahnya, pekerjaannya dan sebagainya.

- Keperibadian kembar; berlaku akibat kegelisahan melampau. Ia dijadikan salah satu cara menghukum atau melepaskan diri dari konflik yang dihadapinya. Tanpa disedari, pesakit telah mengurung keperibadiannya yang pertama sehingga terpisah sama sekali dari alam kenyataan.

Selain menghukum diri, hal ini juga digunakan untuk menarik perhatian orang lain terhadapnya. Gejala ini jelas memperlihatkan tindakan-tindakan yang negatif di mana pesakit tidak mungkin bekerjasama dengan mereka yang pernah berhubungan dengannya sebelum ini.

Pesakit mendapat dua keuntungan jelas tanpa disedari dari gejala ini iaitu pemisahan sama sekali dan penekanan yang sempurna.

Dalam hal pertama, pesakit menjauhkan dirinya sama sekali dari alam nyata. Aspek-aspek kehidupan yang mencakupi perasaan, tindakan, pengalaman dan keseluruhan peribadi lama terpisah dari kesedarannya.

Dalam hal kedua pula, salah satu keperibadiannya ditekankan dengan cara melupakan segala pengalaman yang pernah dilalui serta menghapuskannya dari ingatan.

- Somnambulisme; pesakit yang diserang gejala ini dikuasai oleh fikiran dan kenangan yang saling berhubung antara satu sama lain.

Meskipun sedang tidur, pesakit masih dapat mengenal dan membezakan mana pintu tertutup dan terbuka serta mudah pula disuruh kembali ke tempat tidurnya. Apabila bangun dari tidurnya di pagi hari, dia tidak tahu apa yang telah terjadi kepada dirinya.

- Berjalan-jalan tanpa tujuan, tidak tahu mengapa dan ke mana hendak pergi merupakan satu lagi daripada beberapa gejala histeria

No comments

Powered by Blogger.