Ibrahim Sudah Mula Tidak Dipercayai

19 Oktober 2009 – Karier politik ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali disifatkan sudah tiba di penghujung apabila beliau sendiri sudah tidak dipercayai oleh sebahagian pimpinan UMNO untuk diterima menjaddi ahli parti tersebut. Di dalam masa yang sama, PAS yang telah memberikan peluang kepadanya bertanding di dalam pilihanraya umum yang lalu juga pastinya sudah ‘berkerat rotan’ dengannya yang disifatkan mengkhianati parti yang memberinya laluan.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas (DPPKPM), Ahmad Fadhli bin Shaari berkata, inilah nasib yang terpaksa ditempuhi oleh Ibrahim apabila seringkali mengubah pendirian politiknya dan pastinya beliau tidak akan dipercayai lagi samada oleh PAS atau UMNO. Suasana seperti ini akan meletakkannya dalam situasi yang tidak selesa khususnya untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 nanti.

“Kita percaya, ahli politik seperti Ibrahim tidak akan membawa apa-apa faedah kepada mana-mana parti yang disertainya. Namun, jika UMNO masih lagi sudi untuk menerima Ibrahim, kita alu-alukan kerana itu lebih memudahkan PAS di Pasir Mas ekoran kebencian pengundi-pengundi di Pasir Mas terhadap Ibrahim,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata demikian semasa mengulas kenyataan Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Bazlan Baharuddin yang meminta Majlis Tertinggi (MT) parti itu membuat penilaian terperinci sebelum menerima semula kemasukan bekas ketua Umno bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bagi mengelak “pisang berbuat dua kali”.

Bazlan seperti yang dilaporkan semalam turut mengingatkan bahawa apa yang dialami oleh UMNO sebelum ini cukup menyedarkan apabila anggota parlimen Pasir Mas itu sanggup menentang calon BN dalam pilihan raya kecil 2005. Ibrahim kini disifatkan berada di awang-awangan ekoran kedudukannya dipertikaikan oleh PAS kerana sering memberi reaksi negatif kepada parti itu.

“Pihak DPPKPM melahirkan simpati kepada nasib Ibrahim yang tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun. Sekalipun kami tidak mahu campur tangan dalam urusan UMNO, namun dalam masa yang sama kami ingin mengingatan Ibrahim bahawa beliau mendapat kemenangan di Pasir Mas di dalam pilihanraya umum yang lalu di atas tiket PAS, maka tindakan yang bermaruah yang boleh dilakukan olehnya sebelum menyertai UMNO ialah dengan meletakkan jawatan sebagai ahli parimen,” ujar beliau lagi.

ahmad fadhli

No comments

Powered by Blogger.