Jawapan Kepada Soalan DSAI Di Parlimen,Isnin 19 Okt 2009.

Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim [Permatang Pauh]: minta Perdana Menteri menyatakan langkah-langkah berkesan bagi mengembalikan keyakinan awam terhadap imej negative Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara berikutan keraguan umum terhadap perilaku penyiasatan dan pendakwaan terpilih.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Datuk Liew Vui Keong]: Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, saya memohon izin Tuan Yang di-Pertua untuk menjawab serentak soalan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh hari ini bersama-sama dengan soalan nombor 34 daripada Yang Berhormat Tawau pada hari ini juga yang menyentuh tentang penyiasatan dan pendakwaan terpilih melibatkan SPRM dan juga PDRM.

Siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaksanakan mengikut prosedur undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Penguatkuasaan undang-undang oleh kedua-dua agensi ini dibuat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang disiasat mahupun fahaman politik mereka. Pegawai-pegawai SPRM dan PDRM sentiasa diingatkan untuk mengikuti lunas undang-undang dan mematuhi garis panduan yang berkuat kuasa dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

Tuan Yang di-Pertua, tambahan pula mekanisme tanggungjawab yang diwujudkan semasa SPRM ditubuhkan jelas menunjukkan kesediaan suruhanjaya itu untuk berperanan secara bebas, telus dan profesional dalam menjalankan penyiasatan ke atas kes-kes rasuah. Saluran-saluran yang telah diwujudkan seperti Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan atau Panel Penilaian Operasi itu wajar digunakan oleh pihak-pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakan dan perilaku siasatan SPRM, memandangkan ahli-ahlinya terdiri daripada kalangan orang awam dan masyarakat sivil yang berfungsi secara bebas di luar SPRM.

Berhubung dengan pendakwaan terpilih yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, adalah dimaklumkan bahawa pendakwaan sesuatu kes hanya akan dilakukan terhadap mana-mana orang tanpa mengambil kira kedudukannya. Sekiranya terdapat keterangan yang mencukupi ataupun sufficient evidence bagi mendapatkan sabitan bagi kes-kes yang dikendalikan oleh SPRM, semua kes yang diputuskan untuk tidak dituduh perlu dilaporkan kepada Panel Penilaian Operasi yang terdiri daripada individu profesional dalam bidang masing-masing serta bertindak secara bebas.

Untuk makluman Yang Berhormat, tangkapan yang telah pun diambil terhadap ahli-ahli parti politik daripada Januari hingga Ogos tahun ini. Bagi parti Barisan Nasional, tangkapan telah dibuat sebanyak 12 orang dan pertuduhan 7. Bagi pakatan pembangkang, tangkapan hanya seorang sahaja dan pertuduhan belum ada buat setakat ini.

Jadi, bagi pihak Jabatan Peguam Negara Tuan Yang di-Pertua, telah mengambil

langkah-langkah dan pendekatan yang berkesan dalam mengendalikan pendakwaan seperti yang berikut;

Peguam Negara selaku pendakwa raya telah mengarahkan timbalan pendakwa raya supaya merujukkan semua kes berkepentingan awam kepada beliau sendiri untuk keputusan sama ada pendakwaan perlu dibuat atau sebaliknya;
Mengadakan perbincangan antara agensi penyiasatan dengan timbalan pendakwa raya sebaik sahaja kes berkepentingan awam dilaporkan bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh;

Pendakwaan sesuatu kes hanya akan dilakukan sekiranya terdapat keterangan yang mencukupi bagi mendapatkan sabitan tanpa mengira kedudukan seseorang dan

Memberi latihan yang berterusan kepada timbalan pendakwa raya terhadap agensi-agensi penyiasatan dengan kerjasama agensi-agensi luar negara dan mengambil langkah melaporkan keputusan kes pergerakan kertas siasatan dan penjelasan berkenaan dengan kes-kes tertentu di laman web rasmi Jabatan Peguam Negara.

Tuan Yang di-Pertua, untuk menjawab soalan Yang Berhormat Tawau berhubung dengan Indeks Pencapaian Utama (KPI) SPRM dan PDRM sebagaimana yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tadi, pelaksanaan National Key Result Areas (NKRA) yang meliputi KPI yang sama adalah merupakan salah satu usaha serius oleh kerajaan untuk mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah. Inisiatif ini sedang dibincangkan secara mendalam di NKRA Lab yang sedang berjalan dan akan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tidak lama lagi. Pelaksanaan NKRA ini akan dipantau oleh Performance Management Delivery Unit ataupun Pemandu yang diketuai oleh dua orang Menteri bagi meningkatkan lagi keyakinan orang awam terhadap usaha kerajaan dalam mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Pertama, soal imej negatif SPRM. Ini kerana setelah peruntukan baru yang kuat dalam undangundang dan akta, tindakan itu masih dianggap terlalu lemah dan kadar peningkatan rasuah di negara terus meningkat. Kita mengandaikan dengan adanya SPRM, kadar dengan sendiri sekurang-kurangnya akan menurun, tetapi sebaliknya meningkat.

Keduanya, Lembaga Panel Jawatankuasa Khas SPRM itu tidak bersidang. Jadi,

maknanya Parlimen diminta mengadakan peruntukan dengan Panel Lembaga Jawatankuasa Khas tetapi tidak bersidang. Maknanya, tidak ada seriousness di pihak SPRM dan kerajaan untuk memastikan pengawasan dan pengawalan terutama tatkala imej SPRM itu tertekan.

Kemudian Polis Diraja Malaysia, ada suruhanjaya sebelumnya, ada usul-usul dan cadangan yang spesifik yang dikemukakan. Kadar jenayah terus meningkat. Maknanya, dengan segala jaminan diberikan itu tidak memberi keyakinan kepada rakyat kerana kejadian jenayah tidak kenal sama ada wakil itu daripada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional kerana pimpinan Barisan Nasional dan rumah-rumah mereka juga diserang dan keluarga mereka juga diragut.

Ketiga, penjelasan Yang Berhormat mengenai pendakwaan terpilih Jabatan Peguam Negara itu tidak menjurus kepada pertuduhan dan kecaman yang dibuat terutama oleh badan guaman bahawa dalam beberapa kes besar yang kita punyai maklumat yang cukup jelas tidak berlaku sebarang tindakan. Jadi, saya pohon penjelasan bagi ketiga-tiga isu yang saya bangkitkan.

Datuk Liew Vui Keong: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dengan hormatnya kepada Yang Berhormat Permatang Pauh, imej negatif ini berbaur seperti satu pertuduhan yang tidak elok, tidak berasas. Ini adalah satu persepsi yang tidak benar. Seperti yang telah saya nyatakan tadi bahawa tindakan memang telah pun diambil terhadap orang-orang yang telah pun terlibat dalam satu kes rasuah dan telah pun dilaporkan kepada pihak SPRM. Statistik telah pun menunjukkan bahawa hanya seorang sahaja daripada pakatan pembangkang telah pun ditangkap dan tidak ada pertuduhan yang telah pun diambil terhadap beliau.

Mengenai dengan pertuduhan terhadap PDRM yang tidak mengadakan siasatan

terhadap pegawai yang menjalankan kerja yang tidak baik. Yang Berhormat dari Permatang Pauh sedia maklum bahawa wujudnya satu Suruhanjaya Integrasi Agensi Penguat kuasa di mana orang ramai yang tidak berpuas hati dengan siasatan yang telah pun diambil oleh pihak-pihak pegawai boleh membawa aduan kepada Suruhanjaya Integrasi Agensi Penguat kuasa yang dikenali sebagai SIAP ini.

Mengenai uduhan mengatakan ada prosecution terpilih ataupun selective prosecution, ini tidaklah benar dan juga Yang Berhormat juga membangkit mengenai ada menerima maklumat yang kukuh terhadap seseorang ahli politik yang terkenal ataupun orang besar tetapi Yang Berhormat sedia maklum, maklumat itu kadangkala tidak mencukupi. Kadangkala maklumat itu dihantar melalui surat layang ataupun disebarkan dalam newspaper but there is no sufficient evidence to charge the person in court dan kadangkala juga apabila seseorang telah pun dituduh di dalam mahkamah, kalah dan menang sesuatu kes itu seperti Tuan Yang di-Pertua sedia maklum, terpulang kepada keterangan yang akan diberi melalui saksi dan kadangkala pula saksi turn hostile dan memberi keterangan yang lain dan ini boleh menyebabkan sesuatu kes kalah di dalam mahkamah. Sekian, terima kasih.

Soalan – soalan Lisan:

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Sri Gading.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Assalamualaikum warahmatullaahi
wabarakaatuh, salam sejahtera, selamat pagi, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Selamat Deepavali
dan selamat segala-galanya. Tuan Yang di-Pertua, apa yang diutarakan oleh Yang Berhormat
Permatang Pauh, inilah usaha-usaha yang dilakukan oleh parti pembangkang. Di luar terus
berusaha bawa masuk di dalam Dewan untuk mewujudkan persepsi negatif kepada kerajaan.
Kerajaan kita ialah kerajaan yang baik. Agensi-agensi kerajaan kita menjalankan tugas
dengan penuh profesional, adil, telus tetapi perkara-perkara yang baik oleh agensi-agensi ini
sengaja diberikan imej yang buruk yang berkaitan dengan fitnah, putar belit fakta, pembohongan
agar rakyat dalam negara ini terpengaruh.

Beberapa ahli: Soalan, soalan.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Ya, soalan akan sampai. Ini ialah
mukadimah. Jadi, pandangan-pandangan buruk ini, sangkaan-sangkaan buruk yang daripada
acuman. Betul bahasa itu? Acuman ini bahasa Johor. Apa itu dalam bahasa… Maknanya fitnah,
yang dibuat oleh parti pembangkang ini. Agensi-agensi kita yang berjasa ini, yang telus ini saya
berharap Yang Berhormat Timbalan Menteri, kita pertingkatkan daya usaha kita. Lawan, jangan
putus asa, jangan patah hati, lawan! Kerana sebenarnya apa yang dilaksanakan oleh agensi – agensi
kita ini sangat baik dan sebenarnya bukan semua rakyat beranggapan buruk kepada
agensi-agensi ini, kita juga menghargai mereka menjalankan tugas dan berjasa umpamanya
Polis Diraja.
Betapa berjasa Polis Diraja tetapi jasa yang begini mulia untuk kepentingan politik,
sengaja dinafikan dan saya harap Yang Berhormat Timbalan Menteri jawab secara politik sikit.
You lurus sangatlah. Jadi itu, supaya ditingkatkan profesional jabatan-jabatan ini supaya dapat
menafikan atau menidakkan apa yang cuba dijalankan oleh parti pembangkang untuk
mewujudkan persepsi buruk kepada agensi-agensi kita yang berjasa. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Yang Berhormat Menteri, sebelum Yang Berhormat
Menteri menjawab. Saya nampak ramai Ahli Yang Berhormat yang ambil kesempatan daripada
kesabaran saya kali ini. Inikan sesi soal jawab. Terima kasih Yang Berhormat Sri Gading. Lain
kali tanya.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Minta maaf Tuan Yang di-Pertua.
Saya rasa itu soalan. Kalau itu Tuan Yang di-Pertua anggap bukan soalan, saya minta maaflah,
saya minta maaf.

Tuan Yang di-Pertua: [Ketawa] Sila Yang Berhormat Menteri, sila.

Datuk Liew Vui Keong: Tuan Yang di-Pertua, saya berterima kasih kepada Yang
Berhormat Sri Gading dan saya juga setuju dengan pandangan beliau bahawa pihak
pembangkang ini memang sentiasa memberi satu persepsi yang tidak benar mengenai sesuatu
kes tetapi saya yakin bahawa rakyat boleh lihat dengan jelas permainan-permainan
pembangkang dalam perkara yang tertentu. Jadi, saya tidak dapat menafikan lagi bahawa
pegawai-pegawai yang terlibat dalam agensi-agensi SPRM dan juga PDRM telah pun
menjalankan kerja mereka dengan profesionalisme dan juga telah pun memberi the best that
they can give. Kadangkala mungkin ada sedikit kelemahan tetapi itu tidak menjadi satu masalah
kerana kita adalah manusia. Kadangkala kita buat juga kesilapan yang sedikit sebanyak. Terima Kasih.

No comments

Powered by Blogger.