Kekeliruan sekularisme

Oleh: FAISAL OTHMAN
SEKULARISME sebenarnya adalah satu fahaman falsafah yang lahir di Barat. Ia adalah natijah daripada perkembangan sains di Barat pada abad ke-16. Oleh kerana kuasa gereja terlalu kuat dan telah dijadikan sebagai sumber segala-galanya, dan pada waktu yang sama, golongan terpelajar Barat yang mendapat inspirasi daripada tamadun Islam di Sepanyol telah menjadikan alam yang terbentang luas ini untuk penyelidikan mereka, maka natijahnya berlakulah satu perkembangan baru ilmu pengetahuan di Barat yang melahirkan teori-teori baru mengenai alam yang menggugat pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh golongan gereja.

Pada peringkat awal, pertentangan itu tidak begitu hebat tetapi apabila ternyata ilmu pengetahuan berkembang pesat dan membuktikan banyak andaian yang dulunya dianggap suatu dogma oleh pihak gereja, akhirnya ia telah dicabar oleh bukti-bukti daripada pengkajian golongan saintis baru mengenai alam dan fenomena alam. Maka ternyata pihak gereja tidak dapat mempertahankan lagi segala dogma yang diandaikan, yang dahulunya dianggap sumber segala-galanya.

Dari keadaan itu bermulalah pertentangan antara orang gereja dengan golongan intelektual di Barat. Pada masa itu ia dianggap dua asas kebenaran yang satu disebut sebagai theological truth (yang berasaskan kebenaran daripada gereja) dan satu lagi disebut philosophical truth (kebenaran yang diasaskan oleh golongan cendekiawan dan keilmuan serta ahli falsafah moden).

Pada masa itu bermulanya falsafah baru, dua andaian yang banyak berbeza dan bertentangan. Di peringkat awal dua golongan itu masih mampu untuk hidup bersama tetapi apabila berlaku pertentangan yang lebih mencabar, maka akhirnya berlakulah satu pertentangan yang hebat di mana golongan ilmuwan ternyata dapat membuktikan segala teori-teorinya yang lebih konkrit dan dapat memberi alternatif mengenai fenomena alam dan sebagainya yang lebih meyakinkan dan akhirnya golongan gereja kalah dalam perdebatan ini.

Daripada pertentangan itu, bermulalah apa yang disebut sebagai pensekularan budaya dan cara hidup. Sebagaimana yang disebut oleh Williston Walker dalam The History of Christian Church (1918), beliau menyebutkan pada muka surat 426 bahawa pensekularan budaya dan cara hidup di Barat telah bermula dari akhir abad ke-17.

Natijah daripada pertentangan antara sains dan gereja itu dan kemenangan berpihak kepada pihak sains, akhirnya budaya dan cara hidup telah dibebaskan daripada ikatan gereja dan ikatan agamanya sama sekali.

Inilah yang disebut sekularisme. Sejarah sekular di Barat yang sehingga sekarang sama sekali tidak dikaitkan dengan agama. Ini yang berlaku apabila segala dasar politik, ekonomi dan sebagainya tidak dirujuk langsung kepada agama. Dan negara sama sekali tidak lagi bertanggungjawab terhadap urusan agama. Agama menjadi milik individu yang dibebaskan, tetapi segala dana dan bantuan mestilah diuruskan oleh individu rakyat negara tersebut.

Dasar politik, ekonomi, dasar keselamatan dan lain yang melibatkan negara tidak ada nilai-nilainya yang dirujuk pada agama, ia semata-mata urusan keduniaan. Inilah yang berlaku sehingga sekarang di negara-negara maju di Barat.

Ini adalah gambaran yang nyata mengenai sekuralisme. Dari segi bahasanya sekularisme merujuk kepada keadaan di dunia ini dan segala-galanya berhubung dengan hal ehwal dunia ini sahaja. Ia tidak merujuk alam ghaib, alam metafizik dan sebagainya.

Jelas sekali pandangan sedemikian ini amat berbeza dengan pandangan Islam. Dalam Islam sudah jelas sebagai agama, pada waktu yang sama Islam juga sebagai satu sistem kehidupan. Maknanya dalam Islam, urusan di dunia sama ada urusan politik, ekonomi dan perniagaan adalah sebahagian urusan Islam.

Ajaran Islam merangkumi soal akidah, keagamaan dan kehidupan keduniaan.

Yang dimaksudkan kehidupan keduniaan dalam Islam pun boleh dirujuk kepada persepsi yang dilihat oleh Barat moden iaitu merujuk pada hal bagaimana mentadbir negara, politik, ekonomi, budaya bangsa dan sebagainya. Cuma, sekalipun itu terangkum dalam kerangka Islam, ada bezanya antara perkara yang merujuk pada agama semata-mata dan urusan yang merujuk pada hal ehwal keduniaan.

Fungsi Nabi Muhamamad s.a.w paling utama sekali ialah menentukan dasar-dasar dan konsep agama iaitu yang merujuk pada kepercayaan kepada Tuhan, hari akhirat dan sebagainya dan bagaimana hubungan manusia dengan Tuhan yang merujuk soal ibadat dan rukun Islam dan rukun iman. Ini yang disebut sebagai agama.

Sebab itu Islam adalah agama dan peraturan hidup. Dalam urusan agama, segala-galanya sudah selesai. Tanggungjawab Rasulullah s.a.w ialah memperincikan segala yang berurusan dengan hal agama yang meliputi soal tentang akidah. Standard soal akidah dalam agama Islam di seluruh dunia adalah sama, sepanjang masa dan zaman. Dalam hal ini tidak ada perubahan. Begitu juga dengan sembahyang yang sudah diterang sejelas-jelasnya tentang cara bersembahyang lima waktu. Sebab itu dalam Islam, walaupun semua mazhab ada perbezaan, tetapi tidak pernah berbeza tentang sembahyang wajib lima waktu.

Nabi telah memperincikan kaedah sembahyang sebab itu walaupun berlaku perbezaan politik, tetapi cara sembahyangnya tetap sama. Sembahyang yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada waktu zuhur adalah empat rakaat iaitu sama dengan yang dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Sebab buku manualnya adalah sama, malah cara sembahyang seluruh umat Islam di dunia pun sama walaupun mereka dalam pemerintahan parti komunis. Orang Islam dalam hal ini adalah sama sebab mengguna satu buku rujukan yang sama. Begitu juga soal mengerjakan haji, puasa, akad kahwin dan sebagainya sebab ia standard. Ini yang dikatakan urusan agama adalah jelas, tepat dan telah selesai. Ia tak perlu lagi ijtihad atau memeningkan kepala untuk memikirkannya.

Tetapi dalam urusan yang berhubung soal keduniaan, sungguhpun ia terangkum dalam Islam, sifatnya berbeza dengan urusan agama.

Urusan keduniaan ini sifatnya terbuka. Ini kerana Islam hanya memberi dasar-dasar pokok. Soal `bagaimana’ melakukannya tidak dijelaskan secara terperinci.

Dalam urusan agama, soal `apa’ dan `bagaimana’ adalah jelas. Dalam urusan yang bersifat keduniaan seperti politik, pentadbiran bernegara, ekonomi dan sebagainya terlalu sedikit yang dijelaskan dan yang lain semua bersifat hanya garis-garis panduan asas yang tidak diperincikan. Dan ini diserahkan kepada semua umat Islam.

Ini kerana jika soal itu juga diperincikan, umat Islam tidak akan survive. Memang perkara seperti sembahyang dan ibadah puasa hingga ke hari kiamat pun ia tetap sama dan tidak berubah.

Tetapi urusan keduniaan melibatkan kehidupan manusia di dunia yang sentiasa berubah dan maju. Sebab itu hanya ditekan prinsip-prinsip asas dan cara `bagaimana’ melakukannya tidak disebutkan.

Penulis bersetuju dengan pendapat ahli fikir Asia Barat, sebenarnya sehingga sekarang tidak ada negara Islam yang dikatakan sekular seperti yang difahami oleh Barat. Mungkin yang paling hampir konsep sekularisme ini ialah Turki selepas zaman Kamal Atarturk.

Negara-negara lain seperti Mesir misalnya tidak tepat untuk mengatakan ia negara sekular. Cara Gamal Nasser memerintah tidaklah sekular seperti yang difahami, sebab pada zaman itu Mesir komited kepada dakwah Islam iaitu agamanya dijaga. Ulama-ulama di Mesir bebas untuk mengatakan sesuatu pandangan, maka tidak adil Mesir dikatakan negara sekular, sedangkan dasar-dasarnya yang komited terhadap kemajuan Islam adalah terlalu banyak dan tinggi. Begitu juga di Malaysia dan Indonesia sebab negara tersebut bertanggungjawab terhadap perkembangan Islam. Ini tidak ada sama sekali dalam falsafah sekularisme.

Malaysia bukan negara sekular tetapi boleh dikatakan negara Islam yang masih tidak sempurna, sama seperti keadaan negara Islam zaman Muawiyah, Abbassiyah dan Uthmaniyah dahulu. Ada banyak kelemahan dan kepincangannya. Kalau begini halnya apa perjuangan umat Islam di Malaysia? Kita bukan lagi hendak menegakkan negara Islam sebab ia sudah wujud. Perjuangan umat Islam adalah ke arah pembaikan terhadap kepincangan yang wujud dan bukan mewujudkan suatu yang tidak wujud.

Yang menjadi masalah ialah sebahagian orang Islam menganggap apa yang perlu dibuat ialah ia mahu merujuk pada pengalaman-pengalaman yang lampau. Mereka cuba mewujudkan apa yang ada dahulu ke tahun 2001. Jika dirujuk dalam kitab yang ditulis lebih 1,000 tahun lalu, apa yang ada sekarang memang tidak selari. Sebab keadaan telah berubah. Isunya tidak sama dengan lebih 1,000 tahun lalu, ini persoalannya.

Di sini orang banyak keliru. Pada satu pihak persepsinya pada negara Islam adalah pada persepsi lama. Satu pihak mahu negara Islam sebagai satu konsep bukan satu bentuk, iaitu satu teori yang perlu diperkukuhkan. Manakala satu lagi pihak mahu konsep negara Islam itu sebagai satu bentuk dengan ciri-ciri bentuknya yang tidak berubah. Jika pandangan ini diterima, maka sampai hari kiamat takkan wujud negara Islam.

Persoalan minda yang sebegini menyebabkan pemikiran umat Islam `tersekat.’

Sebenarnya kesempurnaan itu hanya ada pada Tuhan. Kewajipan umat Islam ialah membina negara. Politik itu adalah sebahagian tuntutan Islam dan ia harus dilihat dalam perspektif yang sebenar. Pembinaan negara menjadi tangungjawab setiap umat Islam. Soal yang jadi pertindihan ialah bagaimana.

Sekularisme dalam erti kata sebenar tidak wujud di mana-mana negara Islam pada hari ini. Cuma yang wujud ialah unsur-unsur kerakusan kepimpinan dan kediktatoran dan ketidakjujuran kepimpinan. Tetapi dalam hati mereka memang mempunyai kesedaran untuk memajukan Islam.

PROF MADYA DR. FAISAL OTHMAN ialah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

No comments

Powered by Blogger.