Kelebihan ibadat pada waktu malam

JAWAPAN: Tidak terdapat amalan-amalan khusus daripada Rasulullah s.a.w. tentang ibadat pada waktu malam di mana seseorang itu perlu melakukannya berdasarkan kepada contoh-contoh tersebut. Jelasnya, amalan ini merangkumi pelbagai ketaatan seperti ibadat sembahyang, beristighfar, zikir, tahlil, tasbih, tahmid, takbir, selawat dan sebagainya termasuk membaca al-Quran.

Satu perkara yang perlu difahami bahawa untuk melakukan ibadat, lebih-lebih lagi ibadat sembahyang malam, bukan mudah. Selain daripada tabiat atau sikap diri yang malas, tidak dididik melakukan ibadat, iblis dan syaitan itu sentiasa menghalang manusia daripada mendekati Allah, tetapi makhluk ini menggalakkan manusia untuk melakukan kejahatan.

Setelah sempurna Allah menjadikan Adam, Allah memerintahkan agar para malaikat sujud kepadanya. Semua malaikat sujud kecuali iblis. Ia enggan berbuat demikian (al-Baqarah: 34, al-A’raf: 10, al-Isra’: 16). Keengganan iblis menyebabkan kemurkaan Allah lalu ia dihalau dari syurga dalam kutukan Allah (Sad: 77-78). Iblis termasuk dalam golongan kafir (Sad: 74). Kemurkaan Allah menyebabkan iblis memusuhi Adam juga keturunannya kerana padanya, kerana Adamlah, atau kerana keengganannya sujud kepada Adamlah menyebabkan ia terhalau dari syurga, menjadi hina (al-A’raf: 13), dilaknat, dikutuk, terputus daripada rahmat Allah dan tidak akan mendapat pertolongan-Nya (An-Nisa’: 52, al-Hijr: 34), yang akhirnya akan dimasukkan ke dalam neraka. Sejahat-jahat balasan di penghujung kehidupan makhluk Allah.

Dari sinilah iblis bersumpah bahawa ia dan juga konco-konconya akan menipu, mengganggu dan menghasut manusia, menyebabkan manusia meninggalkan perintah Allah. Iblis menyekat manusia setiap kali hendak melakukan sembahyang, termasuk ibadat pada waktu malam.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang syaitan itu mengikat tiga ikatan di atas kepala orang yang tidur. Apabila hamba itu terjaga lalu menyebut nama Allah, terhurai satu ikatan. Dan apabila ia berwuduk, terhurai ikatan kedua dan apabila ia sembahyang maka terhurailah ikatan terakhir, lalu ia menghadapi pagi dalam keadaan cergas, riang gembira, kalau tidak dia akan menghadapi pagi dalam keadaan monyok malas.

Hadis ini boleh dijadikan panduan apa yang perlu dilakukan oleh seseorang sebaik-baik sahaja terjaga daripada tidur iaitu jangan tidur semula, tetapi hendaklah terus menyebut nama Allah, berwuduk dan terus sembahyang.

Seseorang itu hendaklah niat untuk bangun malam beribadat sebelum tidur. Dalam sebuah hadis riwayat daripada an-Nasai’ dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Barang siapa berniat ketika berada di tempat pembaringan untuk sembahyang pada malam hari, lalu dikuasai oleh tidur sehingga subuh, dicatatkan baginya pahala seperti niatnya. Tidurnya adalah sedekah daripada Tuhannya azza wa jalla.

Menurut an-Nawawi dalam Majmu, disunatkan bagi mereka yang terjaga daripada tidur untuk beribadat menyapu mukanya, kemudian bersiwak dan memandang ke langit dan membaca ayat-ayat yang terdapat pada akhir surah ali-Imran: 190-200.

Beribadat pada waktu malam hendaklah dilakukan dalam keadaan tenang dan cergas. Dalam hadis daripada Anas r.a Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Apabila salah seorang daripada kamu mengantuk ketika sembahyang, ia hendaklah tidur sehinggalah dia tahu apa yang dibaca akan dia – Riwayat Bukhari.

Beribadat di waktu malam bukan mudah. Ia memerlukan pengorbanan yang besar. Tidak berjaya melakukannya kecuali oleh mereka yang dipermudahkan dan ditolong oleh Allah s.w.t.

Ada beberapa perkara yang perlu difahami dalam usaha melakukan ibadat ini, di antaranya ialah jangan melakukan dosa di siang dan malam hari, kerana dosa itu mengeraskan hati yang menghalang daripada memperoleh rahmat Allah. Seorang lelaki telah berkata kepada Hasan, menyatakan bahawa dia tidur dalam keadaan sihat sejahtera dan dia terlalu berkeinginan beribadat pada waktu malam, tetapi tidak berupaya berbuat demikian. Al-Hasan menjawab sambil menyatakan dosa-dosanya menghalangnya daripada berbuat demikian.

Ath-Thuri telah menyatakan bahawa dia tidak berupaya bangun pada waktu malam untuk beribadat selama lima bulan akibat daripada dosa yang dilakukan. Ketika ditanya tentang dosa yang telah dilakukan, beliau berkata, “Aku telah melihat seorang lelaki sedang menangis. Aku berkata dalam diri, lelaki itu menangis untuk menunjuk-nunjuk.”

Dosa melibatkan banyak perkara iaitu dosa yang berkaitan dengan makanan, pemandangan mata, tingkah laku dan sebagainya. Semua itu boleh mencegah atau menghalang seseorang daripada melakukan ibadat pada waktu malam. Kerana itu, meninggalkan maksiat penting dalam usaha untuk melakukan ibadat di waktu malam.

Tidur sebentar di siang hari itu penting, yang dinamakan qaylulah, iaitu tidur untuk merehatkan badan. Ia adalah amalan sunah. Dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas r.a dijelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Bantu untuk puasa siang hari dengan makan sahur, dan gaylulah (tidur sebentar di siang hari) untuk mendirikan ibadah di waktu malam.

Petua lain yang perlu diikuti ialah jangan makan dan minum dengan banyak, kerana semua itu boleh menyebabkan mengantuk dan berat untuk melakukan ibadat, juga jangan kerja terlalu kuat di waktu siang yang boleh menyebabkan badan sakit ataupun letih.

Tidur mengiringkan badan sebelah kanan memudahkan bangun selain daripada memberi manfaat untuk kesihatan jantung. Tidur dengan mengiring ke sebelah kiri menyebabkan seseorang itu nyenyak tidur dan sukar bangun untuk beribadat.

Keterangan di atas merupakan panduan untuk memudahkan seseorang itu bangun di waktu malam untuk beribadat. Walaupun demikian, ada perkara-perkara yang lebih penting daripada itu yang membolehkan seseorang terdorong untuk melakukan ibadat berkenaan.

Allah s.w.t. menjelaskan seperti yang termaktub dalam banyak ayat al-Quran dan juga hadis-hadis tentang pahala besar dan ganjaran yang tidak ada bandingan bagi mereka yang berupaya berbuat demikian. Sesungguhnya sembahyang yang lebih afdal selepas sembahyang fardu ialah sembahyang malam. Demikianlah yang dimuafakati oleh ijmak ulama.

Dalam surah al-Isra: 79 dijelaskan tentang suruhan Allah agar setiap orang Islam melakukan ibadat pada waktu malam dengan bertahajud kepada-Nya sebagai ibadat tambahan, dan Allah akan mengangkat makam mereka yang berbuat demikian. Begitulah juga seperti yang dijelaskan dalam surah-surah lain seperti dalam surah al-Insan: 25-26, Qaf: 40, at-Tur: 48-49, as-Syarh: 7-8, az-Zariyat. 17-18, as-Sajdah: 16-17.

Dalam sebuah hadis daripada Asma’ bin Yazid r.a beliau telah berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Apabila Allah mengumpulkan manusia pada hari kiamat kelak, datang penyeru dengan suara yang dapat didengar oleh semua makhluk. Ketika itu manusia akan tahu siapa yang lebih utama untuk mendapat kemuliaan. Kemudian suara yang menyeru itu berkata: Hendaklah bangun mereka “yang lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harapan, dan mereka membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka” (as-Sajdah: 16), maka mereka semua bangun, tetapi bilangan mereka adalah sedikit – Riwayat Abu Ya’li.

Allah s.w.t. memuji mereka yang mendirikan ibadat pada waktu malam seperti yang dijelaskan dalam al-Quran (surah az-Zumar: 9, ali-Imran: 113, al-Furqan: 64, al-Fath: 29, ali-Imran: 17).

Rasulullah s.a.w. adalah hamba maksum yang dijanjikan Allah syurga, tetapi baginda tetap mendirikan ibadat pada malam hari sehingga pecah-pecah kedua-dua telapak kakinya. Demikianlah gambaran hamba yang mampu bersyukur ke atas nikmat anugerah Allah kepadanya.

Hadis daripada Ali Said r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda: Barang siapa terjaga daripada tidur di waktu malam, dan mengejutkan keluarganya, lalu sembahyang dua rakaat, ditulis bagi mereka itu dalam golongan orang yang mengingati Allah lelaki dan perempuan – Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah.

Abdullah bin Salam menyatakan kata-kata yang mula-mula sekali beliau dengar daripada Rasulullah s.a.w. ialah sabdanya: Wahai manusia berilah salam, beri makan dan hubungkan silaturahim, dan sembahyang malam ketika orang ramai tidur, kamu semua masuk syurga dengan selamat sejahtera – Riwayat Tarmizi.

Sesungguhnya mendirikan ibadat di waktu malam itu amalan para salehin dan muqarrabin. Ia memberi kesan pada pembentukan peribadi, menyumbang kebahagiaan di dunia dan akhirat, menghindarkan penyakit, meraih ketenangan. Rasulullah s.a.w. menggesa agar setiap orang melakukannya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkannya. Ketika sakit atau terasa malas, baginda sembahyang dalam keadaan duduk

– Riwayat Abu Daud.

No comments

Powered by Blogger.