Kemelut fikiran cendekiawan kita

KITA tidak harus memperkecilkan sumbangan kaum cendekiawan kita kepada pembangunan orang Melayu moden. Bersama dengan pemimpin politik, yang juga tergolong ke dalam golongan cerdik pandai bangsa, bersama kalangan guru, wartawan, penulis dan lain-lain, mereka telah memberi sumbangan besar kepada gerakan kebangsaan untuk mencapai kemerdekaan dari kaum penjajah dan untuk membangunkan tamadun Melayu-Malaysia baru.

Cerdik pandai ialah anak-anak bangsa yang telah mencapai taraf budaya berfikir rasional, kritikal dan kreatif yang melayakkan diri mereka, dalam frasa al-Quran, menyeru kepada kebaikan dan melarang kejahatan dan menegakkan kebenaran dan mendedahkan kepalsuan.

Melalui kerja-kerja mereka mengajar, menulis dan bersyarah mereka mendidik dan membangunkan masyarakat.

Untuk memelihara taraf pendidik dan penasihat ini, mereka tidak harus melibatkan diri mereka dalam gerakan-gerakan yang bersifat kepuakan, sama ada politik atau bukan politik, serta meletakkan diri mereka lebih tinggi daripada gerakan-gerakan kepuakan ini.

Apakah yang menyebabkan cerdik pandai kita sekarang gagal memainkan peranan mereka sebagai pendidik dan penasihat?

Ada dua sebab besar. Pertama, kerana mereka sendiri sudah berpecah kepada beberapa puak: Puak progresif dan puak reaksioner, puak liberal-moden dan puak konservatif, puak sekular dan puak agama, tanpa satu pandangan hidup yang boleh menghubung dan menyatukan mereka.

Istilah-istilah `cendekiawan’ dan `ulama’ menggambarkan perpecahan dunia dan pandangan hidup golongan cerdik pandai kita.

Oleh itu, syarat pertama yang perlu untuk membolehkan kaum cendekiawan kita memainkan peranan menyelesaikan kemelut bangsa kita sekarang _ pemodenan dan pembangunan masyarakat Melayu-Malaysia secara berimbang antara aspek-aspek fizikal, mental dan moral _ ialah pemilikan pandangan hidup yang sepadu, rasional dan saintifik.

Dua generasi dulu, nenek moyang dan ibu bapa kita hidup dalam sebuah masyarakat dan dunia yang tidak begitu kompleks. Sekarang kita hidup dalam dunia tanpa sempadan. Revolusi maklumat telah mencampur-adukkan kebenaran dan kebatilan. Batasan-batasan antara baik dan jahat, dan antara benar dan palsu telah menjadi kabur.

Kita memerlukan sebuah neraca yang lebih baik untuk menimbang segala caca-marba dan `kacau-bilau agung’ yang mengelilingi kehidupan kita sekarang untuk membuat perhitungan yang betul.

Sebelas tahun dulu, penulis ini berkata dalam sebuah kolokium tentang kaum cendekiawan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), demikian, gerakan Islah Muhammad Abduh yang dipelopori di Malaysia oleh golongan Islamis seperti Syed Sheikh al-Hadi, Za`aba dan Dr. Burhanuddin akhirnya tumpas di tangan golongan teologi konservatif kerana satu soalan yang genting sikap mereka terhadap Quran. Sikap mereka yang tidak jelas, terumbang-ambing di antara Quran dan hadis inilah yang menyebabkan kekalahan mereka.

Apakah ajaran Islam dan apakah (intisari) ajaran nabi-nabi dan rasul-rasul daripada Adam kepada Muhammad? Adakah semuanya diwakili dalam Quran atau tidak? Soalan ini tidak boleh dielak lagi dan perlu dijawab sekarang.

Jelaslah jawapan ini tidak mudah, bukan kerana kita tidak tahu, tetapi kerana kita dibebani oleh satu tradisi teologi ulama yang begitu lama, di satu pihak, dan tarikan silauan teori humanisme sekular, di pihak lain, yang mencengkam pundak kita. Tetapi kita perlu yakin kepada rasionalisme manusia, rasionalisme yang semestinya menjadi asas kepada gerakan intelektual yang ingin kita bangunkan dan (kita mesti) yakin kepada kuasa kebenaran (Seperti firman Tuhan), Katakanlah, Kebenaran telah datang dan kepalsuan hapus. Sesungguhnya, kepalsuan pasti akan hapus. (Quran, 17:81)

Khasnya dalam dunia `kacau-bilau agung’ ini, cerdik pandai kita perlu berbalik kepada ajaran Quran dan mentafsirkannya dalam konteks masyarakat moden untuk mencari penyelesaian kepada kemelut bangsa kita sekarang. Jika kita gagal berbuat demikian, kita akan hancur.

No comments

Powered by Blogger.