Kenapa Najib Tahu PAS Berpecah Kepada Dua? Mana Najib Tahu?

PAS berpecah kepada dua: Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata percanggahan dalam PAS nampaknya sudah sampai ke kemuncak dan semakin serius sehingga timbul dua kumpulan dalam parti itu.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata satu kumpulan mahu bekerjasama dan mewujudkan persefahaman dengan UMNO dalam bentuk yang sesuai manakala satu lagi menentangnya.

“Ada pihak yang lebih mementingkan politik daripada ummah. Kita hargai pihak yang melihat Umno sebagai mewakili orang Melayu, berjasa dalam perjuangan ummah dan menjaga kepentingan kaum-kaum lain,” katanya pada sidang media selepas tamatnya Sidang Kemuncak Asean ke-15 di sini.

Najib berkata percanggahan dalam PAS nampaknya semakin serius berikutan hasrat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan Muktamar Agung Khas PAS untuk membersihkan parti daripada pemimpin-pemimpin yang bermasalah.

Menurut Perdana Menteri ada kumpulan dalam PAS yang tidak mahu bekerjasama dengan Umno untuk menegakkan kepentingan orang Melayu dan Islam semata-mata kerana kepentingan politik mereka.

Pihak ini, kata beliau tidak menghargai jasa Umno dalam mewakili kepentingan orang Melayu dan menjaga perpaduan ummah.

Katanya terdapat sekumpulan pemimpin dalam PAS pula yang berhasrat untuk mencari pendekatan yang boleh membawa kepada perpaduan ummah, mirip kepada bekerjasama.

“Apa bentuk tak tahu… maknanya tak mahu perpecahan. Satu lagi kumpulan mahu perbalahan berterusan dan tiada pertimbangan apa-apa untuk perpaduan,” kata beliau.

Ditanya sama ada ada Umno akan mengadakan perbincangan dengan PAS, Najib berkata selagi PAS tiada kata sepakat, Umno tidak boleh mengadakannya secara rasmi.

“Kita tunggu dan lihat perkembangan dalam PAS,” katanya, sambil menambah kata, bahawa sebarang perbincangan tidak akan membuahkan hasil jika diadakan dengan wakil tertentu sahaja dan bukan keseluruhan parti itu. – BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.