Keputusan Mesyuarat Pas Pusat

Mesyuarat khas barisan pemimpin atasan PAS yang berlarutan lebih empat jam sehingga selepas tengah malam ini memutuskan untuk membawa PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin parti itu.

Mesyuarat yang melibatkan ahli-ahli jawatankuasa pusat PAS dan barisan pesuruhjaya negeri juga memutuskan untuk mengadakan seminar politik bulan depan bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan oleh Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seminar yang dirancang itu bagi menggantikan idea muktamar khas - yang disarankan oleh menteri besar itu di blognya, Khamis lalu - yang diputuskan tidak perlu diadakan.

Dua keputusan penting itu diumumkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam sidang media ringkas di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur selepas mesyuarat berakhir kira-kira jam 1 pagi ini.

Mesyuarat ini dipanggil bagi membincangkan isu "beberapa kerat pemimpin bermasalah" yang dibangkitkan oleh Nik Abdul Aziz di Blog Tok Guru minggu lalu.

Beliau pada asalnya mendesak muktamar khas untuk membincangkan gelagat beberapa pemimpin yang masih berminat dengan idea kerajaan perpaduan.

Mesyuarat bermula jam 8.45 malam ini untuk membincangkan pertikaian Nik Abdul Aziz terhadap beberapa tokoh PAS, khususnya timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa, setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali dan pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Selain Nik Abdul Aziz yang menghadiri mesyuarat tersebut sehingga jam 11 malam, semua tokoh yang dipertikai oleh beliau turut hadir.

Selain kenyataan Abdul Hadi di sidang media itu, butiran mesyuarat dan kehangatan mesyuarat itu, setakat ini, belum dapat dipastikan.

Ramai pemimpin PAS yang ditemui selepas mesyuarat itu enggan mengulas lanjut.

No comments

Powered by Blogger.