Kerajaan Negeri Terus Pantau Percambahan Kilang-Kilang Tanpa Kebenaran

SEPANG, 19 Oktober - Kerajaan Selangor akan memantau percambahan kilang-kilang haram dengan lebih ketat,manakala tindakan pemutihan akan diambil keatas kilang-kilang haram sedia-ada, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah.

Satu unit bertindak, Jawatankuasa Khas Kilang-Kilang Tanpa Kebenaran, telah ditubuhkan kerajaan negeri khusus bagi menangani isu ini.

Ean Yong berkata demikian selepas menyaksikan pelancaran projek pengubahsuaian Dewan JKKK Kampung Baru Seri Dengkil, di Sepang, hari ini.

Projek yang menelan belanja RM60 ribu ringgit ini disegerakan bagi memenuhi keperluan aktiviti masyarakat setempat.

“Kita telah mengeluarkan satu dasar yang baru untuk memudahkan pekilang-pekilang untuk menghalalkan kilang mereka dan saya ingin menyeru kepada pemilik-pemilik tanah dan kilang memberi kerjasama kepada kerajaan untuk membantu mereka,”katanya.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab mengenal-pasti kilang-kilang yang beroperasi secara tidak sah, dan memandu pengusaha kilang terbabit kepada status operasi sah dengan piawaian yang telah ditetapkan.

Kilang yang telah dikenalpasti akan ditempatkan semula ke lokasi baru mengikut zon.

Bagi memudahkan peralihan dari status haram kepada status sah, kerajaan negeri menawarkan diskaun 50 peratus sebagai insentif buat pengusaha kilang haram menjelaskan premium dalam tempoh tiga bulan.

Sehingga Jun 2009, sebanyak 3005 kilang tanpa kebenaran dilaporkan di negeri ini.

Daripada jumlah tersebut, Majlis Perbandaran Kajang mempunyai 590 kilang tanpa kebenaran iaitu jumlah tertinggi di negeri ini diikuti Majlis Perbandaran Subang Jaya(454) dan Majlis Bandaraya Shah Alam(451).

Ia diikuti 443 di Majlis Perbandaran Klang, Majlis Bandaraya Petaling Jaya(373), Majlis Perbandaran Ampang Jaya(226), Majlis Daerah Kuala Langat(209), Majlis Perbandaran Sepang(117),Majlis Daerah Hulu Selangor(52),Majlis Daerah Kuala Selangor(49), Majlis Perbandaran Selayang(35) dan Majlis Daerah Sabak Bernam(6).

Katanya, beberapa langkah telah diambil bagi menukar status kilang dengan kebenaran, antaranya ialah bayaran premium secara ansuran, pengenaan syarat teknikal minima selain melanjutkan program pemutihan hingga akhir tahun 2010.

No comments

Powered by Blogger.