Khaled tak hormat hak mahasiswa, kata MPMN

BANGI, 6 Oktober 05:25p.m │ Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) membantah kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap tindakan mahasiswa yang menolak sistem pengundian berkomputer, atau dikenali e-undi di Pilihanraya Kecil Bagan Pinang dan menyifatkannya sebagai tidak menghormati hak asasi mahasiswa.

Timbalan Pengerusi MPMN, Hishamuddin Che Ali berkata kenyataan tersebut yang disiarkan oleh Malaysiakini, tidak wajar dikeluarkan oleh Khaled Nordin terutamanya menyamakan tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu dengan sikap parti pembangkang.

“Apabila memperkatakan mahasiswa bersekutu dengan pembangkang atas isu e-voting ini, kami berasa terkilan dan terkejut dengan kenyataan ini kerana isu e-voting adalah isu hak asasi seseorang warganegara bernama mahasiswa, bukannya isu yang bersifat pro pembangkang, ” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Hishamuddin berkata kenyataan seperti itu tidak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa danMPMN mencadangkan agar mahasiswa duduk semeja dengan pihak kementrian terutamannya menteri itu sendiri.

“MPMN amat menghormati pendirian Menteri (Dato’ Khalid) dan tidak mahu memanjangkan isu ini keranan ia tidak menguntungkan kedua-dua pihak ,” katanya lagi.

Tetapi ujarnya lagi bahawa menjadi tanggungjawab Kementrian untuk menggesa semua pihak Universiti untuk menjalankan pilihanraya adil dan berdemokrasi dengan menggunakan sistem pemangkahan undi melalui kertas (ballout paper), bukannya menggunakan sistem e-undi yang sebenarnya telah ditolak oleh 90 peratus daripada lebih kurang 200 wakil calon dalam pemilihan UMNO mac lalu.

Kaedah mengundi secara elektronik telah mula diperkenalkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003 dan kemudian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta dilaporkan akan digunakan di kampus-kampus lain yang dijangka akan mengadakan Pilihanraya Kampus (PRK) bermula pada pertengahan bulan ini sehingga awal tahun depan, bergantung kepada keputusan di peringkat universiti masing-masing.

Dilaporkan bahawa penamaan calon bagi pilihan raya kampus UUM akan berlangsung Khamis ini, manakala pengundian dijadualkan pada 12 Oktober.

Sementara di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula, penamaan calon akan bermula esok dan pengundiannya 14 Oktober ini.

MPMN katanya akan bersama-sama dengan gerakan mahasiswa lain bagi menbantah pengunaan sistem e-undi disebabkan oleh sistem yang boleh dimanipulasikan dan juga pengunaannya boleh mencacatkan pengamalan sistem demokrasi di negara ini.

“ Adakah logik apabila pilihanraya di kampus menggunakan komputer untuk mengundi, tetapi apabila mengundi di luar, mereka ini (mahasiswa) akan menggunakan sistem manual,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Majlis Perwakilan Umum Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam pada itu, Hisyamuddin turut mengulas tentang kenyataan beramaran Menteri bahawa pelajar yang dikenal pasti terbabit dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang akan dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Katanya ia adalah isu lapuk dan bukannya senjata ampuh untuk takutkan mahasiswa kerana mahasiswa sudah lama memijak-mijak akta ini termasuk pindaan terbaru serta tidak mengiktiraf akta zalim ini.

“ AUKU sudah tidak relevan dalam kancah politik baru Malaysia dan jika pengunaan AUKU dikenakan kepada mahasiswa, ianya akan dilihat oleh kaca mata masyarakat sivil sebagai sesuatu yang tidak adil”, tegasnya.

“ Sekiranya pihak Kementrian beria-ia untuk kenakan mahasiswa dengan AUKU, sepatutnya mahasiswa UiTM Shah Alam yang berdemontrasi pada 12 Ogos tahun lepas yang perlu diambil tindakan terlebih dahulu dan bukannya melakukan pendakwaan secaa terpilih,” ujarnya sambil menambah bahawa demontrasi haram mahasiswa UiTM adalah merupakan binding precedent case (kes duluan mengikat) bagi seluruh mahasiswa apabila berbicara soal AUKU.

Tambahnya lagi bahawa isu AUKU merupakan isu taboo bagi mahasiswa dan ianya perlu diselesaikan segera agar mahasiswa tidak takut dengan akta terbabit.

Justeru itu dilaporkan bahawa MPMN sedang menyiapkan laporan tentang kezaliman AUKU untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi laporan tahunan 2009.

Badan mahasiswa itu juga turut merancang untuk menghidupkan kembali Gabungan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) dan akan melancarkan satu deklarasi mengenai Akta yang telah berusia 28 tahun itu dalam masa terdekat. -mahasiswakini

No comments

Powered by Blogger.