Kisah Lahuma Shahnon Ahmad dan tuhan baru Umno

Oleh DR BAKRI MUSA

Dalam novel terkenalnya Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ), Shahnon Ahmad menukilkan perihal perangkap-perangkap kemiskinan yang dihadapi oleh sebuah keluarga kampung. Atau dalam kata-kata anggunnya, "bencana-bencana yang tidak bisa langsai selagi jantung berdegup [dan] nadi berdenyut ..."


Shahnon menyatakan bahawa kesakitan itu hanya boleh dirasakan oleh mereka yang bersedia untuk menterjemahkan dan berasa simpati dengan perjuangan pap-pak tani kita.

Pemikiran ini menghantui saya sewaktu saya mengikuti kekecohan di sekitar perhimpunan agung Umno baru-baru ini. Retorik 1-Malaysia dan pembaharuan yang dikumandangkan begitu jauh daripada dunia yang dihuni oleh watak utama RSJ, Lahuma. Tapi ironinya orang-orang seperti Lahumalah yang didakwa diperjuangkan oleh Umno.

Gigitan ironi itu tidak berakhir di situ. Kebanyakan para peserta persidangan, termasuk mereka daripada golongan berada, hanyalah satu generasi atau dua jauhnya daripada kesengsaraan dan kesakitan yang diperincikan dalam RSJ. Kenangan-kenangan menyeksa itu mesti telah diceritakan kepada mereka oleh ibu bapa dan datuk nenek mereka. Itu seharusnya mendorong sesiapa sahaja melakukan sesuatu bagi mengurangkan kemiskinan yang masih dirasai ramai orang hari ini.

Namun saya dapati tidak sedikitpun sentimen ini diutarakan dalam perhimpunan besar yang disiytiharkan sebagai "pembela-pembela orang Melayu" ini. Juga lebih pelik, perwakilan Umno ini masih mempunyai banyak teman dan saudara-mara yang masih menderita dalam kehidupan tani itu. Dan tidaklah mengejutkan, jika ditanggalkan naungan politik yang dinikmati selama ini, kebanyakan perwakilan Umno yang kaya-raya sekarang, bakal segera menjadi seperti Lahuma.

Saya sangsi, tidak ramai perwakilan Umno itu pernah mendengar Shahnon Ahmad, apatah lagi membaca novelnya. Oleh itu mereka tidak akan tahu apa saya tuliskan. Saya pernah cuba untuk membeli buku-bukunya di keda-kedai buku utama di KL, tetapi saya ditanya oleh pembantu kedai, "Shahnon siapa?" Begitulah kesan sistem pendidikan kita!

Oleh itu satu ringkasan pendek RSJ perlu dihidangkan sebelum saya meneruskan tulisan saya.
Buku itu menggambarkan bencana melata, kemarau, banjir, dan derita penyakit yang dihadapi oleh seorang petani miskin (Lahuma). Tragedinya berakhir dengan kematian berpunca daripada satu kecederaan remeh yang tidak dirawat. Kematiannya membuatkan isterinya mengamuk dan berakhir dengan dikunci dalam sebuah sangkar oleh orang-orang kampung.

Gambaran Shahnon menjelaskan bahawa kezaliman kemiskinan itu adalah satu tema sejagat. Ia dapat dilihat dalam karya John Steinbeck, The Grapes Wrath - usaha keras sebuah keluarga pemegang pawah dalam menghadapi kemarau di Oklahoma sewaktu zaman kemelesetan, dan Pearl S Buck dalam The Good Earth, juga mengenai seorang keluarga petani, kali ini dalam zaman sebelum revolusi China.

Hari ini, keturunan Steinbeck Tom Joad berkembang maju dalam perniagaan agro di San Joaquin Valley, manakala cucu-cicit Buck Wang Lung giat berniaga di Amerika Syarikat.

Sebagai kontras, cicit Lahuma masih berhadapan dengan kehidupan yang keras di kampung-kampung yang berpecah belah; dan bimbang menjadi orang yang terus mengemis untuk hidup. Dalam tempoh lebih separuh abad kepimpinan Umno tidak dicabar, orang Melayu terus menjadi pengemis: mengharapkan bantuan daripada kerajaan, meminta cebisan ekonomi daripada golongan bukan Melayu, dan mengharap penghormatan daripada orang lain.

Para pemimpin Umno mungkin pernah belajar di Oxford dan tinggal di kotaraya yang canggih dan meninggalkan cara hidup kampung mereka. Namun mereka masih terperangkap dalam kebudayaan Lahuma, di mana mereka dilumpuhkan oleh fatalisme keagamaan - "mati hidup dan susah senang dipegang oleh Tuhan" - dan ahli-ahli Umno dijerat oleh kepelbagaian politik. Mereka percaya nasib mereka dalam tangan parti itu; ia penyelamat, ia Tuhan yang baru - Umno dulu, kini, dan selamanya!

Bagi orang Umno, parti itu telah "menggantikan" Allah sebagai sumber anugerah dan kemurahan hati, serta penghukum dan penentu nasib mereka. Pemimpin-pemimpin rasuah dimaafkan bukan oleh Allah tetapi oleh parti itu. Kemurahan hati tidak berakhir di situ. Isa Samad berjaya mendapatkan hukuman rasuah politiknya dikurangkan, dan kemudian dia dianugerahkan menjadi calon pilihan raya. Khairy Jamaluddin yang mengamalkan "politik wang" diampunkan dan kemudian bertuah dapat menjadi ketua Pemuda Umno!

Dengan contoh-contoh yang menambat perhatian sebegitu, tidak hairanlah ahli Umno meminta pertolongan Tuhan baru mereka dengan semangat seorang penganut yang setia. Sebagaimana Lahuma tidak pernah menyoal ketentuan Allah, ahli-ahli Umno juga tidak berani menyoal Tuhan mereka dan menghadapi bahaya kemarahannya.

Terdapat satu kekosongan yang jelas dalam persidangan Umno baru-baru ini. Tiada lagi retorik kaum yang biasanya nyaring mempertahankan 'kehormatan' orang Melayu dan lain-lain pertunjukan cauvinistik hodoh. Masa menentukan segala-galanya sama ada anjakan ini mewakili satu perubahan sebenar atau hanya satu taktik.

Bagi saya perubahan ini hanya merupakan satu taktik. Para pemimpin Umno belum diketahui mampu menuturkan apa yang wajar. Justeru, jika mereka melakukannya, ia merupakan satu keajaiban sama ada ia datang daripada dalam atau hanya mengulangi hasil tinjauan badan perhubungan awam yang diupah. Dan satu lagi, terdapat jurang yang sangat besar di antara apa yang diucapkan oleh pemimpin-pemimpin itu dengan apa yang diamalkan.

Obsesi terbaru Umno ialah berjuang membanteras rasuah dan meremajakan parti. Sekurang-kurangnya itulah kesan yang cuba disampaikan oleh pemimpin mereka. Tetapi bila diberi satu peluang untuk mendemonstrasikan azamnya, seperti pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini, parti itu memilih individu yang cemar sebagai pembawa benderanya. Saya fikir ia akan memilih seseorang yang terbaik untuk dijadikan contoh Umno yang "baru dan muda kembali".

Dalam menghakimi para pemimpin Umno (termasuk Perdana Menteri), terdapat hanya seseorang yang memahami rintihan Lahuma. Kerana beliau memahami mereka, Tun Razak telah dapat menghasilkan dasar-dasar imaginatif dan berkesan, seperti skim-skim pembangunan luar bandar, khususnya Felda.

Peluang-peluang pendidikan (Gerakan Lampu Suloh) yang besar di bawah pentadbiran Tun Razak telah memberikan cahaya kepada keluarga-keluarga Lahuma, membolehkan mereka melepaskan diri daripada perangkap kemiskinan. Pengembangannya kemudahan kesihatan di kawasan luar bandar (Klinik Desa) memberi jaminan bahawa mereka tidak mudah mati kerana penyakit-penyakit yang boleh dirawat.

Tun Razak tidak memperkecilkan atau mengejek kepercayaan budaya atau warisan biologi orang-orang kampung itu. Manakala mereka bersungguh-sungguh mempercayai bahawa nasib mereka berada di tangan Allah, Tun Razak menunjukkan terdapat banyak yang kerajaannya boleh lakukan bagi mengubah nasib mereka itu. Beliau cukup percaya dengan rangkap al-Quran yang menyebut: Allah tidak akan mengubah keadaan satu bangsa melainkan mereka berusaha mengubahnya. Sebagai pemimpin, Tun Razak merasakan satu kewajipan besar baginya membantu rakyat mengubah keadaan diri mereka dengan membawa pendidikan, penjagaan kesihatan, dan pembangunan ke kampung-kampung.

Beliau tidak ambil pusing mengenai kepemimpinan Melayu, Ketuanan Melayu, Melayu Glokal, atau mana-mana slogan menarik yang lain. Dengan menjaga tiga asas itu (kesihatan, pendidikan dan pembangunan ekonomi), yang lainnya akan terbela dengan sendirinya. Tiada jalan pintas; projek-projek pembangunan menjolok mata tidak dapat menggantikan keperluan sebenar untuk meningkatkan sekolah-sekolah dan jagaan kesihatan kita, atau membawa pembangunan ke kawasan luar bandar.

Kini perwakilan-perwakilan itu telah balik dengan membawa kenangan-kenangan sewaktu persidangan. Tinggal saya tertanya-tanya apakah sebenarnya yang mereka telah buat yang boleh memberikan kesan langsung kepada orang-orang kampung kita. Tiada! Pak Lahuma akan terus bertahan dengan kehidupan muramnya, satu-satunya yang kekal tidak berubah selepas separuh abad di bawah pemerintahan Umno, kecuali di bawah pemerintahan singkat Tun Razak. Jika Umno mendapat caranya, yang hidup akan kekal sama untuk beberapa generasi lain.

Memikirkan nasib dan bersimpati dengan pak-pak tani kita jauh sekali daripada pemikiran para pemimpin Umno ini. Mereka akan bagaimanapun, membuat persembahan yang singkat secara sambil lewa apabila datang masa pemilihan, apabila Lahuma kita boleh mengharapkan hadiah-hadiah kain pelekat, sebagai balasan terhadap undi-undi yang diberikan kepada mereka.

---------------
Terjemahan MUHAMMAD NOR ABD SAMAD

No comments

Powered by Blogger.