Malaysia teliti langkah keselamatan bangunan, jalan

KOTA KINABALU: Malaysia akan meneliti langkah-langkah keselamatan pada struktur bangunan dan infrastruktur jalan raya supaya mampu bertahan apabila berlaku kejadian fenomena alam besar seperti gempa bumi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili, berkata walaupun Malaysia tidak pernah menghadapi kejadian fenomena alam besar, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

"Kita tidak dapat menduga kemungkinan yang berlaku, apatah lagi dengan perubahan iklim yang sedang berlaku di seluruh dunia.

"Oleh itu, tiba masanya Malaysia bersiap sedia terutamanya dari segi keselamatan pada bangunan tinggi dan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan studio animasi Kolej Yayasan Sabah di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan pakar kejuruteraan gempa bumi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Azlan Adnan bahawa struktur kebanyakan bangunan tinggi di negara ini tidak kukuh dan terdedah kepada kerosakan teruk sekiranya berlaku gempa bumi.

Azlan berkata, menurut Kajian Risiko Gempa Bumi dan Tsunami di Malaysia oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Ikram Assessment Sdn Bhd, 30 peratus daripada 65 bangunan awam yang diperiksa di seluruh negara, termasuk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Klang, terdedah kepada risiko kerosakan teruk.

Maximus berkata, kementeriannya akan berbincang dengan agensi yang berkaitan untuk menentukan piawaian tetap bagi struktur bangunan dan infrastruktur lain dalam menghadapi keadaan kecemasan akibat kejadian fenomena alam besar.

Semalam, gegaran akibat gempa bumi kuat di Padang, Sumatera, Indonesia turut dirasai di Semenanjung terutamanya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.