Mampukah Pemuda Sekat Anwar Jadi PM?

Pemuda Umno hari ini berikrar akan sedaya-upaya menghalang kemaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan sebagai “sesumpah lidah bercabang”, menjejakkan kakinya di pejabat perdana menteri di Putrajaya.

“Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar – seorang chameleon politik, sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam.

“Tetapi Umno dan Pemuda Umno ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya,” kata ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin di persidangan agung Pemuda Umno 2009 hari ini. (Malaysiakini)

Inikah ikrar Ketua Pemuda UMNO? Siapa sebenarnya sesumpah lidah bercabang?

Sekiranya kata-kata ini keluar dari mulut budak jalanan yang sombong dan bodoh, saya akan minta dia kencing dalam tempurung kelapa betina (tempurung jantan ada lubang) dan minta dia menyuluh tengok muka sendiri dalam air kencing itu terlebih dahulu sebelum mengata orang.

Akan tetapi ini Ketua Pemuda UMNO. Saya tidak boleh berbuat begitu. Ketua Pemuda UMNO bukan budak jalanan yang sombong dan bodoh.

Sama ada Anwar Ibrahim (Pakatan Rakyat) mara ke Putrajaya atau tidak bukan terletak pada ikrar Pemuda UMNO. Rakyat yang akan menentukannya.

Baru menang di Bagan Pinang, sombong sudah melangit. Jangan samakan rakyat satu Malaysia dengan pengundi Bagan Pinang. Isa Samad menang kerana kekuatan peribadi dan jasa beliau sewaktu menjadi Menteri Besar dahulu. Kalau mengharapkan kempen Pemuda UMNO, jauh panggang dari api.

Berdoalah untuk diri sendiri agar diterima masuk ke dalam Kabinet. Berdoalah supaya diterima pemimpin tertinggi parti sendiri.

Dalam sedap mengata orang, tanyalah kepada rakyat Malaysia yang bukan Melayu mengapa mereka benci kepada UMNO-BN sehingga hilang majoriti 2/3 dalam PRU yang lepas? Tanyalah kepada Cina dan India siapa yang membuatkan mereka meluat kepada UMNO? Tanyalah kepada ahli-ahli parti komponen – MCA, Gerakan dan MIC – siapa pemimpin UMNO yang paling meluat sehingga memaksa mereka meninggalkan BN untuk masuk PKR?

Ketahuilah wahai Pemuda UMNO, masyarakat bukan Melayu sangat membenci kepada pemimpin yang hanya reti mengata orang lain sedangkan diri sendiri tidak mahu dibaiki agar lebih baik. Budaya dan agama masyarakat bukan Melayu mengajar mereka begitu. Orang yang suka mengata orang lain bukan orang yang baik.

Sekiranya UMNO masih memerlukan sokongan masyarakat bukan Melayu, berhentilah sikap mencemuh pemimpin parti lawan. Sebaliknya, buktikan kepada mereka bahawa UMNO – Pemudanya – betul-betul membela nasib mereka; bukan sekadar tanam tebu di bibir mulut.

Silap sekiranya Pemuda UMNO masih menganggap rakyat Malaysia, terutamanya bukan Melayu masih boleh diperbodohkan sebagaimana sepanjang 52 tahun lampau!


http://satumalaysia.wordpress.com/

No comments

Powered by Blogger.