Mari Kita Menentang Pengganas dan Perasuah

Ini pilihanraya kecil atau kejadian amuk atau perang saudara?

Mula-mula Azeez mendakwa dia ditumbuk dan dibelasah oleh sekumpulan penyokong PAS yang tidak dikenali. Hari ini penyokong PAS pula diserang dan ditetak oleh sekumpulan orang yang dipercayai penyokong parti BN. Tiga orang cedera. Kejadian ini berpunca daripada perang poster di Si Rusa.

Seorang petugas PAS Ammeran Mad berkata beliau melihat kira-kira 50 orang penyokong parti lain, termasuk yang bersenjatakan parang, menyerang pekerja-pekerja parti PAS dalam kejadian pada kira-kira jam 1-2 pagi itu.

Selain bilik gerakan PAS di Si Rusa, tiga lagi bilik gerakan parti berkenaan diserang oleh kumpulan yang didakwa sebagai anggota Pemuda parti lawan.

Keganasan pilihanraya bukan perkara baru dalam senario politik negara. Peristiwa hitam 13 Mei adalah bukti bahawa keganasan politik sangat berbahaya. Sekiranya tidak ditangani dengan cekap, kita bimbang ia akan merebak dan menjadi keganasan yang sukar dibendung.

Kita tentu tidak mahu pilihanraya negara kita menjadi seperti pilihanraya di negara jiran yang setiap kali ada pilihanraya pasti ada pembunuhan. Ketua kempen, petugas parti, dan penyokong parti sering menjadi sasaran peluru parti lawan. Tidak pernah ada dalam sejarah negara tersebut pilihanraya berlangsung tanpa hanyir darah.

Mujurlah pilihanraya negara kita tidak sedahsyat itu. Namun, seandainya pihak berkuasa tidak bertegas, apatah lagi tidak berlaku adil, tidak mustahil pilihanraya negara kita juga akan dihiasi percikan darah pembunuhan.

Bertindaklah segera menangi masalah sebelum terlambat. Darah bangsa terlalu berharga untuk ditumpahkan dalam kempen pilihanraya.

Dalam perkembangan lain, Malaysiakini melaporkan Pemuda PAS mendedahkan rakaman suara dua pemimpin BN yang didakwa menawarkan rasuah politik kepada tentera dengan berselindung di sebalik majlis sambutan Aidilfitri menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) di Port Dickson pagi kelmarin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi berjanji menawarkan bantuan pendidikan untuk anak tentera, pembinaan kolam renang, gelanggang futsal dan perkhidmatan internet tanpa wayar jika mereka menyokong BN.

Menurut rakaman tersebut lagi, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan pula berjanji kepada pemilih undi pos ini untuk menghulurkan bantuan RM100,000 untuk menaiktaraf sebuah surau di IJED.

Di kem tentera tersebut, menurut PAS, seramai 847 pemilih pos layak membuang undi.

Keganasan politik sama dahsyatnya dengan rasuah politik. Walaupun kedua-duanya membawa kesan yang berbeza, akan tetapi rakyat dan negara yang bakal menanggung akibatnya.

Oleh itu, selaku rakyat yang sayang akan bangsa, negara dan agama, menjadi satu kewajipan kepada kita menentang kedua-dua “musuh negara” ini.

Ganas dan rasuah tidak terhad kepada mana-mana parti, institusi atau kumpulan, wajib ditentang habis-habisan. Orang kerajaan, orang swasta, orang politik, ulama, orang besar atau orang kecil sekiranya didapati mengganas dan merasuah wajib ditangkap dan dihukum.

Negara akan aman tanpa keganasan dan rasuah!satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.