Mat Nor Gelabah! Takda Angin Takan Pokok Bergoyang!

Kerajaan tiada hasrat jual Plus
Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my

KERAJAAN tiada rancangan menjual syarikat pengendali lebuh raya bertol miliknya, Plus Expressways Bhd (Plus), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

“Setahu saya kerajaan tidak menerima cadangan pembelian dan tiada rancangan menjualnya,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengulas laporan cadangan Asas Serba Sdn Bhd baru-baru ini untuk membeli pengendali lebuh raya bertol di negara ini, seterusnya mengurangkan tol 20 peratus.

Nor Mohamed yang mengetuai Unit Perancangan Ekonomi (EPU), berkata beliau sudah bertanyakan perkara itu kepada Plus yang mengesahkan syarikat tiada cadangan berbuat demikian.

“Jika ada yang mempunyai rancangan membeli, saya ucapkan selamat maju jaya. Tetapi, kita tiada rancangan menjual,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan ucaptama pada forum tahunan anjuran Khazanah Nasional Bhd, Khazanah Megatrends Forum dan melancarkan buku From Asian to Global Financial Crisis tulisan Datuk Seri Panglima Andrew Sheng.

Plus mengendalikan Lebuh Raya Utara-Selatan, lebuh raya terpanjang di negara ini yang merentangi sepanjang Semenanjung dari Johor Bahru sehingga ke Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Cabang pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd memiliki kepentingan secara langsung 23.66 peratus dalam syarikat itu dan kepentingan secara tidak langsung 40.21 peratus menerusi UEM Group, anak syarikat milik penuhnya. Nilai pasaran semasa kepentingan itu adalah RM10.5 bilion.

Sementara itu, dalam ucaptama perasmian forum berkenaan, Nor Mohamed berkata Malaysia perlu membangun dan mengukuhkan kelompok industri dalam bidang yang akan menjadi penjana pertumbuhan ekonominya pada masa depan termasuk sektor kewangan Islam, industri hiliran minyak sawit dan industri elektronik yang mempunyai nilai tambah tinggi.

“Pada tempoh pemulihan daripada krisis ekonomi global ketika ini, kita perlu meningkatkan keupayaan dalam bidang itu dan perlu bertindak segera supaya dapat meraih manfaatnya apabila ekonomi pulih,” katanya.

Beliau berkata, langkah untuk muncul sebagai pusat serantau atau global dalam bidang utama juga memberikan daya tahan dan platform yang mapan bagi Malaysia mencapai pertumbuhan masa depan.

No comments

Powered by Blogger.