Memotong jambul bayi budaya Hindu

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

Memotong jambul bayi budaya Hindu
SOALAN: Biarpun kami hidup di tengah hiruk-pikuk kota tetapi ibu saya hingga sekarang ini masih lagi menyuruh anak-anak dan menantunya memakaikan tangkal pada bayi yang baru dilahirkan.

Apabila bayi berumur 40 hari, satu upacara istiadat memotong jambul berserta upacara merenjis tepung tawar diadakan. Apakah benar ibu dan bayi yang masih dalam pantang itu mudah diganggu oleh makhluk-makhluk halus? – KAMILIA MARZUKI, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

JAWAPAN: Adat-istiadat dan kepercayaan seperti yang saudari tanyakan itu tidak semestinya dilakukan oleh mereka yang tinggal jauh dari bandar di mana kemudahan asas sukar didapati ataupun di kalangan masyarakat yang tidak terpelajar.

Sesetengah adat-istiadat dan kepercayaan tradisional seperti itu dipegang teguh oleh mereka yang ternama dan golongan bangsawan di mana segala kemudahan dapat dinikmati tetapi mereka menjaga dan mengamalkan pelbagai adat-istiadat dan kepercayaan begitu rapi seperti adat menindik telinga dan adat memijak tanah.

Adat memijak tanah misalnya boleh dikatakan tidak lagi dilakukan oleh orang awam, termasuk mereka yang tinggal di kampung-kampung yang jauh dari bandar. Malah adat seumpama itu adakalanya tidak difahami langsung oleh sesetengah orang tetapi masih tetap dilakukan oleh golongan tersebut.

Tujuan asal mengamalkan segala pantang larang dan meneruskan petua mengadakan upacara-upacara tertentu yang berkaitan dengan ibu mengandung dan ketika bayi dalam hari ialah untuk keselamatan bayi dan ibu. Supaya bayi mudah lahir tanpa cacat atau berpenyakit, juga untuk keselamatan bayi, tanpa ada sebarang gangguan ke atas kedua-duanya sama ada semasa mengandung ataupun selepas anak dilahirkan.

Menurut upacara ajaran agama hindu di masa lampau, terdapat sebanyak 12 upacara keagamaan dalam kehidupan rumah tangga (Grihya-Sutras) seperti yang dijelaskan dalam undang-undang manu (code of Manu) demi untuk penyucian diri seseorang, roh dan semangat.

Upacara-upacara tersebut ialah.

1. Impregnation (Garbha-lamhana)
2. Male production (pumsavana)
3. Hair-parting (simantonnayana)
4. Upacara bersalin (Jatakarman)
5. Upacara memberi nama (nama-karana)
6. Upacara memijak tanah (nishkramana)
7. Upacara memberi makan (Anna-prasana)
8. Mencukur rambut (chula atau kshaura)
9. Kesanta
10. Penyerahan pada guru
11. Balik dari rumah guru
12. Upacara kahwin.

Bab L.A dalam bukunya yang berjudul The Divine Hierarchy: Popular Hinduism in Central India yang ditulis pada tahun 1975 menyatakan, daripada kajian yang dilakukan olehnya pada Ogos 1966 dan November 1967 di satu tempat bernama Chhattisgarh, di tengah-tengah India, di mana penduduknya hidup dalam satu suasana upacara keagamaan yang tebal, orang-orang Hindu Chhattisgarh menganggap bahawa bayi yang baru lahir dan pasangan pengantin merupakan mereka yang mudah diganggu oleh makhluk-makhluk halus jahat.

Kerana itu pelbagai upacara dilakukan untuk mengelakkan daripada terjadinya sebarang gangguan. Ini menyebabkan upacara-upacara tertentu semasa hari kelahiran bayi dan semasa majlis perkahwinan perlu dilakukan.

Semasa mengandung bakal ibu mesti memakai tangkal untuk melindunginya daripada semua gangguan hantu-hantu, terutamanya daripada evil eye (nazar) dan digalakkan membawa besi bersamanya ke mana dia pergi untuk menjauhkan diri daripada sihir (judu-tona) dan hantu-hantu jelmaan (bhut-pret).

Pelbagai upacara yang berbeza dilakukan untuk keselamatan bayi sebaik-baik sahaja ia dilahirkan. Tetapi satu cara yang sering dilakukan ialah dengan memakaikan sesuatu yang berwarna hitam. Tidak ada sebab yang jelas mengapa warna tersebut digunakan. Mungkin untuk menjadikan rupa bayi “hodoh” dan menghilangkan perasaan atau keinginan makhluk halus jahat daripada mengganggu bayi. Di antaranya ialah dengan meletakkan arang jelaga lampu di sekeliling mata atau di mana-mana tempat bahagian badan.

Benang hitam juga diikatkan di pergelangan tangan ataupun di pinggang. Begitu juga dengan tangkal dan yang paling biasa digunakan ialah tangkal yang dikenali sebagai taviz yang digantung di leher bayi dengan benang hitam, mengandungi pembuluh tembaga kecil, yang dimasukkan ke dalamnya bahan-bahan tertentu atau tulisan yang ditulis di kertas.

Bayi yang sihat dan cantik, menurut kepercayaan orang-orang Hindu chhattisgarh, menyebabkan makhluk-makhluk jahat terus menyerang kanak-kanak tersebut.

Selain mengadakan upacara-upacara membersihkan diri selepas bersalin, dipercayai juga saki-baki “kotoran bersalin” ada pada bayi. Adalah dipercayai juga rambut dijangkiti oleh kotoran. Kerana itu ketika bersalin, keluarga yang rapat (sebelah bapa) mencukur rambut bayi untuk tujuan mensucikan diri. Kerana itu, adalah menjadi satu amalan biasa mencukur rambut pada masa-masa tertentu di peringkat awal kelahiran bayi.

Tidak ada masa khusus untuk mengadakan upacara ini. Ia dilakukan pada masa yang berbeza menurut kasta dan adat yang biasanya dilakukan oleh sesebuah keluarga. Masa yang paling lazim ialah ketika bulan penuh iaitu pada bulan Magh (Januari-Februari).

Terdapat bukti kukuh untuk menyatakan bahawa amalan atau kepercayaan terhadap penggunaan tangkal, upacara memotong jambul dan tepung tawar seperti yang saudari tanyakan di atas adalah akibat daripada pengaruh yang dibawa dari benua India seperti yang dijelaskan.

Menurut Ryan (1971: 10): Malaya was indebted from about 300 A.D onwards to what was derived more directly from the Coromandel coast of India; a civilization that was basically Hindu but included both Brahmanistic and Buddhistic elements.

Winstedt (1944: 186) pula menyatakan, With no greater exaggeration it may be said of the Malayan races that till the 19th century they owed everything to India; religions, a political system, medieval astrology and medicine, literature, arts and crafts.

Tidak dinafikan bahawa hubungan benua India dan Tanah Melayu yang begitu lama telah menerapkan pelbagai upacara hidup manusia di alam Melayu dengan pelbagai pengaruh yang diimport dari benua itu yang masih kekal sehingga hari ini. Ia menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia Melaya tanpa mereka menyedari bahawa upacara dan adat-istiadat tersebut bukan daripada ajaran Islam.

Penggunaan tangkal ditegah kerana ia melibatkan pemesongan iktikad, iaitu apabila si pemakai atau orang yang memakainya seperti ibu atau bapa berkeyakinan bahawa pada tangkal itu ada kekuatan (qudrah) mengelakkan daripada bala, menakut-nakutkan makhluk-makhluk halus, boleh menyelamatkan pemakainya daripada kecelakaan dan sebagainya. Tangkal juga tidak boleh digunakan andainya ia ditulis dengan kalimah-kalimah yang mengandungi nama-nama jin, iblis dan syaitan, juga sembahan orang kafir.

Biarpun ada sesetengah orang yang berpendapat tangkal itu harus digunakan andainya ditulis dengan ayat-ayat al-Quran, doa-doa yang benar, namun kalau orang memakainya beriktikad dan percaya bahawa pada tangkal itu ada kekuatan untuk mengelakkan pelbagai kecelakaan, maka ia tetap dilarang kerana ia boleh menyebabkan seseorang itu syirik.

Begitu juga penggunaan tangkal yang terdiri sama ada daripada ayat-ayat al-Quran yang betul tulisan, doanya, ataupun bahan yang diperbuat daripada bahan-bahan tumbuh-tumbuhan, gigi harimau, taring binatang atau sisik tenggiling. Andainya tangkal yang diperbuat daripada bahan ini disertai dengan sihir, iaitu penglibatan jin-jin, maka ia tetap ditegah kerana ia juga boleh menyelewengkan iktikad seseorang.

Istiadat memotong jambul bukan daripada ajaran Islam. Islam menganjurkan agar bayi yang baru dilahirkan diazankan dan diqamatkan, diberi nama yang baik-baik, diaqiqahkan, kemudian dicukur rambutnya. Rambut ini ditimbang, dikira beratnya dan dinilai dengan harga emas ataupun perak bergantung kepada keupayaan seseorang. Nilai yang diperoleh itu disedekahkan kepada fakir miskin.

Upacara memotong jambul lebih merupakan pengaruh tamadun benua India namun ia menjadi keliru apabila upacara seperti ini disertakan dengan upacara berzanji dan marhaban termasuk kenduri tahlil. Apa yang jelas amalan ini lebih merupakan salah satu upacara adat masyarakat Melayu. Tidak salah dilakukan andainya dilakukan tanpa berniat meniru perbuatan orang kafir. Demikianlah yang berlaku dalam masyarakat sekarang ini.

Pernyataan kononnya ibu dan bayi yang masih dalam hari itu mudah diganggu oleh makhluk-makhluk halus perlu dikaji dan dianalisis. Ketika Fatimah hampir melahirkan bayi, baginda s.a.w. menyuruh Ummu Salamah dan Zainab duduk di sampingnya membaca ayat al-Kursi dan ayat Inna Rabbakum dan juga Dua Qul.

Rasulullah s.a.w. menyuruh agar bayi yang baru dilahirkan itu diazankan dan diqamatkan. Rasulullah s.a.w. juga membaca jampi melindungi Hasan dan Husain dengan doanya: Aku memohon perlindungan kamu berdua dengan menyebut kalimah-kalimah Allah yang sempurna, daripada penyakit, angkara syaitan, sekalian binatang bisa dan daripada setiap mata yang memberi kecelakaan. Begitulah yang dilakukan oleh nabi Ibrahim ketika menjampi melindungi Ishak dan Ismail a.s.

Keterangan hadis di atas dan banyak lagi hadis membuktikan bahawa ibu yang mengandung termasuk ibu dalam hari dan juga bayi perlu dilindungi dengan doa kepada Allah, bukan dengan memakaikannya azimat ataupun tangkal.

No comments

Powered by Blogger.