Mengapa Ibrahim Ali Saja Digelar Katak?

‘Mengapa saya saja digelar katak?’

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mempersoalkan mengapa beliau sahaja yang digelar ‘katak’ sedangkan menurutnya ramai lagi pemimpin politik yang turut melompat parti.

Beliau bagaimanapun mengakui pernah menganggotai banyak parti – Berjasa, Umno, Parti Semangat 46 (S46) dan kini menjadi wakil rakyat Bebas.

“Kalau dibandingkan dengan orang lompat parti, ada setengahnya lima enam tujuh parti.

“Tengok di Sabah berapa ramai… tidak ada pemimpin Sabah yang tidak lompat parti,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini Jumaat lalu.

Malah, katanya, pemimpin besar negara seperti bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn juga pernah keluar Umno apabila Datuk Onn Jaafar keluar dari Umno, dan beliau (Hussein) kembali semula ke pangkuan Umno.

“S46 masuk balik Umno. Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia) menentang kerajaan, masuk Umno, kemudian keluar (Umno) tubuh (parti) Keadilan, mengapa tidak disebut lompat (katak)?” soalnya.

Katanya, begitu juga dengan pemimpin seperti Marina Yusof, Datuk Asri Muda, Hassan Adli dan ramai lagi.

‘Sama saja…’

“Kenapa saya…kalau lompat (digelar) lontong, monyet, kera… tapi orang lain berapa ramai, Datuk Rais Yatim (Umno-S46-Umno) dan Datuk Shabery Cheek (S46-Umno),” katanya.

Rais dan Shabery kini merupakan anggota kabinet dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. (Malaysiakini)

Pertanyaan Datuk Ibrahim Ali “mengapa saya saja digelar katak’ sedangkang orang lain juga melompat parti, menarik sekali.

Gelaran yang pertama kali diberikan oleh Lim kit Siang ini seolah-olah sudah sebati dengan diri Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Sifat katak suka melompat kerana katak tidak boleh berjalan. Walapun boleh merangkak, tetapi jarang kita melihat katak merangkak. Apabila Ibrahim Ali melompat parti, beliau digelar katak. Sedangkan sebelum Ibrahim Ali, terdapat orang lain melompat parti, tetapi tidak dipanggil katak.

Kalau kita mengambil kira nama-nama yang disebutkan oleh Ibrahim Ali, maka berbakul-bakul manusia katak di Malaysia. Dalam BN ada katak, dalam PR ada katak. Malahan dalam Kabinet 1Malaysia pun ada katak. Kata ada di segenap penjuru ruag politik negara. Anehnya, “katak-katak” yang dimaksudkan Ibrahim Ali tidak pernah dipanggil katak oleh sesiapa. Hanya Ibrahim Ali seorang yang dipanggil katak. Ini tidak adil. Masakan Ibrahim Ali seorang sahaja berstatus katak. Orang pun melompat juga, malah ada yang lebih banyak daripada Ibrahim.

Ini mesti ada sesuatu yang tidak kena. Sesiapa yang tahu, tolonglah khabarkan kepada Ibrahim Ali agar kemusykilannya terungkai. Sekatak-katak Ibrahim Ali, tidak pernah disabitkan dengan penyelewengan mahupun rasuah selama bergiat dalam politik. Ini kenyataan yang sukar disangkal. Orang lain yang tidak katak, ramai yang terkena serbu oleh SPRM. Menteri Zoom Malaysia bukan katak tetapi telah diperlakukan lebih daripada katak.

Mungkin ada orang berhujah gelaran katak kepada Ibrahim diberikan kerana lompat partinya tidak ada prinsip. Ibrahim melompat kerana kepentingan diri, sedangkan orang lain melompat kerana prinsip.

Kemukakanlah 1001 hujah, semuanya betul kerana dalam politik tidak ada apa yang salah selagi diterima baik oleh rakyat. Katak, biawak, penyamun bangsa, perompak negara, penipu rakyat dan apa-apa sahaja tidak salah selagi tidak ditolak oleh rakyat. kalau perasuah boleh diterima rakyat, masakan katak tidak diterima rakyat.

Walau apapun, pertanyaan Ibrahim Ali patut difikirkan bersama: Mengapa dia sahaja digelar katak sedangkan orang lain juga melompat parti? Muka-muka yang disebut oleh Ibrahim Ali lebih kurang sama juga dengan muka Ibrahim Ali. Kenapa mereka tidak katak?

Ibrahim ali tidak perlu berkecil hati kerana di restoran makanan Cina, katak makanan istimewa dan harganya juga mahal.

satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.