Nizar : Aziz Bari pertahan tulisannya

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Pemerhati politik, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak takut mempertahankan penulisannya mengenai krisis kepimpinan Pas dalam sebuah akhbar tempatan Isnin lalu.

Menurutnya, apa yang ditulisnya itu berasaskan senario semasa, dibantu pengalamannya menulis lebih 10 buku serta ratusan artikel mengenai perkara berkaitan kerajaan dan kepimpinan sejak awal 1990-an.

"Saya juga bercakap dengan orang ramai di majlis-majlis keramaian serta rakan-rakan dalam bidang sama (politik) dari semasa ke semasa.
"Oleh itu, krisis kepimpinan dalam Pas saya suarakan berdasarkan persepsi yang saya kira kredibel dan bukannya membuta tuli," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Justeru, Abdul Aziz mempertahankan pendapatnya bahawa parti itu perlu melakukan reformasi dalam kepimpinan seperti mendisiplinkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali atau menyingkirkannya.

Berikutan penulisannya itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam blognya kelmarin mencadangkan supaya parti tersebut mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi 'membersihkan' beberapa pemimpinnya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menegaskan, tulisannya memang bukan berbentuk ilmiah formal seperti tesis atau kertas projek namun ia merupakan persepsi yang tidak boleh dipandang remeh.

"Jadi terpulanglah, kalau ada pemimpin Pas yang tak setuju dengan saya, mereka boleh terus hidup dalam sindrom penafian,'' katanya. Beliau menjelaskan, EGM merupakan cara terbaik bagi parti itu 'membersihkan' kepimpinannya.

Sementara itu penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) menasihatkan Pas supaya mengakui wujudnya krisis kepimpinan dalam parti berkenaan.

Jelasnya, jika krisis itu tidak diselesaikan segera, perpecahan di kalangan penyokong pemimpin-pemimpin itu akan semakin besar.

No comments

Powered by Blogger.