Pas Akur Pilihan Pengundi Bagan Pinang

Selepas lapan kali menafikan kemenangan menjadi milik parti lawan, 11 Oktober lepas PAS terpaksa akur pada kekalahan selepas pilihan raya kecil (PRK) Dun Bagan Pinang tidak berpihak kepadanya. Dan PAS sesungguhnya sudahpun menerima realiti itu dengan dada lapang.

Walaubagaimanapun ia menolak pelbagai dakwaan serta spekulasi kononnya kekalahan itu adalah gambaran awal kerapuhan Pakatan Rakyat (PR) menghadapi pilihan umum ke 13 akan datang.

Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semasa memberi responnya berhubung perkara itu menyifatkan kalah atau menang adalah adat di dalam sebuah perjuangan, seraya mengakui bahawa PAS menghadapi tentangan kuat daripada Umno pada PRK kali ini.

“Kita terima kekalahan ini. Tak apa. PAS tidak pernah lupa pada falsafah, menang tidak bererti selama-lamanya akan terus menang. Begitu juga kalah. Kelantan pun sebelum ini pernah kalah tetapi akhirnya mampu bangkit semula” katanya ketika diminta mengulas kekalahan PAS pada PRK Dun Bagan Pinang.

Pada PRK tersebut PAS melalui calonnya, Zulkefly Mohamad Omar, gagal mengulangi momentum PRK Kuala Terengganu dalam usaha menawan Dun Bagan Pinang apabila tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Isa Samad, dengan majoriti 5,435 undi.

Mohd Isa yang mendapat 8,013 undi berbanding Zulkefly, 2,578 sekaligus berjaya menambah majoriti yang diperolehi pada pilihan raya umum 2008 sebanyak 2,333.

Sehubungan itu Nik Aziz memberitahu PAS dicengkam hebat oleh Umno apabila sistem informasi dimiliki PR agak terbatas. Justeru, penyebaran maklumat secara meluas gagal dilaksanakan dengan tersusun.

Semasa mengulas PRK Dun Bagan Pinang yang dianggap sebagai PRK terburuk berbanding beberapa PRK di adakan sebelum ini berikutan dicemari beberapa insiden beliau rasa amat dukacita dan berharap sikap buruk yang tidak bermoral seperti itu dapat dibendung dengan lebih berkesan pada masa-masa akan datang.

Proses pengundian Dun Bagan Pinang dicemari beberapa insiden buruk seperti membaling batu dan botol menimbulkan kekecohan melampau menyebabkan berlakunya pergaduhan antara penyokong parti bertanding sehingga mencederakan orang awam telah secara tidak langsung mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, mengulas kemenangan BN pada PRK tersebut adalah bukti undi pos masih dimanipulasi oleh BN demi kemenangannya.

Beliau berhujah melalui justifikasinya di mana seorang pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang pernah ditemuinya dulu mengakui telah membawa usul agar undi pos dihapuskan, namun ia ditolak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana baginya undi pos adalah survival bagi BN.

“Dan undi pos di Bagan Pinang peratusnya adalah sangat tinggi. Maka tidak mustahil senario itu terus dipraktikkan oleh BN bila dikaitkan dengan kenyataan tersebut” ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin, menyifatkan kemenangan besar Isa sebagai tanda permulaan perubahan sokongan rakyat kepada BN setelah mengalami kekalahan hampir ke semua PRK diadakan sebelum ini kecuali satu iaitu di Batang Ai.

Kemenangan Isa yang menyapu bersih kawasan pengundi bukan Melayu turut meyakinkan beliau bahawa sokongan masyarakat India, Cina dan lain-lain bangsa menunjukkan kepercayaan mereka terhadap kepimpinan kerajaan BN.

Walau apapun, rasionalnya Umno belum layak mendabik dada menyatakan kemenangan besar di Bagan Pinang, kerana nisbah kekuatannya itu belum mampu memberi kesan perubahan kepada kerusi di parlimen mahupun negeri.

Dan PAS seharusnya tidak alpa untuk mengingatkan bahawa Bagan Pinang hampir merobek personaliti partinya.

Oleh Mohd Zuharman

No comments

Powered by Blogger.