PAS Kedah Bantu Bagan Pinang

Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, jenteranya telah pun memulakan persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil di Bagan Pinang pada 11 November ini.

Katanya, jentera Pas Kedah akan mula turun padang bagi meninjau keadaan pengundi di sana yang akan dimulakan dengan berjumpa pengundi di sekitar kawasan Teluk Kemang pada minggu ini.

Mahfuz berkata, kali ini beliau dan jenteranya tidak akan mengehadkan jumlah kawasan untuk menyampaikan maklumat malahan pada pilihan raya kecil kali ini lebih banyak kawasan yang akan ditinjau bagi memastikan Pas tetap memperoleh kemenangan pada pilihan raya kecil Bagan Pinang.

“Satu mekanisma baru juga akan dikaji untuk digunakan ketika jentera menyampaikan maklumat kepada pengundi kerana kita mahu setiap maklumat yang disampaikan akan dapat diterima oleh mereka.

“Jadi dengan cara ini kita akan dapat sampaikan maklumat dengan lebih mudah dan secara tidak langsung kepercayaan pengundi terhadap kepimpinan dan parti ini akan menjadi lebih kuat,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas mengenai persiapan Pas Kedah untuk pilihan raya kecil di Bagan Pinang.

Mahfuz berkata, jentera yang kuat juga amat perlu bagi pilihan raya kecil pada kali ini kerana kebanyakan pengundi di kawasan itu membabitkan anggota tentera yang secara tidak langsung berkait dengan undi pos.

Katanya, beliau juga risau dengan keadaan itu namun yakin dengan jiwa kepahlawanan yang ada pada setiap anggota tentera itu.

Beliau berkata, semangat mengutamakan keselamatan negara yang ada pada jiwa anggota tentera itu juga mampu membuatkan mereka untuk berfikir pemimpin yang manakah yang layak untuk memimpin kawasan itu.

No comments

Powered by Blogger.