Pasangan yang baik – jamin kebahagiaan rumah tangga

Soal Jawab Bersama Mohd. Zaidi Mohd. Zain
Perunding Keluarga Islam/Peguam Syarie

Soalan:
SEBAGAI bapa, saya ingin memastikan anak lelaki dan anak perempuan saya mendapat pasangan masing-masing sebagaimana yang ditentukan oleh syarak.

Bolehkah tuan terangkan tentang ciri-ciri suami dan isteri yang baik mengikut pandangan Islam.

Ahmad Mesran,
Kuala Lumpur.

Jawapan;
Pasangan di dalam perkahwinan adalah rakan kongsi dalam kehidupan. Pasangan yang baik akan menjadikan perkongsian hidup lebih bermakna dan berjaya.

Hasil daripada kejayaan perkongsian hidup ini akan memberi kesan kepada seluruh aktiviti masyarakat termasuk pekerjaan harian, hubungan sosial, ekonomi dan sebagainya.

Oleh yang demikian, amat penting bagi setiap individu sama ada lelaki mahupun perempuan memilih pasangan yang terbaik serta memenuhi ciri-ciri yang telah digariskan oleh Islam.

Isteri adalah tempat terbaik bagi suami mengadu dan meluahkan segala isi hati terhadap permasalahan yang dihadapi dalam tugas harian.

Walaupun isteri tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut secara langsung tetapi belaian yang lembut serta kata-kata perangsang daripada seorang isteri kepada suami akan memberi semangat dan mengembalikan kekuatan untuk menghadapi masalah yang mendatang.

Isteri yang baik juga akan menjadi taman asuhan terbaik kepada anak-anak membesar dalam suasana yang membina dari aspek fizikal dan mental.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w telah menetapkan ciri utama yang perlu dilihat sebelum memilih isteri adalah dari segi agamanya, di samping ciri-ciri lain yang bertepatan dengan kehendak dan cita rasa lelaki itu sendiri seperti berharta, cantik dan keturunan yang baik-baik.

Dalam soal memilih calon isteri juga satu aspek yang perlu di beri perhatian ialah kecenderungan atau rasa cinta. Perkara ini amat penting bagi menjamin kebahagiaan rumah tangga yang terbina.

Di samping itu juga Rasulullah s.a.w menggalakkan seseorang lelaki yang berkahwin supaya memilih anak dara kerana akan lebih memberi kemesraan dalam gurau senda dan bermanja-manjaan.

Sementara itu bagi perempuan yang ingin berkahwin, mereka juga mestilah memilih pasangan yang boleh membimbing mereka di dunia dan akhirat.

Ini kerana suami adalah tempat bagi mereka berteduh dan bergantung harap selepas kedua ibu bapa melepaskan mereka daripada tanggungjawab masing-masing.

Pemilihan pasangan ini boleh dilakukan sama ada oleh wali ataupun diri mereka sendiri sebagaimana yang menjadi amalan kebiasaan bagi kebanyakan masyarakat kita hari ini.

Di dalam persoalan ini, seorang lelaki pernah datang kepada Hasan bin Ali bin Ali Talib iaitu cucunda kepada Nabi Muhammad s.a.w dan bertanyakan dengan siapa dia patut kahwinkan anak perempuannya.

Hassan menasihatkan lelaki tersebut mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki yang bertakwa kepada Allah kerana lelaki seumpama ini akan menghormati isterinya apabila dia mencintainya dan tidak akan memudaratkan tubuh isterinya apabila dia membenci.

Daripada kisah di atas, kita mengambil iktibar bahawa lelaki yang mempunyai sifat takwa adalah calon yang terbaik kepada setiap perempuan yang ingin mendirikan rumah tangga kerana dia akan menjadi benteng bagi kehidupan di ketika susah dan boleh berkongsi kegembiraan di kala senang.

Manakala ketakwaan seseorang lelaki itu pula, boleh diukur kepada pengetahuan agama yang ada dalam dirinya serta sejauh mana dia mentaati perintah Allah dan menjauhi larangannya.

No comments

Powered by Blogger.