Pendidik dan pendidikan

DI DALAM zaman canggih dan moden sekarang tentulah tidak perlu dipersoalkan lagi apakah pendidikan itu diperlukan oleh masyarakat. Persoalan ini tentulah akan dijawab dengan jawapan yang amat positif sekali, iaitu pada zaman ini kita sangat memerlukan pendidikan iaitu pendidikan formal dan tidak formal. Selagi manusia bernama manusia maka selama itulah manusia memerlukan pendidikan sebagai satu pelaburan yang amat tinggi nilainya untuk mewujudkan satu masyarakat manusia yang berperadaban, berilmu dan bermoral. Unsur-unsur inilah yang bakal membentuk tamadun bagi sesuatu bangsa.

Namun begitu satu persoalan yang mungkin menjadi topik perbincangan yang amat menarik ketika ini ialah apakah pendidikan yang ditawarkan di semua peringkat pengajian di negara kita, atau mungkin juga di negara-negara Islam lainnya, masih berkesan dan relevan untuk membentuk manusia Muslim yang berkualiti dari segi minda, ilmu pengetahuan, hikmah, hati, rohani dan akhlaknya.

Untuk tujuan polemik dan percambahan fikiran eloklah jika dibincangkan perkara-perkara yang tersebut secara ringkas seperti di bawah;

* Tentang akal dan minda; Akal yang sempurna merupakan penentu bagi kesempurnaan peradaban seseorang. Mungkin kita ingin bertanya apakah pendidikan kita sekarang, terutamanya pendidikan agama telah berjaya membentuk insan yang mempunyai minda dan akal yang sempurna?

* Tentang hikmah dan hati; apakah pendidikan kini mampu membentuk manusia yang berakal dan berhikmah, iaitu yang mempunyai hati nurani yang hidup, menghargai dengan menghayati kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan sebagainya? Menurut para hukama Islam, hikmah itu seolah-olah turun dari langit, iaitu diberikan Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendakiNya, maka ianya tidak akan singgah ke dalam hati seseorang yang mempunyai empat sifat ini iaitu pertama hati orang yang terlalu cenderung kepada keduniaan sehingga melupakan akhiratnya, kedua hati orang yang bersifat pesimistik bagi hari esoknya, ketika hati seseorang yang sering menyimpan perasaan dengki, dendam dan buruk sangka kepada sesama sendiri, dan keempat hati yang hanya memuja benda, kedudukan, pangkat dan sebagainya sehingga menjadi manusia yang fanatik melulu.

Dengan hanya menyentuh dua perkara yang tersebut di atas mungkin kita telah dapat menilai kualiti manusia yang kita hasilkan selama ini melalui sistem pendidikan kita, terutamanya pendidikan agama dan kerohanian yang diberikan di semua peringkat pengajian, iaitu apakah kita benar-benar dapat melahirkan manusia yang berilmu dan berhikmah, berkebudayaan tinggi dan berperadaban menurut kualiti manusia yang kita perlukan dan menjadi tuntutan agama kita.

Bagaimanapun sistem pendidikan saja sebenarnya tidak akan mampu mencanai minda dan hati nurani manusia yang kita perlukan. Sistem pelajaran mungkin baik dan kurikulumnya pun mungkin cemerlang, tetapi sekiranya sistem dan kurikulum yang baik itu diserahkan kepada pengendali atau tenaga pengajar yang tidak baik maka matlamat sistem yang baik itupun mungkin tidak akan tercapai.

Oleh itu persoalannya di sini bukanlah persoalan sistem dan pengisian pelajaran itu semata-mata, tetapi persoalan utamanya ialah persoalan pelaksana dan penyampaiannya, kerana pelaksananya adalah terdiri daripada makhluk kejadian Allah, iaitu manusia yang amat kompleks dan terlalu sukar untuk diduga pemikiran dan perasaannya.

Seandainya pun sistem dan kandungan pengajaran sesuatu subjek itu kurang baik dan tidak begitu lengkap, tetapi sekiranya ia ditangani dan dilaksanakan oleh seorang insan yang sempurna ilmu dan akal budinya, maka hasilnya mungkin lebih baik daripada sistem yang baik tetapi dikendalikan oleh manusia yang tidak berkualiti.

Persoalan pokok sekarang ialah bagaimanakah hendak dibangunkan tenaga manusia yang cemerlang untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pendidikan ke arah melahirkan generasi baru yang berkualiti minda, akal fikiran ilmu pengetahuan, hati nurani, adab dan akhlaknya?

Apakah kita sedar tentang apa yang berlaku di dalam bilik-bilik darjah dan kuliah di sana sini? Apakah kita sedar bahawa terdapat bilik kuliah yang digunakan untuk membentuk hati yang kotor, pemikiran yang keliru dan sifat pesimis yang hanya dapat melihat keburukan orang atau apa saja di sekelilingnya?

Apakah kita juga menyedari bahawa banyak persoalan di dalam kertas-kertas soalan yang disediakan oleh tenaga pengajar yang berbentuk perbualan dan spekulasi yang biasanya hanya dibicarakan dalam bualan-bualan kedai kopi?

Tentang pembangunan Islam umpamanya, apakah kita tahu bahawa terdapat ungkapan soalan yang bertanya ”kenapakah pembangunan Islam di negara kita mengalami kegagalan” tanpa membicarakan apakah sebenarnya pembangunan agama di negara kita mengalami kemajuan atau kegagalan?

Apakah kita juga mengetahui bahawa terdapat kanak-kanak di tadika yang telah diasuh minda dan persepsinya supaya membenci dan memandang rendah terhadap seseorang yang dianggap ”musuh” dan ”jahat”? Apakah kepala kanak-kanak yang masih lembut ubun-ubunnya itu bersedia untuk menerima sampah sarap yang cuba dimasukkan ke dalam otaknya itu?

Inilah nampaknya kecelaruan dan kegawatan yang diami oleh dunia pendidikan kita sekarang. Maka dalam konteks inilah agaknya Rasulullah SAW telah bersabda bahawa Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya. Kita tidak tahu sama ada kehancuran itu telah atau sedang berlaku di dalam masyarakat kita. Yang kita tahu, sekarang ini telah ada murid yang membakar rumah gurunya, yang mencuri dan merompak serta berkelakuan tidak matang.

*DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM,
Ketua Pengarah IKIM.
e-mel:ismail@ikim.gov.my

No comments

Powered by Blogger.