Pendidikan Islam jangan sekadar ada

Dalam kesibukan ibu bapa mengejar hal ehwal duniawi, adakalanya mereka tidak dapat mendidik anak-anak sehingga akhirnya membuat keputusan menyerahkan anak-anak untuk dididik oleh satu sistem yang formal.

Kalau ke situ arah pemikiran sosial semasa, tanyalah diri kita, adakah sistem pendidikan kita sudah mampu menampung tekanan masyarakat semasa sekarang?

Kayu ukur yang digunakan oleh ibu bapa kepada sistem yang sedia ada juga tidak boleh dipandang enteng.

Walau macamana cetek sekali pun pengetahuan agama seseorang ibu atau bapa, mereka masih mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik.

Di sinilah letaknya kepentingan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral dalam memenuhi kehendak semasa, khususnya yang berkaitan secara langsung dengan kurikulum.

Peranan jabatan ini sebenarnya sungguh penting, sehingga ia bolehlah disifatkan sebagai nadi kepada keseluruhan jabatan-jabatan di Kementerian Pendidikan.

Ia seharusnya menjadi pakar rujuk yang berwibawa dalam menangani segala kemelut yang berlaku dalam sistem pendidikan di negara ini.

Sebab itulah, peranan bahagian-bahagian di bawahnya – Bahagian Pengurusan, Bahagian Dakwah dan Bahagian Kurikulum – semakin penting dan perlulah dimantapkan dari semasa ke semasa. Ia perlu mencapai taraf rujukan, malah tidak keterlaluan sekiranya fungsinya dilanjutkan kepada soal-soal fatwa sekalipun.

Misalnya, ia mesti boleh menjawab persoalan-persoalan kontroversi yang dikemukakan oleh para pelajar seperti kontroversi berhubung isu riba Pinjaman Perbadanan Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN).

Begitu juga isu-isu seperti halal atau haram akibat kesan berkongsi kantin antara pengusaha Melayu beragama Islam dan bukan Islam dan sebagainya.

Adakah ceramah-ceramah agama di surau-surau sekolah turut disertai oleh kakitangan di jabatan ini?

Sejauh mana pula keberkesanan sistem pemantauan yang dilaksanakan di peringkat perancangan dan dasar Pendidikan Islamnya.

Adakah pendekatan yang digunakan untuk ‘mengislamkan’ sistem pendidikan itu telah berjalan dengan lancar atau tidak? Dasar pendidikan Islam dan bahasa Arab di sekolah-sekolah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Soal-soal lain seperti kebajikan guru-guru Pengajian Islam dan Bahasa Arab dari semasa ke semasa supaya tidak timbul lagi rungutan mereka ini dianaktirikan.

Setiap kemajuan yang dicapai serta hasil-hasil penyelidikan perlu diumumkan secara terbuka supaya jabatan ini kelihatan lebih telus di kalangan khalayak. Janganlah juga diabaikan isu-isu penempatan, pertukaran dan kebajikan guru-guru agama ini.

Kita tahu keputusan peperiksaan kebangsaan yang dicapai oleh para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) adakalanya mencapai tahap mengatasi sekolah-sekolah harian biasa.

Namun pada masa yang sama, janganlah pula menganaktirikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN).

Sangat perlu menyelaraskan kecemerlangan di sekolah-sekolah di bawah bumbung atau di pinggir bumbung Kementerian Pendidikan.

Oleh itu, antara yang perlu diberi perhatian khusus adalah seperti isu-isu pengurusan SMKA, pemasaran SMKA, bantuan kewangan SAR serta penyelarasan SAN dan SAR.

Urusan birokratik dalam pengurusan tidak seharusnya mengekang hal ehwal dakwah yang menjadi nadi dalam tuntutan beragama.

Dakwah seharusnya merentas kurikulum dan sampai maksud yang hendak disampaikan. Dakwah yang berkesan boleh dilihat apabila para pelajar mula memenuhkan segenap sudut surau sekolah dengan berimamkan cikgu masing-masing.

Ciri-ciri Islam terserlah bukan ketika tibanya hari kebesaran Islam, tetapi dalam kepimpinan seharian. Kurikulum merupakan perkara terakhir yang mendasari kehendak satu sistem pendidikan yang mapan dan dihormati.

Pastikan juga pelbagai kaedah, modul dan pendekatan yang sesuai digunakan supaya proses pembelajaran dan pengajaran akan terlaksana secara lebih berkesan. Begitu juga dengan modul belajar.

Kita berharap pihak-pihak berkuasa yang diamanahkan untuk memajukan sistem pendidikan Islam di Malaysia dapat ditingkatkan kecekapan dan mutunya supaya selari dengan tekanan dan kehendak semasa masyarakat yang dahagakan pengisian agama.

Tibalah masanya untuk meneliti perkara ini secara serius, atau kita akan gagal lagi memupuk satu bangsa yang mantap akalnya.

No comments

Powered by Blogger.