Selangor Perkenal Sistem E-KPI Untuk Nilai Pemimpin

KUALA LANGAT, 1 Oktober - Kerajaan Selangor hari ini bercadang mewujudkan sistem penilaian prestasi kerja yang dikenali sebagai “E-KPI” kepada pemimpin setiap peringkat di Selangor, dua bulan lagi.

Penilaian ini turut membabitkan Menteri Besar, Exco Selangor, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Majlis dan Ketua Kampung di seluruh Selangor.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, ia adalah inisiatif Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memastikan pemimpin yang dilantik, mencapai prestasi yang ditetapkan agar kredibiliti mereka tidak dipersoalkan kelak oleh mana-mana pihak.

“E-KPI ini satu program soal selidik tentang Key Performance Indicator yang telah kita tetapkan kepada setiap ADUN, Ahli Majlis, Exco, Ketua Kampung dan sebagainya, dia ada beberapa perkara yang dia perlu isikan prestasi dia dalam bentuk Internet, contohnya kalau bulan ni, kalau kata berapa banyak dia turun padang, apa isu dia selesaikan, jadi dia boleh isi dan dari situ kita akan pantau sejauh mana efisiennya ataupun ahli majlis itu peruntukan masanya dia berikan dan bagaimana dia melaksanakan tugasan dia”, katanya.

Rodziah berkata demikian kepada Tv Selangor selepas menutup Kursus Asas Ahli Majlis di Institut Latihan Pihak Berkuasa Tempatan (ILPBT), Morib hari ini.

Katanya, sebelum ini pihaknya sukar membuat penilaian prestasi terhadap seseorang pegawai atau pemimpin masyarakat, berikutan tiada program khusus untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, katanya, apabila sistem pemantauan E-KPI ini diperkenalkan kelak, pemimpin tertinggi dapat menilai prestasi ahli-ahli majlis dari tempoh perlantikan sehingga saat mereka diberikan mandat untuk melaksanakan tugas.

Pada majlis hari ini, 25 daripada 66 ahli majlis mengikuti kursus asas pengurusan dan pentadbiran siri pertama mulai 29 September lalu.

41 ahli majlis lagi bakal mengikuti kursus yang sama mulai 5 hingga 7 Oktober ini.

Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada mereka berhubung pengurusan majlis perbandaran, selain memahami dasar-dasar sedia ada bagi membolehkan mereka berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih berkesan.

Ia meliputi bidang penambahbaikan infrastruktur, aktiviti kemasyarakatan, penguatkuasaan perlesenan dan penambahbaikan hasil dan kutipan cukai.

“Alhamdulillah, pada pandangan saya kursus ini sangat baik, kerana input-input yang dibagi dalam kursus ni memang apa yang perlu diketahui oleh ahli-ahli majlis untuk menjalankan tugas dengan lebih baik dan berkesan jadi saya memang menyokong penuh kalau kursus seperti ini dibuat lagi masa hadapan untuk lanjutan dan sebagainya”, kata Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abdul Latif Shaari.

“Memang saya belajar banyak dekat sini, lepas itu dapat tahu apa peranan kita, tanggungjawab kita, itu saja laa”, kata Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Foo Weng Fui .

“Memang saya rasa sesi latihan ni memang bagus, dan mendatangkan banyak idea semasa kita nak menjalankan tugas dan pendedahan semua ahli majlis juga merasa dengan ada latihan ni kita boleh lebih memahami dasar-dasar kita nak menjalankan, boleh mempertingkatkan lagi kerja kita dalam majlis, orang kata lebih profesional”, kata Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Lwi Kian Keong.

Turut hadir pada majlis penutupan kursus itu, Pengarah ILPBT, Dato’ Ishak Ahmad. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.