Selangor sedia RM1.4 bilion Bajet 2010

SHAH ALAM-12Oktober-Kerajaan negeri Selangor memperuntukan sebanyak RM1.4 bilion ringgit yang juga merupakan peruntukan tertinggi bagi Bajet Negeri Selangor setakat ini.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, peningkatan pada peruntukan ini sejajar dengan perancangan serta pelaksanaan program dan projek-projek baharu dalam dasar “merakyatkan Ekonomi Selangor”.

Beliau berkata, antara belanjawan yang penting ialah program-program merakyatkan ekonomi seperti pemberian air percuma, khairat kematian dan mesra usia emas, kelas tambahan dan kebajikan pekerja ladang, orang kurang upaya dan program-program sosial.

“Buat masa ini kerajaan negeri menjangkakan pendapatan negeri tidak lebih daripada RM 1,400,000 juta dan hampir 50 peratus digunakan untuk perbelanjaan korporasi, gaji, sewa dan pengendalian pentadbiran. dan 50peratus digunakan untuk belanjawan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Dialog Bajet 2010 di SACC Convec, Shah Alam, Pagi tadi.

Dialog Bajet ini melibatkan maklum balas, pandangan, cadangan dan idea daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN), Ahli Majlis Pihak Berkuasa tempatan (PBT), Penggerak Belia, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), institut kewangan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Kami berharap hasil dialog ini akan memberi idea baru termasuk idea bagaimana kita memantapkan pembangunan diluar Bandar, walupun negeri Selangor ini dalam masa 30 tahun akan datang dijangka semua daerah adalah daerah Bandar, tetapi perlu memberi sokongan kepada masyarakat di luar Bandar supaya mereka bersedia mengalami kehidupan dalam Bandar, dengan cara itu semua rakyat Selangor dapat manfaat terus hasil negeri Selangor dan perbandaran,” katanya.

Katanya, cadangan yang dibentangkan ini akan dibincangkan dengan pihak exco untuk mengkaji semula draf bajet dan jika cadangan diterima, ia akan dibentangkan pada sidang Dewan Negeri akan datang.

Beliau berkata, masalah defisit yang berlaku di Negeri Selangor akan cuba diatasi dengan beberapa cara, antaranya memastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.

“Saya mengingatkan kalau permintaan kita terlalu banyak untuk social kita akan menghadapi defesit, itu yang kita perlu imbangkan, dan kita melihat dalam bajet yang akan datang bagaimana kita mengatasi masalah defesit tersebut,” katanya.

Sementara itu, peserta yang ditemui berpendapat, Majlis Dialog ini merupakan usaha penting bagi mendapatkan maklum balas dari pelbagai pihak, sebelum merumuskan bajet yang diperlukan untuk Negeri Selangor.
KEMALIA OTHMAN TVSELANGOR

No comments

Powered by Blogger.