Siasat Laporan Ketua Audit Negara: Siapa Didahulukan?

Kerajaan telah menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi, diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan, untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata penubuhan pasukan petugas itu diluluskan oleh kabinet, yang bermesyuarat hari ini, dan selaras dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

“Kabinet memandang serius laporan itu dan telah memutuskan sebuah pasukan petugas ditubuhkan untuk menyiasat penyelewengan kewangan yang disebut dalam laporan itu.

“Jawatankuasa bukan sahaja akan menyiasat penyalahgunaan kuasa dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati terlibat dalam penyelewengan kewangan itu tetapi juga mengambil tindakan pentadbiran terhadap mereka yang didapati bersalah tetapi tidak boleh didakwa di mahkamah atas pelbagai sebab,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya.

Pasukan petugas itu akan turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sendiri.

Mereka malahan diberikan kuasa untuk meminta bantuan daripada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika perlu berbuat demikian, katanya.

“Saya mahu tekankan di sini bahawa kami bukan berniat untuk mencari kesalahan sesiapa, tetapi kami hanya mahu memastikan mereka yang melakukan kesalahan tidak terlepas. (Malaysiakini)

Siapa bilang kerajaan BN tidak prihatin dan tidak mengutamakan rakyat? Balik rumah, masak air dan cuci muka dengan air suam agar mata terang sedikit.

Kerajaan kita satu-satunya kerajaan paling prihatin di dunia. Mana ada kerajaan di dunia yang memberi bantuan berjuta-juta ringgit kepada puak yang menentangnya dalam pilihan raya, melainkan kerajaan kita. Berapa juta peruntukan kepada masyarakat India sebagai balasan kerana tidak mengundi BN dalam PRU Ke-12 dan kacau bilau oleh Hindraf? Penyokong setia kerajaan melopong.

Berapa banyak yang diterima YB pembangkang sehingga menyebabkan hati mereka lembut dan akhirnya menjadi katak? Berapa banyak duit dihulur kepada ahli parti pembangkang sehingga mereka sudi menayang muka di TV kerana keluar parti? Inilah buktinya kerajaan BN kita prihatin dan membantu tanpa mengira batasan politik.

Menubuhkan Jawatankuasa Khas satu lagi bukti keprihatinan kerajaan kita. Pasukan polis dan SPRM tidak cukup cekap menyiasat sesuatu penyelewengan. Hanya Jawatankuasa Khas yang cekap. Lagipun polis PDRM dan SPRM seperti terdapat calar di wajah. Rakyat kurang yakin dengan mereka. Jawatankuasa Khas masih diyakini rakyat kerana rakyat masih belum kenal benda apa Jawatankuasa Khas itu. Maklumlah namanya bertukar-tukar mengikut kes.

Setiap kali ada terjadi sesuatu yang tidak kena – jambatan putus, stadium runtuh, masjid bocor, jejambat retak, makmal sekolah tumbang, BN hilang sokongan dan sebagainya mesti ada “Jawatankuasa Khas” yang ditubuhkan kerajaan untuk mengorek-gorek dan mencungkil-cungkil punca kejadian. Ini adalah bukti bahawa kerajan kita prihatin.

Laporan yang dikemukakan juga lazimnya “laporan khas” yang wajib mendapat kelulusan pihak atasan dahulu sebelum disumbat ke telinga rakyat.

Kata rakyat didahulukan, tetapi kenapa mesti lapor kepada pemimpin terlebih dahulu, sebelum lapor kepada rakyat? Bukankah ini dinamakan pemimpin didahulukan?

Yang terbaru, kerajaan menubuhkan “jawatankuasa khas” bagi menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008. Jawatankuasa Khas ini akan melakukan siasatan khas, laporan khas kepada menteri, pengumuman khas kepada rakyat, tangkapan khas, dakwaan khas dan hukuman khas. Semuanya khas. Siapa yang tidak tahu maksud khas, sila hubungi Awang Sariyan, pakar bahasa kita.

Jawatankuasa Khas ini telah banyak ditubuhkan. Akan tetapi hasil siasatannya tidak pernah memuaskan hati rakyat. Al maklum sahajalah kerana kerajaan BN juga mahu menjaga reputasi dan nama baiknya.

Sekarang Mat Bangla yang bekerja di pam minyak “termahal di dunia” mula resah. Jurujual komputer “termahal di dunia” juga mula kencing dalam seluar. Mereka akan jadi sasaran siasatan. Silap-silap mereka yang bakal didakwa kerana menjual minyak dan komputer dengan harga yang tidak masuk akal. Harga begini dianggap harga membodohkan rakyat. Jadi, wajarlah kalau Mat Bangla dan Jurujual komputer dihukum.

Masih ingat kes kereta mewah kerajaan Terengganu? Siapa yang didakwa?

Jawatankuasa khas ini tidak pernah menghampakan kerajaan. Hasil siasatannya selalu memenuhi kehendak kerajaan – kes dapat ditutup dan rakyat berjaya dilenakan.

1Malaysia boleh! Semua peringkat kepimpinan BN sedang melaksanakan gagasan “rakyat didahulukan” dalam semua perkara kecuali dua perkara iaitu; pertama, perkara yang menguntungkan poket sendiri, maka sendiri yang didahulukan dan kedua, perkara yang menguntungkan kroni, maka kroni didahulukan.


http://satumalaysia.wordpress.com/

No comments

Powered by Blogger.