Sikap rendah diri pemimpin jadi tarikan

Penubuhan Kelab Penyokong Pas telah merapatkan jurang di antara masyarakat bukan Islam dengan parti Pas dan sesetengah mendakwa dahulu mereka terlalu takut untuk mendekati Pas.

Menurut mereka, pada tahun 60-an hingga 70-an ada khabar angin mendakwa parti itu akan memecahkan kuil dan tempat sembahyang anutan agama lain.

Pengerusi Kelab Penyokong Pas Bahagian Pokok Sena, S Monogran berkata, ura-ura tersebut telah menyebabkan masyarakat bukan Islam takut untuk mendekati Pas apatah lagi untuk mengenali parti itu.

“Namun selepas Pas berusaha mendekati masyarakat bukan Islam dengan menerangkan hal yang sebenar, sedikit demi sedikit kami mula memahami perjuangan parti itu.

“Sikap pemimpin parti itu juga yang tidak mengamalkan sikap ‘double standard’ menyebabkan kami semakin tertarik dengan Pas dan mula menyokong mereka,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Sumbangan Deepavali oleh Pas Kawasan Pokok Sena.

Sumbangan disampaikan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Ahmad Izzat Mohd Shauki.

Monogran berkata, kelab ini yang baru sahaja dibentuk percaya dapat meraih sokongan dan menambah ahli yang ramai berikutan prestasi Barisan Nasional (BN) yang semakin kehilangan kepercayaan masyarakat bukan Melayu.

“Jika ada program, pemimpin Pas tidak memerlukan sebarang kelengkapan VIP dan mereka menggunakan apa yang sedia ada sahaja yang disediakan.

“Sebarang majlis yang dihadiri walaupun terlalu ringkas, mereka tidak merungut malah ada yang beratur seperti hadirin yang lain untuk menjamu selera makanan yang disediakan,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya sokongan dapat diraih dan kelab itu akan berusaha untuk menjelaskan kepada masyarakat India di kawasan ini mengenai Pas dan perjuangan parti tersebut.

“Pada zaman sekarang kami sudah tidak takut dengan Pas malah perkara negatif yang kami dengar selama ini mengenai parti itu hanya rekaan semata-mata sahaja,” katanya.

Monogran berkata lagi, sikap yang diamalkan pemimpin Pas menyebabkan masyarakat bukan Islam ingin lebih mengenali diri mereka.

No comments

Powered by Blogger.