Status sebagai negara Islam

Mukadimah
Rencana ini ialah sedutan daripada khutbah Jumaat yang disampaikan di Masjid Putrajaya semalam mengenai ciri-ciri negara Islam.

Khutbah ini bertujuan memberi penjelasan mengenai status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Selain itu penjelasan ini diharap dapat memberi gambaran sebenar mengenai ajaran Islam yang berkaitan dengan konsep pemerintahan sepertimana yang telah dijelaskan oleh para ulama muktabar.

Sebenarnya istilah `negara Islam’ atau dalam bahasa Arab sering dirujuk sebagai al-daulah al-islamiah atau al-hukumah al-islamiah, tidak didapati secara langsung dalam al-Quranul karim, begitu juga dalam hadis-hadis nabi kita Muhammad s.a.w.

Istilah seumpama ini lahir hasil daripada perkembangan ilmu semasa dan dihuraikan oleh para ulama berdasarkan roh makna yang terdapat dalam al-Quran dan sunah.

Dalam kitab suci al-Quran, terdapat banyak istilah lain yang boleh dijadikan asas kepada persoalan ini seperti istilah khalifah, khulafa, imam, ulul amri, hukum, hakam dan banyak lagi yang dirujuk kepada keperluan membentuk sebuah negara dan kewajipan rakyat untuk mentaati pemerintah.

Negara di dunia ini, mengikut penilai hukum fikah terbahagi kepada tiga kategori.

Pertama, negara Islam atau darul Islam. Kedua, negara kafir yang berperang dengan Islam atau darul harbi. Ketiga, negara kafir yang tidak memerangi Islam atau darul ahdi.

Dalam menentukan sama ada sesebuah negara itu boleh dianggap negara Islam atau sebaliknya, kita perlu merujuk kepada pendapat ulama Islam tentang takrif negara Islam. Imam Muhammad bin Hasanal Syaibani mentakrifkannya sebagai negara yang dikuasai dan diperintah oleh umat Islam dan orang-orang Islam menikmati keamanan dan keselesaan di dalamnya. Sementara Sheikh Muhammad Abu Zuhrah menjelaskan negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintah orang Islam.

Kekuatan dan pertahanannya dikuasai orang Islam. Negara sedemikian wajib dipertahan oleh setiap individu Muslim.

Selain itu menurut Imam al-Fahistani, seorang ulama Hanafi, negara Islam ialah negara yang hukum pemerintah Islam berkuat kuasa ke atasnya. Bahkan imam kita al-Shafie menjelaskan “mana-mana negara yang pernah menjadi negara Islam, status ini tidak akan hilang menurut hukum fikah Islam, sekalipun umat Islam dikalahkan di negara berkenaan.”

Berpandukan kepada takrif dan penjelasan tersebut, jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Keraguan yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak adalah tidak berasaskan fakta dan ia tertolak.

Oleh itu, penjelasan yang telah dibuat sekian lama oleh pemimpin-pemimpin negara kita mengenai status Malaysia sebagai negara Islam adalah suatu yang berasaskan ilmu dan selaras dengan pandangan ulama muktabar.

Oleh itu tidak hairanlah apabila kita dapati ketegasan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri bahawa Malaysia sudah menjadi negara Islam telah disambut dengan penuh rasa bangga dan syukur.

Bahkan dengan perisytiharan seumpama ini diyakini dapat menambah keyakinan rakyat termasuk rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam bahawa negara Malaysia adalah negara Islam yang patut dicontohi kerana mampu menjamin keadilan kepada semua pihak dan rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, budaya dan agama yang telah mendapat perlindungan seperti yang dituntut oleh ajaran Islam.

Apa yang lebih membanggakan kita ialah negara Islam Malaysia mampu menterjemahkan tuntutan syariah Islam dalam dasar pemerintahan negara sehingga kita sering dijadikan rujukan oleh negara Islam yang lain.

Negara Islam ditegakkan atas beberapa ciri utama antaranya:

l Negara yang tunduk akur di bawah kuasa Islam dan orang Islam sebagai ketua pemerintah.

l Tanah air orang Islam adalah negara Islam.

l Negara yang aman dan bebas didirikan syiar Islam.

Secara ringkasnya bermaksud `orang Islam mempunyai kedaulatan ke atas diri mereka di bumi berkenaan, mereka boleh menegakkan hukum dan syiar Islam di dalamnya.’

Selain itu adalah penting untuk kita fahami bahawa menurut hukum Islam, negara Islam tidak bertukar menjadi negara kufur atau darul harbi selepas menjadi negara Islam, sekalipun ia mengalami kelemahan serta dikuasai oleh musuh atau penjajah.

Hukum ini bermakna, ia tetap kekal sebagai negara Islam dan bahawa umat Islam berkewajipan mempertahankan dan memerangi pencerobohan. Contoh yang nyata ialah seperti apa yang berlaku di Palestin sekarang atau di republik-republik Islam yang pernah berada di bawah pemerintahan komunis Soviet.

Jelas kepada kita bahawa negara seperti Palestin yang masih dikuasai rejim Yahudi dianggap negara Islam, tentulah Malaysia yang bebas merdeka adalah tidak syak lagi sebuah negara Islam.

Malaysia adalah tanah air orang Islam sejak turun-temurun. Ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong yang dibantu oleh Raja-raja Melayu di peringkat negeri, semuanya orang Islam, ketua kerajaan iaitu Perdana Menteri juga orang Islam, rakyat yang beragama Islam bebas mengamalkan segala tuntutan agama, semua rukun agama dapat didirikan dengan bebas.

Bahkan kerajaan mendirikan pelbagai institusi dan mewujudkan sistem pengurusan yang mantap bagi membantu rakyat melaksanakan tuntutan agama seperti dalam bidang perundangan dengan wujudnya mahkamah syariah yang melaksanakan hukum Islam sepenuhnya.

Begitu juga bidang ekonomi melalui institusi seperti Tabung Haji, sistem perbankan, takaful dan banyak lagi bidang muamalat yang diterokai dari semasa ke semasa.

Sementara dalam bidang pendidikan, semua rakyat mempunyai peluang dan mendapat hak bermula dari peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi meliputi ilmu-ilmu fardu ain dan kifayah.

Hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam telah diakui oleh pakar perundangan sejak awal kemerdekaan lagi, bahkan yang arif Datuk Hashim Yeop Sani dalam kajiannya tentang Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1980 menyatakan Malaysia secara sah bolehlah mengisytiharkan negara ini sebagai negara Islam walaupun pada hakikatnya ia adalah sebuah negara sekular dan tidak semua undang-undangnya diasaskan kepada hukum Islam’.

Dapatlah difahami dengan penjelasan tersebut bahawa pelaksanaan hukum syariah bukanlah merupakan syarat bagi menentukan sesebuah negara Islam.

Dalam konteks Malaysia, adalah nyata terlalu banyak tuntutan syariah Islam telah dilaksanakan dan ditegakkan, bukan sahaja di peringkat individu bahkan telah menjadi dasar negara seperti dasar penerapan nilai-nilai Islam yang dilaksanakan khususnya dalam sektor awam, tentulah Malaysia lebih layak lagi diiktiraf sebagai negara Islam.

Sebagai rakyat yang beragama Islam, sepatutnya kita merasa amat bersyukur atas keberanian pemimpin kita mengisytiharkan negara kita sebagai negara Islam sementara rakyat yang bukan beragama Islam juga patut bersyukur dapat hidup aman, selesa dan bebas mencari kekayaan dan bebas mengamalkan budaya dan agama pilihan mereka tanpa paksaan, pasti sukar anda mencari negara seperti Malaysia.

Oleh itu semua rakyat bertanggungjawab memelihara negara kita yang tercinta. Kita juga perlu menyokong dan mendukung segala dasar kerajaan yang bertujuan memelihara kebajikan rakyat.

Mempertikaikan status Malaysia sebagai negara Islam bermakna kita tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya jika kita masih enggan mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam atau darul Islam bermakna kita meletakkannya dalam salah satu daripada dua jenis negara lain iaitu darul harbi, negara kafir yang memusuhi Islam atau darul ahdi, negara kafir yang tidak memusuhi Islam. sudah pasti ia suatu kenyataan yang tidak munasabah dan sukar diterima oleh akal.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama kembali berpegang kepada fahaman Islam yang sebenar seperti dijelaskan oleh para ulama muktabar dan kita patuh dan taat setia tidak berbelah bagi kepada negara Islam Malaysia dan mempertahankannya dengan berusaha dan menyumbang ke arah pembangunan negara.

Ini selaras dengan sabda nabi kita Muhammad s.a.w maksudnya: Wajib ke atas setiap Muslim patuh dan taat kepada pemerintah sama ada ia suka atau tidak, selama mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, sekiranya ia diperintah melakukan maksiat maka janganlah patuh dan taat. (Riwayat Bukhari)

Ia juga merupakan langkah yang lebih bermanfaat atau infaq dan lebih wajar dari segi kepentingan dan kemaslahatan umat iaitu lebih islah.

No comments

Powered by Blogger.