Surat fitnah: PAS cabar Umno buktikan pembangkang terlibat

PORT DICKSON: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencabar Setiausaha Agung Umno,Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk membuktikan kesahihan surat fitnah yang didakwanya diedarkan oleh pihak pembangkang.

Beliau berkata Tengku Adnan perlu tampil bagi menjelaskan mengenai perkara sebenar tanpa membuat sebarang tuduhan melulu.

"Beliau kena tampil kalau betul surat itu berunsur fitnah dan kalau betul surat cuba untuk memusnahkan karier politiknya seperti yang beliau dakwa," katanya dalam sidang media di Markas Induk PAS di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan Tengku Adnan berhubung surat berunsur fitnah yang bertujuan memecah-belahkan hubungan antara ibu pejabat Umno, Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan dan Umno Bahagian Teluk Kemang khususnya.

Surat yang menggunakan kepala surat rasmi Setiausaha Agung Umno itu mula diedarkan di sekitar DUN Bagan Pinang sejak hari penamaan calon Sabtu lalu antaranya ditulis seperti berikut: "Pihak Majlis Tertinggi amat dukacita memaklumkan bahawa calon yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan terpaksa ditolak kerana Presiden parti mahukan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon PRK N31 Bagan Pinang."

Selain itu Salahuddin mendakwa wujud unsur sabotaj dalam Umno terutamanya berhubung pemilihan Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Beliau berkata Umno tidak boleh menyalahkan pihak pembangkang berhubung penyebaran surat fitnah berkenaan.

"Mungkin surat itu diedarkan oleh pihak tertentu yang tidak puas hati dengan Tan Sri Isa sebagai calon.

"Ia mungkin satu sabotaj pihak yang bersengketa dengan Umno sendiri," katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul


Azeez Abdul Rahim yang mencabar beliau supaya bersumpah dengan menjunjung al-Quran di masjid di Bagan Pinang untuk membuktikan dakwaan beliau berbohong dipukul penyokong PAS.

"Saya kata saya tak percaya dan saya tidak yakin dengan dakwaan beliau dipukul.

"Beliaulah yang kena bersumpah dengan al-Quran... apa pula saya yang nak diheret untuk bersumpah.

"Itu kerja beliaulah, saya tak nak layan... beliaupun sakit sekarang ni di hospital," katanya.

Sabtu lalu semasa proses penamaan calon di dewan Majlis Perpandaran Port Dickson, Abdul Azeez mendakwa beliau dipukul oleh penyokong PAS.

Menurut Abdul Azeez beliau diserang oleh kira-kira sembilan orang lelaki yang memakai pakaian yang mempunyai logo PAS.mstar

No comments

Powered by Blogger.