Syura – Amalan baik dalam keluarga

Oleh MD ZAWAWI ABU BAKAR

SYURA atau musyawarah merupakan suatu amalan yang sangat dianjurkan kepada umat Islam. Ia boleh diamalkan dalam segenap aspek kehidupan seperti keluarga, masyarakat sehinggalah ke peringkat pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara.

Istilah syura berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud perbincangan dan diterima pakai di dalam penggunaan bahasa Melayu kini.

Amalan ini telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya di dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan bermesyuaratlah dengan mereka, dan apabila kamu telah berazam, bertawakkallah kepada Allah s.w.t., sesungguhnya Allah s.w.t. menyukai orang-orang yang bertawakkal.” (Ali Imran:159)

Sebenarnya pensyariatan syura sudah begitu jelas disebut di dalam al Quran. Bahkan wujud sebuah surah yang dinamakan as-Syura bersama himpunan surah-surah lain juga merupakan suatu bukti kepentingan dan keistimewaan amalan ini.

Perkataan syura juga disebut secara langsung di dalam al Quran. Di antaranya di dalam ayat 38 surah as-Syura Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhan serta mendirikan sembahyang; dan urusan mereka dijalankan secara syura sesama mereka; dan mereka menginfaqkan sebahagian daripada apa yang kami berikan kepada mereka.”

Kepentingan amalan syura ini dapat dilihat berdasarkan sirah Rasulullah s.a.w. dengan isteri-isteri dan para sahabatnya. Baginda sendiri melakukan amalan syura di dalam keluarganya. Di antaranya ketika baginda hendak bermusafir, baginda akan bermesyuarat dengan cara membuat undian antara isteri-isteri baginda untuk menentukan siapa yang akan menemani baginda ketika dalam perjalanan.

Di dalam sebuah keluarga, lazimnya terdiri daripada dua pihak, iaitu suami-isteri atau lebih merangkumi anak-anak, ibu-bapa, mentua dan sebagainya.

Justeru itu, keluarga sebagai sebuah institusi yang penting dalam masyarakat haruslah ditadbir dengan baik.

Sehubungan itu, setiap umat Islam disarankan mengamalkan syura dalam segenap aspek kehidupan terutamanya kehidupan berkeluarga. Ia boleh diklasifikasikan kepada tiga peringkat utama iaitu:

1. Sebelum perkahwinan

Sebagai agama yang syumul dan terbaik, Islam menggariskan beberapa upacara atau peraturan sebelum sesuatu perkahwinan dilangsungkan.

Lazimnya sebuah keluarga yang bakal dibentuk di mulai dengan musyawarah antara pasangan dan keluarga di kedua-dua pihak.

Justeru, amalan syura dilakukan sewaktu mengadakan majlis merisik yang bertujuan mengetahui latar belakang pengantin seperti agama, keturunan, harta dan kecantikan.

Selepas itu diikuti pula istiadat pertunangan bagi menandakan seseorang gadis telah disunting dan lelaki lain tidak boleh meminang di atas pinangan lelaki lain. Dalil hadis yang bermaksud “Orang mukmin satu dengan lainnya bersaudara, tidak boleh membeli barang yang sedang dibeli saudaranya dan meminang pinangan saudaranya sebelum ditinggalkan.”

Sebenarnya musyawarah ini penting ketika membina sebuah keluarga. Persetujuan ibu bapa adalah perlu bagi kebahagiaan pasangan kelak. Bahkan menjadi wajib bagi anak gadis kerana syariat menetapkan bapa sebagai wali mujbir bagi perkahwinannya. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Tidak ada nikah tanpa wali dan dua saksi adil.”

Banyak masalah timbul pada hari ini seperti wali enggan, kahwin lari, nikah sindiket dan sebagainya disebabkan musyawarah tidak dilakukan sebagaimana anjuran syariat.

2. Semasa perkahwinan

Akad nikah merupakan prosedur terpenting di dalam perkahwinan. Melaluinya perkahwinan menjadi sah dan menghalalkan perhubungan jenis antara lelaki dan perempuan.

Dalam hal ini, rukun nikah iaitu wali, dua orang saksi, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan ijab kabul mesti dipenuhi. Seandainya wujud masalah seperti wali enggan, maka musyawarah keluarga mesti dilakukan bukannya mengambil tindakan kahwin lari kerana ia adalah salah di sisi agama dan undang-undang Islam negara ini.

Selain itu, sewaktu menjalani kehidupan berkeluarga suami isteri sebaiknya memilih jalan syura di dalam membuat sebarang keputusan.

Seandainya sesebuah perkahwinan itu ditimpa masalah, maka Islam telah menggariskan beberapa jalan penyelesaian iaitu:

i. memberi nasihat

ii. memisahkan tempat tidur (psikologi)

iii. memukul sekadar pengajaran bukan mencederakan

iv. perdamaian melalui orang tengah (syura).

3. Selepas perkahwinan

Pepatah Melayu “disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari” amat sinonim dengan perceraian sesebuah keluarga.

Perceraian bukanlah titik noktah terhadap perhubungan suami isteri. Ia juga bukanlah permulaan kepada tindakan balas dendam dan persengketaan di antara pasangan.

Sebaliknya talak adalah saluran terakhir bagi menyelesaikan segala pertikaian dan salah faham antara pasangan.

Namun demikian talak mestilah dilakukan secara baik oleh pihak suami. Hal ini berdasarkan firman Allah s.w.t. di dalam al Quran yang bermaksud: “Apabila kamu mentalak isteri-isterimu lalu mereka mendekati akhir idah, maka rujukilah mereka dengan cara yang baik (makruf) atau ceraikanlah mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu rujuki mereka untuk memberikan kemudharatan kepada mereka. Barangsiapa yang melakukan sedemikian maka dia telah melakukan kezaliman kepada diri sendiri.” (Al Baqarah:231)

Meskipun ikatan perkahwinan telah terputus melalui lafaz talak, namun hubungan dari segi tanggungjawab masih kekal. Di antara tanggungjawab atau hak-hak yang boleh dituntut oleh kedua belah pihak di Mahkamah Syariah ialah:

- mahar (mas kahwin) yang terhutang

- mutaah (saguhati)

- nafkah tertunggak

- nafkah idah

- tempat tinggal

- nafkah anak

- harta sepencarian

- hak jagaan anak.

Semua tuntutan ke atas hak-hak di atas memerlukan musyawarah antara pasangan. Jika tidak ditangani sebaik mungkin akan mewujudkan persengketaan antara pasangan.

Ini dapat dilihat di Mahkamah Syariah pada hari ini. Kebanyakan kes-kes mahkamah adalah pertikaian berkaitan tuntutan hak masing-masing.

Justeru itu, amalan syura adalah langkah terbaik agar pertikaian dapat diselesaikan secara sulh antara kedua-dua pihak.

Kesimpulannya, amalan musyawarah adalah satu syariat yang dapat menjamin keutuhan keluarga bahagia.

Ia sewajarnya diamalkan sejak awal perancangan untuk membina keluarga sehinggalah kehidupan selepas berakhirnya perkahwinan.

- Md Zawawi Abu Bakar, Pensyarah Sekolah Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

No comments

Powered by Blogger.