Teguran Ketua Audit Negeri Yang Kebanyakan Pada Pentadbiran Lama Terhadap Penukaran Tayar RM 31,064 Dan Pembelian Minyak Tidak Ada Penyelewengan

KENYATAAN AKHBAR PEGAWAI KEWANGAN NEGERI PULAU PINANG MENGENAI LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA (KAN) BAGI ISU PERTUKARAN TAYAR DAN PENGISIAN MINYAK BAGI KENDERAAN PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN

Teguran Ketua Audit Negeri Yang Kebanyakan Pada Pentadbiran Lama Terhadap Penukaran Tayar RM 31,064 Dan Pembelian Minyak Tidak Ada Penyelewengan

1. Teguran Ketua Audit Negara mengenai kekerapan penggantian tayar bagi Pejabat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang sememangnya telah diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk mengambil langkah-langkah pengurusan yang lebih ketat bagi memastikan teguran yang sama tidak berulang. Tindakan-tindakan ini adalah selaras dengan dasar CAT Kerajaan Negeri.

2. Didapati teguran-teguran menyatakan sejumlah RM31,064.00 telah dibelanjakan bagi 17 kali penggantian tayar di antara 13.1.06 hingga 11.9.2008 melibatkan 8 buah kenderaan Pejabat Setiausaha Kerajaan. Tayar-tayar berkenaan diganti walaupun penggunaannya sepatutnya sekurang-kurangnya untuk 40,000km. Adalah didapati daripada teguran tersebut, terdapat 3 daripada 17 penggantian tayar kenderaan tersebut dilakukan setelah melakukan perjalanan melebihi 40,000 km (PAF 1 (2 kali) dan PFW 5151).

3. Bagi kenderaan-kenderaan yang diganti tayarnya bagi perjalanan kurang 40,000km, penggantian tayar tersebut perlu dilakukan atas dasar keperluan sebenar bagi kenderaan tersebut iaitu :

(i) tayar sedia ada menjadi haus sebelah termasuk kerosakan absorber;

(ii) tayar tersebut setelah digunakan menjadi keras dan tidak sesuai lagi digunakan terutamanya dari segi keselamatan;

(iii) tayar pernah pecah dengan teruk hingga menyebabkan ianya tidak dapat ditampung serta boleh mendatangkan risiko keselamatan;

(iv) tayar berbunyi bising apabila kenderaan bergerak dan mendatangkan ketidakselesaan kepada pengguna;

(v) terdapat tayar tersebut (bagi kenderaan PDE 3) yang perlu ditukar kerana kerap melakukan perjalanan rasmi ke Kuala Lumpur demi keselamatan dan untuk memastikan urusan rasmi kerajaan tidak tergendala.

4. Atas alasan tersebut ianya telah diperakukan oleh penyelia kenderaan setelah dimohon oleh pemandu kenderaan terlibat untuk pertukaran tayar.

5. Selaras dengan teguran KAN dan sebagai usaha untuk memantapkan lagi pengurusan kenderaan di Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Kewangan Negeri telah menetapkan kelulusan pertukaran tayar dan lain-lain pembaikkan kenderaan setelah dimohon oleh pemandu serta diperakukan oleh penyelia kenderaan, ia perlu diluluskan oleh Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan). Sekiranya kerosakan yang sama berlaku ia hendaklah mendapat kelulusan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pentadbiran) sebelum pertukaran / pembaikkan dilakukan.

6. Adalah juga amat penting kenderaan rasmi kerajaan sentiasa berada dalam keadaan yang amat baik kerana selain daripada digunakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, pegawai-pegawai tertentu, ianya juga digunakan untuk membawa tetamu negeri bagi urusan rasmi di dalam dan luar Negeri Pulau Pinang.

Pembelian Minyak Dalam Tempoh Masa Yang Singkat, Pejabat Setiausaha Kerajaan.

7. Mengenai pembelian dan pengisian minyak dalam tempoh yang singkat, teguran KAN telah menyenaraikan kenderaan PGW 7744 (Bas), PHK 42 (Proton Perdana) dan PCT 7777 (Bas). Pengisian minyak yang mendapat teguran adalah pengisian 2 kali dalam masa 3-8 minit pada bulan Mac dan Jun 2008.

8. Semakan yang dilakukan mendapati bahawa pada tahun 2008, setiap pengisian dihadkan kepada maksimum RM200.00 sahaja. Had ini adalah bertujuan sebagai satu langkah kawalan perbelanjaan. Adalah didapati harga diesel pada tempoh tersebut ialah RM1.58 seliter, oleh itu untuk had sekali pengisian dengan nilai RM200.00 akan melibatkan pengisian maksimum 126.5 liter sahaja (RM1.58 x 126.5 liter = RM200.00)

9. Oleh itu, pengisian 2 kali perlu dilakukan bagi pengisian melebihi RM200.00 atau 126.5 liter dan ini yang telah berlaku seperti teguran KAN bagi bas bernombor PGW 7744 dan PCT 7777 yang sebenarnya perlu melakukan perjalanan yang jauh. Bagi alasan kenapa diisi 62.61 liter terlebih dahulu sebelum 126.5 liter bagi bas PGW 7744 adalah kerana pemandunya telah biasa dengan jumlah liter yang diperlukan bagi mengisi tangki bas supaya penuh.

10. Bagi pengisian minyak petrol dua kali juga dalam tempoh singkat bagi kenderaan PHK 42 seperti teguran KAN, semakan mendapati ia sebenarnya melibatkan bukan sahaja kenderaan PHK 42 tetapi juga PDC 7722 pada tarikh tersebut iaitu 23.6.2008. Kedua-dua kenderaan berkenaan telah pergi bersama-sama untuk mengisi minyak dengan menggunakan inden PHK 42. Setelah selesai PHK 42 diisi (RM53.00) kad inden PHK 42 telah digunakan untuk mengisi minyak bagi kenderaan PDC 7722 kerana kad inden PDC 7722 telah rosak. Malah resit pengisian minyak untuk PDC 7722 telah disimpan di dalam buku log masing-masing. Namun begitu, punca teguran ini oleh KAN adalah kerana ianya tidak dicatat oleh pemandu kenderaan PHK 42 bahawa kadnya juga telah digunakan untuk mengisi minyak untuk kenderaan PDC 7722 menyebabkan timbul teguran seperti yang dibangkitkan oleh KAN.

11. Bagi mengatasi masalah ini dan mengelakkan ianya berulang semula, selain daripada pemandu dikehendaki memastikan kad inden sentiasa berada dalam keadaan elok, pemandu-pemandu di Pejabat Setiausaha Kerajaan diingatkan supaya melakukan catatan pengisian berkenaan mengikut kad atau mendapat kad gantian dari pengurusan SUK. Pihak penyelia kenderaan perlu dimaklumkan serta menjadi tanggungjawab penyelia kenderaan untuk memastikan catatan tersebut dilakukan serta ditandatangani balas pada buku log kenderaan terlibat. Langkah-langkah ini telah mula dijalankan walaupun kejadian seumpamanya ini agak isolated.

Pembelian Minyak Dalam Kuantiti Yang Tidak Munasabah- Kesilapan Teknikal Oleh Kedai

12. Teguran KAN bagi perkara ini seperti di jadual 2.11 m/s 13 – menyatakan bahawa minyak petrol dibeli dengan harga diantara RM100.00 – RM300.00 seliter. Sebenarnya apa berlaku bagi teguran ini adalah kesilapan teknikal di mana kedai berkenaan tidak meletakkan ‘unit price’ dipam berkenaan setelah berlaku kenaikan harga minyak kepada RM2.70 seliter. Hal ini telah disahkan oleh pihak Super Kad Services Sdn. Bhd., yang menguruskan kad Shell (Lampiran B). Di samping itu semakan terhadap buku log PED 21 pada tarikh 10.6.2008 ketika minyak diisi odometer mencatatkan 79176 berbanding dengan 79321km apabila minyak diisi semula pada 12.6.2008 iaitu setelah berjalan sejauh 145km. Oleh itu adalah jelas kesilapan teknikal seperti penjelasan di atas telah berlaku kerana tidak mungkin jika 1 liter yang diisi seperti harga yang dinyatakan, kereta PED 21 dapat berjalan sejauh 145km. Rekod yang sama ditunjukkan bagi kenderaan PCM 16 yang pada 23.6.2008, odometer mencatat 57774 dan apabila diisi semula minyak pada 25.6.2008 odometernya ialah 58085 iaitu selepas melakukan perjalanan sejauh 311km.

13. Hasil teguran ini Jabatan Kewangan Negeri telah meminta kesemua pemandu supaya meneliti catakan resit bagi setiap pembelian menunjukkan catatan harga seliter, jumlah liter yang diisi dan harga. Sebarang kekurangan pada resit belian hendaklah segera dimaklumkan kepada penyelia kenderaan untuk susulan.

RUMUSAN

14. Sebagai rumusan bagi ketiga-tiga teguran di atas yang melibatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan, adalah ditegaskan bahawa teguran yang terlibat kebanyakannya dalam pentadbiran Kerajaan lama TIDAK melibatkan penyelewengan yang membawa keuntungan / kepentingan di pihak pemandu atau pentadbiran Setiausaha Kerajaan. Namun begitu berdasarkan kepada teguran yang bernas tersebut, adalah penting untuk Pejabat Setiausaha Kerajaan memperkemaskan serta memperkasakan lagi sistem sediaada supaya teguran tersebut tidak berulang lagi. Keterangan dan penjelasan di atas juga telah diberikan kepada pihak KAN sebagai penjelasan terhadap teguran tersebut.


[ DATO’ FARIZAN BIN DARUS ]

Pegawai Kewangan Negeri

Pulau Pinang

No comments

Powered by Blogger.