Tindakan Undang-undang Diambil Susulan Kematian Pembantu Rumah

PUTRAJAYA, 26 Okt (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab terhadap kematian pembantu rumah warga Indonesia Mantik Hani.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Mantik, beliau berkata kerajaan memandang serius insiden tersebut.

"Saya kesal kerana insiden tersebut terjadi dan ingin mengatakan di sini bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab terhadap kematian mangsa jika disahkan ia adalah kerana penderaan," kata Dr Subramaniam dalam satu kenyataan di sini.

Katanya majoriti daripada 280,000 pembantu rumah di negara ini dilayan dengan baik oleh majikan-majikan mereka.

"Tetapi adalah sesuatu yang amat mendukacitakan apabila hanya beberapa kes yang melibatkan penderaan pembantu rumah mencemarkan nama majikan-majikan lain. Ini tidak harus berlaku," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan bertindak lebih tegas bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.

Mantik, 36, mati di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, sejak dimasukkan ke hospital itu Selasa lepas.

Pengarah hospital Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata mangsa meninggal dunia selepas didapati tidak bertindak balas dengan rawatan yang diberikan sepasukan doktor pakar.

Majikan lelaki pembantu rumah itu menyerah diri kepada polis sehari selepas pembantu rumah itu ditemui dan beliau direman sehingga 28 Okt manakala isterinya direman sehingga esok.



--BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.