Tubuh Suruhanjaya Bebas Siasat Kekayaan Khairy Jamaluddin

14 Oktober 2009

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bahawa beliau bersedia untuk mengiystiharkan harta yang dimiliki beliau. Beliau juga menyatakan kesediaan untuk disiasat mengenai dakwaan-dakwaan bahawa beliau memiliki kekayaan yang sangat besar dan melampaui pendapatan beliau. Kenyataan ini tidak seharusnya hanya tinggal kenyataan dan hanya diulang kembali menjelang pilihanraya.

AMK dengan ini mencabar Khairy untuk mengisytiharkan harta beliau termasuk pegangan-pegangan secara langsung dan tidak langsung melalui nomini, wang yang disimpan di dalam akaun-akaun di luar negara dan kepentingan-kepentingan di dalam pelbagai perniagaan.

Penglibatan aktif Khairy di dalam bidang perniagaan bukan sahaja menimbulkan persepsi wujud salahguna kuasa, malah para peniaga juga menghadapi persaingan yang tidak adil khususnya untuk mendapatkan projek dan tender kerajaan. Justeru, memandangkan terdapat kesediaan daripada Khairy sendiri untuk beliau disiasat, AMK mendesak PM Najib Razak supaya segera mewujudkan satu badan bebas bagi menyiasat harta-harta yang dimiliki oleh Khairy yang sebelum ini merupakan menantu kepada Perdana Menteri dan juga selaku Ketua Pemuda yang tentunya akan mendapat kelebihan politik (political advantage) daripada kepimpinan tertinggi UMNO dan kerajaan.

YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak dari 1998 lagi, ketika dituduh memiliki harta sebanyak RM 3 bilion dengan tegas dan berani menyatakan kesediaan dengan mendesak satu badan bebas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan yang tidak berasas. Namun sehingga kini tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan dan hanya menggunakan isu ini sebagai bahan kempen murahan sewaktu pilihanraya kecil Bagan Pinang yang lalu.

Keengganan melakukan siasatan ini mewujudkan tanggapan umum bahawa Barisan Nasional mengambil sikap tidak apa terhadap mereka yang memiliki harta yang tersangat banyak sehingga melebihi kemampuan pendapatan.

AMK mendesak kerajaan untuk serius terhadap usaha membanteras rasuah, penyelewengan, salahguna kuasa dan pemboloton kekayaan melalui cara-cara yang tidak sewajarnya.

Sekiranya ini tidak dilaksanakan dengan serius, maka impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara serba maju di mana kekayaan negara dikongsi secara adil tidak akan dapat dicapai. Seperti yang diungkapkan oleh Mahatma Gandhi: Kekayaan dunia adalah cukup untuk keperluan semua manusia, tetapi tidak mungkin cukup untuk memenuhi ketamakan manusia.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan

No comments

Powered by Blogger.