UMNO NAK BERUBAH?

Seorang pemburu yang hendak melintasi ditempat yang terdapat seekor harimau yang sedang tidur, perlu mengambil sikap berhati-hati. Jika memang harimau itu sedang tidur, factor keselamatan pemburu tersebut boleh diletakkan sebanyak 50%. Adapun jika harimau itu tersedar dari tidurnya, factor keselamatan pemburu terbabit sudah berkurangan mungkin lebih kurang dari 10%.

Keadaan inilah yang aku bimbangkan dengan perkembangan perhimpunan UMNO pada kali ini. Padaku, kejatuhan UMNO/BN di banyak negeri – terutama selangor – adalah berpunca dari sabotaj dalaman UMNO terhadap kepimpinan mereka. Perkara ini, diakui sendiri oleh Mahathir ketika mengulas kejatuhan banyak negeri ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya 8 mac 2008 yang lalu.

Pun begitu, perhimpunan agong UMNO pada kali ini, dilihat seperti ramai ahli-ahli UMNO mendapat semangat baru. Imej Najib sudah mudah diterima ramai ahli-ahli UMNO, waima skandal Altantuya masih lagi menjadi buah mulut rakyat Malaysia.

Dalam perhimpunan itu juga, didapati ramai dari kalangan perwakilan UMNO mengakui bahawa kekalahan mereka dalam pilihanraya umum baru-baru ini adalah berpunca dari pergeseran sesame mereka. apabila mereka sudah sedar, ia merupakan satu bahaya yang akan menimpa Pakatan Rakyat.

Apakah UMNO pasti akan berubah atau tidak, itu bukan persoalannya, tetapi yang pastinya, mereka sudah sedar bahawa mereka perlu berubah. Ia samalah seperti harimau yang sedang tidur tersedar tidurnya, waima sedang berhadapan dengan sakit yang amat parah sekalipun.

Dalam keadaan itu pula, kelihatan keberadaan PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat seakan-akan tidak sekata. Pilihanraya di Bagan Pinang telah membuktikan kewujudan ketidak-sekatanya dalam bekerja antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat, sehingga mengakibatkan kejatuhan PAS yang amat teruk dalam pilihanraya tersebut. Dilihat PAS seperti mahu menunjuk ‘hebat’, seperti merasakan tanpa PKR dan DAP, PAS dapat berhadapan dengan UMNO, sedangkan perkara itu sama sekali tidak boleh berlaku.

Jika UMNO sendiri mengakui bahawa mereka tidak akan mampu membentuk kerajaan tanpa dokongan parti-parti yang lain; MCA, MIC, GERAKAN, Makkal Sakti dan sebagainya. keadaan yang sama juga perlu PAS akui. PAS tidak akan dapat mengalahkan UMNO/BN, tanpa kewujudan kawan-kawan dari PKR dan DAP.

Justeru, berhati-hatilah dengan perkembangan UMNO kebelakangan ini. Tidak dinafikan, antara harimau dan pemburu, sudah pasti pemburu lebih hebat. Tetapi perlu diingatkan juga, ramai pemburu yang mati terbaham dek harimau, setelah binatang ganas itu sedar dari tidurnya.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

No comments

Powered by Blogger.