Utamakan Bahasa Kebangsaan Dalam Urusan Rasmi:MB

SHAH ALAM, 13 Oktober - Citra dan jati diri bangsa Malaysia dapat dimantap dan diperkukuhkan melalui penggunaan bahasa secara meluas, termasuk bahasa sastera kebangsaan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Justeru, beliau menyarankan semua agensi kerajaan di negeri ini menggunakan bahasa kebangsaan dalam setiap majlis yang dianjurkan.

“Saya berharap bulan bahasa kebangsaan ini mampu memberikan impak atau dorongan kuat terhadap pengggunaan bahasa kebangsaan terutamanya di negeri Selangor”,katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009, Zon Tengah Peringkat Negeri Selangor,di Dewan Jubli Perak, petang tadi.

Beliau berharap anak syarikat dan agensi kerajaan mengutamakan bahasa kebangsaan dalam semua program dan aktiviti yang dianjurkan.

“Saya menyeru supaya komunikasi kegiatan-kegiatan rasmi kerajaan negeri Selangor dan agensinya sepanjang Oktober ini mengutamakan bahasa Kebangsaan bagi semua program dan aktiviti rasmi seperti mesyuarat dan perhimpunan”,katanya.

Menurutnya dengan cara demikian ia dapat membuktikan sokongan semua pihak terhadap usaha mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Dalam sidang media selepas itu, Tan Sri Khalid turut menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT), mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan pada papan-papan iklan dan billboard di negeri ini.

Beliau berkata, perbincangan mengenainya akan dibuat bersama Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Kiew dalam masa terdekat.

“Saya akan bincang dengan YB Ronnie Liu untuk mereka menerangkan kepada YDP-YDP dan juga ahli-ahli majlis mengambil kira tentang keinginan kerajaan negeri agar billboard ini melihatkan satu pemikiran baru dalam negara Malaysia, mengutamakan bahasa kebangsaan.Dan saya rasa dengan perubahan bahasa inggeris ke bahasa melayu tidak akan menjejaskan kualiti dan tujuan iklan tersebut.Saya rasa untuk rakyat Malaysia lebih daripada 90 peratus yang boleh bertutur bahasa melayu”,katanya.

No comments

Powered by Blogger.